-Bahagian II
Padang dan Bukittinggi – Daerah Lagenda Penuh Warisan
-Asal Usul Padang
Diceritakan, pesisir barat Sumatera terbentanglah sebuah tanah lapang yang luas, hanya ditumbuhi rumput hijau dan sesekali pepohonan kelapa yang condong ke laut. Orang menyebutnya sebagai padang, kerana memang di situlah terbentang dataran yang lapang, antara ombak samudera dengan kaki bukit Barisan.
Dari tanah lapang inilah orang Minangkabau mula berhubungan dengan dunia luar. Pedagang dari Gujarat datang membawa kain, orang Arab singgah membawa kitab dan rempah, sementara orang Cina datang dengan tembikar serta teh. Dari pedalaman Minang, emas, lada dan kopi dibawa turun melalui sungai-sungai deras, lalu bertemu di pelabuhan Padang sebelum berlayar jauh ke negeri-negeri asing.
Namun, Padang tidak pernah sunyi dari percaturan kuasa. Belanda dengan kapal layar dan meriamnya, mula berlabuh pada abad ke-17. Dari sebuah padang rumput di pinggir laut, kota itu berubah menjadi pelabuhan kosmopolitan, di mana suara azan bersahut dengan derap kasut saldadu. Bau kopi segar bercampur dengan aroma tembakau dan rempah. Padang pun berkembang menjadi jendela dunia bagi orang Minangkabau, pintu keluar masuk segala cerita dari darat ke laut.
–Asal Usul Bukittinggi
Dari Padang yang berombak, perjalanan menaik ke arah daratan tinggi membawa kita ke sebuah negeri di kaki gunung Merapi, Singgalang dan Sago. Di sinilah terbentang Bukittinggi, tanah yang dingin, sejuk, dan berhawa segar. Dahulu, kawasan ini hanyalah sebahagian dari Luhak Agam, tanah adat orang Minangkabau. Orang datang ke mari untuk bertani, berjual beli dan berhimpun.
Disebabkan kedudukannya yang tinggi, ia menjadi tempat pemantau kerana dari sini seluruh lembah agam terbentang bagai lukisan. Belanda menyedari keistimewaan tersebit, lalu mereka membina kubu pada tahun 1825, dinamakan Fort de Kock, sempena nama seorang jeneralnya. Melalui kubu tersebut, meriam dihalakan ke lembah, sementara orang kampung hanya mampu memandang dengan hati yang berat.
Bagaimana pun Bukittinggi tidak tunduk semata. Di sinilah lahir jiwa-jiwa pejuang. Di tanah tanah sejuk yang membesarkan hati yang panas membara. Jam Gadang, hadiah dari Belanda pada 1926, berdiri megah di tengah kota, menjadi saksi betapa Bukittinggi pernah menjadi pusat perlawanan, pusat pendidikan malah pernah menjadi ibu kota darurat Republik Indonesia pada tahun 1948.
Bukittinggi adalah bukit yang tinggi, tetapi hakikatnya ia lebih dari sekadar ketinggian tanah. Ia adalah ketinggian martabat, tempat asal semangat Minangkabau menegakkan marwah.
Kelok 44 dan Tasik Maninjau – Jalan Berliku Menuju Keindahan
Kembali semula ke Padang dan Bukittinggi dalam jarak sebulan, cuaca masih belum menyebelahi namun kehijauan alam menyerlah. Pagi lagi kami menuju ke Kota Gadang, kilang pembuatan barangan perak. Lebih unik sepanjang jalan yang berkabus, mata terpesona dengan apitan Gunung Singgalang dan Gunung Merapi. Segarnya menyedut udara pagi, melalui sawah bendang dan menempuh beberapa buah kampung termasuk kampung warisan Belanda yang masih kekal dengan bentuk lama terutama rekaan tingkapnya.





Perjalanan diteruskan menuju Tasik Maninjau yang tidak pernah sepi dari cerita. Jalan yang dikenali sebagai Kelok 44 adalah rangkaian selekoh tajam menuruni bukit menuju tasik purba ini. Menurut sejarah, tasik ini terbentuk akibat letusan gunung beribu tahun lalu, meninggalkan kawah besar yang kini dipenuhi air jernih kebiruan. Suasana hening, masing-masing diam menyaksikan keindahan antara gabungan langit dan tasik seolah bertemu dihujungnya. Bagaimana melihat lukisan poskad.




