Wednesday, January 28, 2026

MAMBA BIMBANG CADANGAN CAJ PENGHANTARAN MINIMUM JEJAS PENIAGA MIKRO DAN PENGGUNA

Share

Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan menetapkan caj penghantaran minimum standard, yang dikhuatiri akan menjejaskan aktiviti jual beli dalam talian serta membebankan usahawan mikro tempatan.

Berdasarkan tinjauan nasional melibatkan 720 pengguna dalam talian, majoriti rakyat jelas tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Sebanyak 3 peratus tidak setuju caj penghantaran minimum dinaikkan, 5 peratus  akan mengurangkan atau berhenti membeli secara dalam talian jika caj naik dan 59% akan membeli dalam jumlah lebih kecil sekiranya caj minimum dikenakan.

Setiausaha Agung MAMBA, Alvin Low Wei Yan berkata, hasil tinjauan ini mengesahkan kebimbangan peniaga kecil sejak beberapa bulan lalu.

“Jika caj penghantaran naik, ia boleh memperlahankan perkembangan e-dagang di Malaysia. Usahawan mikro yang sepatutnya mendapat sokongan kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 berisiko dipinggirkan.” ujarnya.

Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) memberi tumpuan kepada keterangkuman digital, pengukuhan daya saing PKS dan rantaian bekalan yang lebih kukuh. MAMBA menegaskan bahawa pilihan penghantaran yang murah, fleksibel dan adil adalah kunci untuk mencapai matlamat tersebut.

Tinjauan turut mendapati, 6 peratus pengguna memilih kos penghantaran serendah mungkin, sebanyak 9 peratus tidak kisah syarikat kurier asalkan harga rendah. Manakala 5 peratus  menganggap harga semasa masih berpatutan dan 8 peratus tidak sanggup membayar lebih walaupun perkhidmatan lebih pantas.

Alvin menambah, apabila caj penghantaran naik, pengguna biasa dan peniaga kecil dalam talian adalah pihak pertama yang terkesan.

“Ini boleh menjejaskan penyertaan digital dan pendapatan mereka. Sedangkan kumpulan inilah yang kita mahu sokong melalui dasar negara.”katanya.

Sehubungan itu, MAMBA menyeru supaya sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri diadakan segera bagi memastikan sebarang perubahan caj penghantaran dibuat secara adil, berasaskan data dan tidak menyusahkan peniaga kecil serta pelanggan mereka.

“Logistik yang mampu milik adalah tunjang perdagangan dalam talian, terutama bagi peniaga mikro. Sebarang dasar baharu mesti berpihak kepada rakyat dan usahawan kecil,” tegasnya.

Mengenai Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA)

Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) merupakan sebuah organisasi kebangsaan yang berdedikasi untuk menyokong pemilik perusahaan mikro di seluruh Malaysia. Misi MAMBA adalah untuk mewujudkan persekitaran operasi yang kondusif bagi membolehkan perusahaan mikro, sama ada dalam talian atau perniagaan fizikal tradisional, berkembang maju dan menyumbang secara positif kepada ekonomi.

Bagi mencapai matlamat ini, MAMBA memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama:

✔ Pendidikan & Perkongsian Ilmu – Menyediakan latihan, sumber, dan panduan untuk melengkapkan usahawan mikro dengan kemahiran perniagaan yang penting.

✔ Advokasi Dasar Awam – Berinteraksi dengan pembuat dasar untuk membentuk polisi yang menyokong dan memperkukuh sektor perniagaan mikro.

✔ Rangkaian & Penglibatan – Mewujudkan platform untuk usahawan berhubung, bekerjasama, dan mengembangkan peluang perniagaan mereka.

Visi utama MAMBA adalah untuk memperkasa perusahaan mikro supaya dapat berkembang dan berubah menjadi syarikat korporat yang berjaya serta berdaya saing, sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Sebagai suara utama bagi perniagaan mikro, MAMBA komited untuk memastikan suara mereka didengari dan perniagaan mereka terus berkembang dalam landskap ekonomi yang dinamik.

Berita Lain..

Berita Tempatan