Sunday, January 25, 2026

BANGSAWAN TRIBUANA ASEAN 2025, SATUKAN SENI NUSANTARA

Share

-Lagenda Cik Siti Wan Kembang Diangkat ke Pentas

Warisan seni bangsawan kembali menyerikan pentas apabila Teater Bangsawan Tribuana ASEAN 2025 dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 dan 31 Ogos lalu. Dua malam berturut-turut, persembahan megah ini berjaya menarik perhatian penonton tempatan dan antarabangsa.

Menghimpunkan lebih 220 penggiat seni dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, pementasan ini menjadi antara produksi terbesar dalam sejarah bangsawan. Ia diadakan sempena Program Kepengerusian ASEAN Nusantara 2025 sebagai penghormatan kepada Seniman Negara Allahyarham Tuan Haji Abdul Rahman B (Pak Rahman B), tokoh yang banyak berjasa mengangkat seni bangsawan ke arus perdana.

Pementasan kali ini mengetengahkan naskhah epik Grahi Adruja, mengisahkan Puteri Adruja Wijayamala Singa, puteri Raja Sang Tawal dari kerajaan Grahi (Kelantan lama) yang dikenali sebagai srikandi Melayu berani. Keberanian beliau menentang Siam menjadikannya legenda tersohor dengan gelaran Cik Siti Wan Kembang, raja perempuan pertama di tanah Melayu.

Melibatkan 220 orang terlibat menghimpunkan penggiat seni dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Pementasan ini diadakan sempena Program Kepengerusian ASEAN Nusantara 2025 sebagai penghormatan kepada Seniman Negara, Allahyarham Tuan Haji Abdul Rahman B atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Rahman B.

Penganjuran tribuana bangsawan ini melalui Majlis Teater Negeri Selangor (MTS) dengan sokongan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Laboratori Teater gates Indonesia yang menghadirkan seramai 16 orang para pelajar Universiti Setia Budhi rangkasbitung Banten Indonesia, Anjung Satria Budaya (ASTRIA), Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) UiTM bersama kumpulan Chamber Koir dari Konservatori Muzik UiTM Shah Alam 25 orang.

Termasuk para pensyarah kreatif dari Fakulti Filem Teater dan Animasi Kampus Puncak Perdana, Para pelajar sekolah antarabangsa Wesly Methodist sekitar 63 orang, para penari cilik dari Langkah Seni Nusantara serta rakan strategik Zumail Global yang banyak membantu dalam promosi dan pemartabatan pementasan ini ke peringkat antarabangsa.

Bangsawan ini tampil dalam pementasan Grahi Adurja, naskhah epik yang mengangkat kisah Puteri Melayu, Adruja Wijayamala Singa, puteri kepada Raja Sang Tawal dari kerajaan Grahi (nama lama bagi Kelantan).

Pengarah pementasan, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman (Dr. Aida) yang juga Yang Dipertua Majlis Teater Negeri Selangor berkata, kisah ini wajar diketengahkan kerana sarat dengan nilai sejarah dan kepimpinan wanita.

“Adruja bukan sekadar puteri, beliau panglima yang memimpin srikandi menentang penjajahan. Pementasan ini memperlihatkan kekuatan wanita silam yang melampaui stereotaip dan meninggalkan warisan kepemimpinan untuk generasi kini,” katanya.

Menurut Dr. Aida, dua babak utama yang dipentaskan,  istana Raja Tawal di Grahi dan istana Raja Ram Khaheang di Siam digarap dengan penuh estetika untuk menonjolkan bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu.

Watak Adruja dibawakan pelakon teater Siti Sarah Ahmad Jamil yang menyifatkan peranan itu sebagai pengalaman mencabar.

“Saya bangga dapat menghidupkan semangat srikandi ini. Ia bukan sekadar lakonan tetapi membawa roh kepahlawanan wanita Melayu ke pentas,” katanya.

Wakil penganjur, Penasihat Kanan dan Perunding Strategik Zumail Global Sdn Bhd, Dato’ Hasnan Abdullah pula menyifatkan, pementasan ini sebagai pencapaian penting yang berjaya menghubungkan seni bangsawan dengan masyarakat serantau.

“Walaupun bahasa berbeza, ciri bangsawan tetap wujud di Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand. Inilah keunikan seni Nusantara yang menyatukan kita,” jelasnya.

Penonton turut memberi reaksi positif. Seorang jurutera, Aqilah Malek, 27, berkata, beliau teruja menonton bangsawan buat kali pertama.

“Selalu dengar nama Cik Siti Wan Kembang, tapi tidak tahu kisahnya. Selepas menonton, saya kagum kerana sejarah kita penuh dengan tokoh wanita hebat,” katanya.

Dr. Aida menambah, pementasan ini hanyalah permulaan.

“Kami mahu membawa bangsawan ini ke pentas ASEAN lebih besar. Selain mengekalkan negara yang terlibat, Brunei, Thailand dan Filipina sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai pada tahun hadapan. Harap kami seni bangsawan terus hidup agar generasi muda lebih menghargai warisan kita,” ujarnya.

Bersandarkan kepada sambutan hangat yang diterima, Teater Bangsawan Tribuana ASEAN 2025 membuktikan seni tradisional masih relevan dan dekat di hati masyarakat. Lebih daripada sekadar hiburan, pementasan ini menjadi jambatan budaya serantau, menyatukan warisan Nusantara di bawah satu pentas. Diharapkan kejayaan ini membuka lembaran baharu untuk bangsawan terus berkembang sekali gus memperkukuh identiti budaya bangsa di mata dunia.

 

 

Berita Lain..

Berita Tempatan