Di sebuah kilang gula tebu, kami bertemu Ibu Nian Tega, wajahnya teduh. Memerhatikan tangan anaknya Inok yang cekap membungkus kerepek-kerepek dan paling popular kerepek pisang dan pisang salai. Sebuah bangsal didirikan dan seekor kerbau bersaiz besar masih dipertontonkan kepada pengunjung. Sebelum munculnya mesin tebu untuk menghasilkan air dan gula, tenaga kerbau secara manual digunakan.
BUkan hanya produk dari tebu, kacang dan aneka kerepek, kedai Inok juga menjual kraftangan. Beg anyaman dari mengkuang dan tipo buloh juga ada.


“Cuba ini, nak,” ujar Ibu Nian Tega sambil menghulur sekeping pisang salai yang masih hangat. Rasanya manis, berbalut aroma asap kayu yang mesra. Kemudian dihulur pula sepinggan kacang tanah yang digoreng di dalam pasir. Lemak tanpa resapan minyak. Di tepi, anak lelakinya sibuk menuang air tebu ke dalam gelas, manisnya mengalir membasahi dahaga.
Dari puncak hingga ke kaki tasik, pemandangan sawah bertingkat dan rumah tradisional menghiasi perjalanan. Tasik Maninjau juga pernah menjadi ilham karya sastera klasik Sitti Nurbaya oleh Marah Rusli, selain menjadi tempat kelahiran ulama besar Buya Hamka.
Tidak puas menikmati keindahan alam yang menghijau dan tasik nan membiru, segalanya damai dan mengasyikan.
Rumah Kelahiran Buya Hamka – Menyusuri Jejak Ulama dan Sasterawan
Kenderaan kami terus mendaki ke atas. Di Nagari Sungai Batang, Kecamatan Tanjung Raya, terletak Rumah Kelahiran Buya Hamka, ulama, wartawan, sasterawan dan pejuang bangsa yang terkenal di Nusantara.



Rumah kayu rekaan Minang dengan bumbung melengkung kini menjadi muzium, mempamerkan kitab-kitab, tulisan tangan dan foto beliau. Terdapat ruang tamu dengan puluhan buku, makalah, ruang tidur dan bahagian dapur yang hanya bertujuan sebagai pameran.
Di sinilah Hamka semasa kecil menimba ilmu sebelum menjadi tokoh besar yang bukan sahaja disegani di Indonesia malah turut dihormati di Malaysia dan nusantara. Rumah ini terus diziarahi kerana dianggap sebagai sumber inspirasi bahawa ilmu dan perjuangan boleh lahir dari desa kecil di tepian tasik.
Pertemuan dengan anak bongsunya Pak Amir Shakib Hamka mengundang sebak. Entah kenapa karya ayahandanya sangat dekat di hati. Bermula dengan sebuah novel bertajuk Sabariah, karya lainnnya seperti Merantau Ke Deli, Di bawah Lindungan Kaabah dan paling popular Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck amat dekat di hati. Dipertontonkan pula filemnya di dalam kenderaan, hati bagai dikoyak mengenang watak Hayati dan Zainuddin.

Semasa turun semula ke Padang, kami berkesampatan singgah di sebuah surau lama, lokasi Buya Hamka semasa remajanya menghabiskan waktunya menelaah kitab agama dan mengaji.
Puncak Kawa Gudester, Nageri Tuo Pariangan
Dipatah batang sikakau
Dipatah dipersilangkan
Terkampungnya adat minangkau
Berasal dari nagari pariangan.
Tidak lengkap perjalanan tanpa singgah ke Desa Paringan atau dikenali sebagai Nagari Tuo Pariangan, Tanah Datar. Sebuah desa yang pernah dinobatkan oleh UNESCO sebagai antara desa tercantik di dunia. Di sini terdapat Puncak Kawa Gudester, sebuah kafe berpanorama sawah beralun dan bertingkat-tingat.




Istimewanya, pengunjung dapat menikmati kawa daun, minuman tradisi Minangkabau yang dihasilkan daripada daun kopi, bukan bijinya. Rasanya unik, sedikit pahit namun harum. Kami sempat menikmati pisang goreng rangup, kopi pekat, teh tarik dengan pemandangan indah.


Bertemu Shahirah, anak gadis yang masa kecilnya di Gombak, Kuala Lumpur kerana ayahnya berasal dari sana. Berkahwin dengan ibunya asal daerah ini dan membuka kafe. Enaknya menyedut kopi asi dan teh tarik sambil mengunyak pisang goreng bersaut tepung rangup. Lebih enak menghirup sepuas-puasnya udara segar dan kami tidak berkelip menyaksikan indahnya bendang nan hijau saujana mata memandang.
Desa Pariangan bukan sekadar cantik dipandang, malah dipercayai sebagai kampung asal nenek moyang orang Minangkabau, menjadikannya tempat bersejarah bagi identiti bangsa.
Kota Gadang dan Jam Gadang – Degup Jantung Bukittinggi
Kami kembali pulang ke Bukittinggi di kota pergunungan yang dingin udaranya. Menjelang petang, singgah di pasar atas yang terlihat Jam Gadang, menara jam ikonik yang dibina pada 1926 sebagai hadiah daripada Ratu Belanda. Uniknya, angka empat pada jam ini ditulis dengan “IIII” dan bukannya “IV” sebagaimana kebiasaan angka Romawi.

