-Demi Kelestarian Ekonomi Ummah
Dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan keberkatan sebagai tunjang kelestarian ekonomi ummah, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) bersama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan sebuah forum ilmiah yang menekankan peranan pengurusan harta dan perniagaan Islam berteraskan nilai syariah.
Forum bertajuk Audit Keberkatan: Zakat Berintegriti, Perniagaan Berjaya itu menghimpunkan tokoh korporat, Dato’ Mohammed Hussein, serta pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid. Perbincangan tertumpu kepada cabaran serta solusi tadbir urus syarikat berskala besar yang berlandaskan prinsip integriti, amanah dan keberkatan.
Pengurus Kanan Syariah & Antarabangsa PPZ-MAIWP, Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, mengendalikan forum Audit Keberkatan bersama ahli panel Dato’ Mohammed Hussain dan Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid, anjuran ikhlas.com dan PPZ-MAIWP di WTCKL.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, forum tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman dalam kalangan pemimpin korporat dan pengurus organisasi bahawa zakat, amanah serta keberkatan perlu menjadi elemen penting dalam kerangka tadbir urus syarikat.
Menurutnya, pendekatan perniagaan berasaskan nilai Islam bukan sahaja mampu membentuk organisasi yang lebih beretika malah berupaya melahirkan perniagaan yang lestari dan berimpak sosial tinggi.
Sementara itu, Mohammed Hussein menegaskan bahawa cabaran terbesar seorang Muslim dalam dunia korporat adalah memastikan setiap keputusan perniagaan bukan sekadar efisien dari sudut operasi, tetapi juga adil, amanah serta selari dengan prinsip syariah.
Katanya, keberkatan bukanlah penghalang kepada keuntungan, sebaliknya menjadi faktor yang menjadikan perniagaan lebih mampan dan dipercayai.
Habib Ali Zaenal Abidin pula menekankan bahawa harta yang berkat ialah harta yang halal sumbernya, baik pengurusannya serta memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Beliau berkata, kekayaan mampu menjadi jalan menuju keredaan Allah apabila dimanfaatkan untuk pembangunan dan kesejahteraan ummah.
Beliau turut mengingatkan para pemilik syarikat dan pengurus organisasi agar sentiasa berlaku adil dalam memimpin kakitangan kerana setiap insan yang diurus merupakan amanah daripada Allah. Nilai keadilan dan ihsan dalam kepimpinan, katanya, menjadi asas utama kepada keberkatan sesebuah organisasi.
Setakat ini, ikhlas.com telah berjaya merekodkan kutipan zakat melebihi RM50 juta dan dilantik sebagai ejen amil oleh 11 institusi zakat di seluruh negara, termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Perlis, Terengganu dan Sabah.
Komitmen ikhlas.com dalam pengurusan zakat turut mendapat pengiktirafan industri menerusi Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik 2023 – Ejen Perunding serta Anugerah Prestasi Kutipan Tertinggi 2024 – Ejen Perunding daripada Lembaga Zakat Selangor.
Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital gaya hidup dan pelancongan Islam di bawah Capital A Berhad. Ia berperanan sebagai saluran memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan dengan lebih mudah dan tersusun.
Selain perkhidmatan umrah dan kembara mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan pelbagai lagi. Maklumat lanjut boleh didapati di ikhlas.com atau dengan memuat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.