Wednesday, January 28, 2026

DI SEBALIK ASAP – SAINS, FAKTA DAN HARAPAN

Share

Walaupun dunia semakin maju, satu krisis kesihatan awam masih menghantui Asia iaitu rokok. Rantau ini menempatkan lebih separuh daripada satu bilion perokok di seluruh dunia dan mencatatkan empat juta kematian akibat tembakau setiap tahun.

Angka ini bukan sekadar statistik tetapi  ia membawa kisah kehilangan, kesakitan dan beban kewangan yang amat besar.

Kesan ekonomi akibat tabiat merokok dianggarkan mencecah trilion dolar setiap tahun sekali gus menekan sistem kesihatan awam yang sudah sedia terbeban.

Walaupun pelbagai dasar kawalan tembakau telah dilaksanakan, daripada amaran kesihatan pada kotak rokok, cukai tinggi hingga kempen berhenti merokok, hakikatnya kadar merokok terus meningkat, terutamanya di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Maka timbul persoalan penting, pakah sudah tiba masanya kita mengubah cara berfikir tentang penyelesaian?

Dalam sidang Asia Forum on Nicotine 2025, Pakar Perunding Endokrinologi Kardiovaskular, Profesor Dr. Rohan Sequeira menyeru agar dasar kesihatan awam mula berpaksikan kepada sains dan pendekatan pengurangan kemudaratan (harm reduction).

Pakar Perunding Endokrinologi Kardiovaskular, Profesor Dr. Rohan Sequeira

Menurut beliau, beberapa negara telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini.

“Sebahagian besar dasar pengurangan kemudaratan tembakau disokong oleh sains perubatan yang kukuh. Di United Kingdom, misalnya, inisiatif kesihatan awam mereka menunjukkan bahawa vape adalah 95% lebih selamat daripada rokok konvensional.

Sweden pula menjadi contoh terbaik apabila kadar kanser mulut di negara itu menurun dengan ketara hasil pelaksanaan dasar harm reduction,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun nikotin bersifat ketagihan, bahan itu bukan penyebab utama kepada kanser, penyakit jantung, diabetes atau penyakit kronik lain.

“Kajian menunjukkan yang sebenarnya berbahaya ialah pembakaran tembakau. Ia menghasilkan lebih 7,000 bahan kimia toksik yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan,” katanya.

Projek Sains Boleh Selamatkan Jutaan Nyawa

Prof. Dr. Sequeira turut membentangkan unjuran yang mengejutkan. Jika negara-negara Asia mula mengamalkan dasar pengurangan kemudaratan tembakau (THR), jutaan nyawa boleh diselamatkan.

“Jika China melaksanakan dasar THR dalam tempoh lima tahun sahaja, 1.5 juta nyawa boleh diselamatkan, dalam 10 tahun hingga 5 juta dan dalam 20 tahun hingga 15 juta.

“Dalam masa 30 tahun, potensi penyelamatan boleh mencecah 30 juta nyawa hanya di sebuah negara,” katanya.

Beliau menyifatkan angka itu sebagai panggilan sedar (wake-up call) kepada semua pihak.

“Ini bukan sekadar angka, ia seruan kepada pembuat dasar dan kerajaan untuk melihat kembali strategi mereka. Untuk para penyokong THR, ini bukti bahawa perjuangan kita bukan sia-sia. Kita sedang memperjuangkan kehidupan dan kualiti hidup yang lebih baik untuk jutaan manusia,” tegasnya.

Di sebalik kontroversi tentang produk alternatif tembakau, mesej utama daripada komuniti saintifik semakin jelas,  fokus perlu beralih daripada menghukum kepada membantu.
Pendekatan berdasarkan sains memberi peluang baharu kepada perokok untuk beralih kepada pilihan yang lebih selamat, sambil mengurangkan beban sistem kesihatan awam.

Melalui sokongan data dan keberanian politik, negara-negara Asia boleh menjadi contoh dunia dalam menguruskan krisis tembakau secara lebih bijak dan berperikemanusiaan.

Pada akhirnya, sains bukan sekadar fakta, ia adalah harapan untuk hidup yang lebih panjang, sihat dan bermakna.

Nota Editor: Rencana ini disediakan sempena perbincangan terkini dalam Asia Forum on Nicotine 2025, yang menghimpunkan pakar perubatan, penggubal dasar dan penyelidik dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan pengurangan kemudaratan tembakau di Asia.

Berita Lain..

Berita Tempatan