Jam Gadang menjadi titik tengah kota, dikelilingi pasar tradisional, taman dan bangunan kolonial. Seronok tawar menawar dengan penjual di sini membeli cenderahati dengan harga yang berpatutan. DI sini penjual gembira jika kita membeli belah menggunakan mata wang ringgit Malaysia.
Istano Basa Pagaruyung – Lambang Keagungan Minang
Seawal pagi bersarapan dan meninggalkan Bukittinggi menuju ke Padang semula. Dalam perjalanan singgah ke beberapa bengkel dan pusat jualan aneka kerepak, rendang dan makanan sejuk beku Padang. Juga melawat kilang pembuatan kopi dan kami juga ke kafe yang menghidangkan kopi yang dimasak dari daunnya. Dicampur kulit kayu manis dan cenggih, sungguh segar dan enak aromanya yang menggapung ke udara.


Cuaca redup dan sebaik sampai ke pagar Istano Basa Pagaruyung ramai yang enggan turun. Namun kami tetap meredah kabus kerana kesempatan begini tidak selalu hadir.

Kami bertuah kerana kedatangan kali pertama sebelum ini, cuaca sangat terang, langit biru dan awan putih berkepul-kepul. Jadi kami berpeluang merasai dua cuaca yang berbeza.


Istano Basa Pagaruyung terletak di Tanjung Emas, Batusangkar, Tanah Datar. Istana tiga tingkat bergaya rumah gadang ini merupakan replika dari istana asal Kerajaan Pagaruyung yang wujud sejak abad ke-17. Walaupun beberapa kali musnah akibat kebakaran, ia sentiasa dibina semula kerana nilai simboliknya kepada masyarakat Minang.



Kini ia menjadi muzium yang mempamerkan pakaian kebesaran, senjata tradisional dan perhiasan istana. Setiap ukiran pada dinding dan tiang membawa maksud filosofi, antaranya menggambarkan hubungan manusia dengan alam dan Tuhan.
Pantai Air Manis – Legenda Malin Kundang
Menutup perjalanan, langkah dibawa ke Pantai Air Manis di Padang. Pantai ini terkenal dengan lagenda Malin Kundang, anak derhaka yang disumpah menjadi batu kerana enggan mengakui ibunya.

Batu menyerupai manusia bersujud dan sisa kapal masih menjadi tarikan, mengingatkan bahawa cerita rakyat bukan sekadar dongeng tetapi pesan moral yang hidup sepanjang zaman. Pantai ini juga menawarkan pemandangan indah, pasir kecoklatan dan ombak yang jinak sesuai untuk berjalan santai sebelum kembali ke tanah air.
Sebelum berangkat ke lapangan terbang melalui jambatan Siti Nurbaya, kami singgah solat di Masjid Raya Sumatera Barat yang berbentuk rumah gadang dan bumbung melengkung.


Masjid dua Tingkat yang sarat dengan hiasan dalaman yang menarik ini terletak di Kecamatan Padang Utaraa, Kota Padang yang mampu menampung hingga 20,000 jemaah pada satu-satu masa. Pertama kali masjid ini dirasmikan untuk solat Jumaat pada 7 Febuari 2014.
Kembara di bumi Minangkabau walau hanya empat hari bukan sekadar tentang pemandangan indah, hidangan nasi Padang yang enak dengan minuman ais jeruk atau helaian busana dan telekung sulaman tetapi juga pelajaran tentang sejarah, adat dan budaya. Menariknya jika berpeluang ke sana ketika cuaca panas, gabungan langit, awan, gunung ganang, kehijauan buminya menonjolkan suasana alam yang sangat indah, bagai lukisan.

Perjalanan yang dimulai dengan derasnya Lembah Anai, khazanah Muzeum Bustanil Arifin, gadangnya Istana Pagaruyung, hinggalah kepada kehangatan secawan kawa daun di Pariangan. Setiap hentian adalah helaian cerita yang meneguhkan jati diri meskipun antara kami bukan berdarah Minang, namun hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.


Sampai jumpa lagi.