Malaysia baharu sahaja menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan pada masa yang sama, platform edutech tempatan MyTutor.my mula mencuri perhatian di peringkat serantau dengan inisiatif terbaruny The EduGig Movement.
Ia merupakan kempen yang bertujuan mentakrif semula bagaimana pendidikan dan ekonomi gig boleh berkembang bersama di seluruh Asia Tenggara.
Menurut Pengarah Urusan MyTutor.my, Mohd Hafiz Kamaruddin, platform tersebut yang kini menjadi penyedia perkhidmatan tuisyen satu ke satu terbesar di Malaysia, memainkan peranan penting menghubungkan tenaga pengajar dan pelajar melalui sesi pembelajaran di rumah mahupun secara dalam talian.
Menariknya, MyTutor.my bukan sekadar platform mencari tutor. Ia dilengkapi dengan alat pengurusan berasaskan AI, program pembangunan tutor yang teratur, dan ekosistem pembelajaran digital bersepadu bagi menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih berkualiti dan peribadi untuk setiap pelajar.

Pengarah Urusan Mohd Hafiz Kamaruddin (kanan) dan Pengarah Eksekutif MyTutor Academy Sdn Bhd, Siti Zulaikha Jeffry (kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi & Korporat) Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), Edmund Peck Huang Cheong.
Bersandarkan rancangan untuk meluaskan operasi ke Brunei dan Indonesia, MyTutor.my kini meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang boleh berkembang tanpa sempadan. Pada masa yang sama menjadi contoh bagaimana inovasi pendidikan tempatan boleh dieksport ke rantau ini.
Baru-baru ini, MyTutor.my turut dijemput oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk mewakili sektor pendidikan gig dalam Sesi Libat Urus mengenai Pelaksanaan Rang Undang-Undang Pekerja Gig bersama Penyedia Platform.
Mohd Hafiz berkata, penglibatan tersebut membuktikan komitmen syarikat untuk membentuk masa hadapan pendidikan berasaskan gig di Malaysia. Di samping memperjuangkan pengiktirafan dan perlindungan yang lebih baik untuk para tutor yang menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang berkembang pesat.
Berpegang kepada falsafah “One-to-One Tutoring, One Nation Thriving”, MyTutor.my kini melangkah lebih jauh daripada sekadar platform pembelajaran, sebaliknya menjadi sebahagian daripada gerakan nasional yang memperkasakan tutor, meningkatkan hasil pembelajaran pelajar serta menempatkan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang tuisyen hibrid serta inovasi pendidikan di rantau ASEAN.
“Kami melihat ia sebagai sebahagian daripada pergerakan yang lebih besar dan satu usaha kolektif untuk memperkasakan para tutor serta membentuk masa hadapan pendidikan Asia Tenggara dari Malaysia, untuk rantau ini,” katanya.