Bayangkan aroma tempoyak asli yang memikat digabung dengan haruman serai kampung, kini hadir dalam bentuk kiub yang kecil tapi penuh rasa. Inilah inovasi terbaharu dari dapur Malaysia: Kiub Pati Tempoyak Bersama Serai, produk unik yang dicipta khusus untuk wanita moden yang sentiasa sibuk namun masih mahu menyajikan menu enak, berkhasiat dan penuh citarasa tempatan untuk keluarga.
Diperkenalkan oleh Serai Malaya Sdn. Bhd, jenama tempatan yang semakin yakin dalam inovasi makanan herba, produk ini dilancarkan sempena Mega Karnival 3 Dimensi (3D) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur bari-baru ini.

Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah menandakan satu anjakan dalam cara kita mengangkat bahan-bahan tradisional.
“Kami faham cabaran wanita masa kini dengan masa terhad tetapi mahu masakan berkhasiat dan sedap. Produk ini bukan saja menjimatkan masa malah mengekalkan rasa dan nilai warisan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Serai Malaya, Johari Abu Kasim ketika ditemubual selepas majlis pelancaran.
Rasa Tradisi, Gaya Hidup Moden
Kiub Pati Tempoyak Bersama Serai merupakan antara kiub masakan pertama di dunia yang menggabungkan tempoyak asli durian tempatan dan serai kampung berkualiti tinggi. Formulasinya direka khas bagi memudahkan proses memasak tanpa menjejaskan rasa dan khasiat semula jadi.
Melalui penggunaan teknologi seperti freeze drying dan encapsulation, produk ini bebas bahan pengawet, tahan lama dan mengekalkan aroma semula jadi. Cukup satu atau dua kiub sahaja, ibu-ibu boleh menyediakan gulai tempoyak, sambal atau lauk berkuah yang membangkitkan selera kurang dari 20 minit.
“Kami mahu bantu ibu-ibu kembali ke meja makan bersama keluarga tanpa perlu berjam-jam di dapur,” tambah Johari.

Pengarah Urusan Kumpulan Serai Malaya Sdn Bhd, Johari Abu Kasim menunjukkan Kiub Pati Tempoyak Bersama Serai dan Kiub Pati Udang Bersama Serai di majlis pelancarannya baru-baru ini.
Lebih Dari Sekadar Kiub
Selain Kiub Tempoyak, Serai Malaya turut memperkenalkan Kiub Pati Udang Bersama Serai dalam pelancaran yang sama. Kedua-dua produk ini melengkapkan rangkaian enam produk berasaskan serai termasuk Serai Racik Kering, Serbuk Serai, Teh Serai dan Kiub Pati Serai.
Sejak ditubuhkan pada 2022, Serai Malaya telah membeli lebih 120,000 tan metrik serai daripada penduduk kampung, menjadikan mereka salah satu pembeli utama serai kampung di Malaysia. Model kontrak pertanian yang mereka amalkan bukan sahaja menjamin bekalan berkualiti malah memberi pendapatan tetap kepada lebih 50 penanam di Batu Kikir, Beranang dan Sabak Bernam.
Produk ini juga menjadi platform menghidupkan semula semangat gotong royong, satu nilai yang kita rindu dalam komuniti masa kini. Bukan sekadar produk tetapi sebuah gerakan kecil membina ekonomi desa dan martabat rasa tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan Serai Malaya Sdn Bhd, Johari Abu Kasim (tengah) bersama kakitangan syarikat menunjukkan bebeapa produk keluaran sempena pameran Mega Karnival 3 Dimensi di MITEC baru-baru ini
Serai Dari Belakang Rumah ke Pasar Global
Menerusi sokongan agensi seperti MATRADE, FAMA dan MARA, produk Serai Malaya kini boleh didapati di AEON, Jaya Grocer, Giant dan juga platform atas talian seperti AirAsia Grocer dan Tabung Haji Online. Mereka menyasarkan pasaran luar negara melalui ekspo seperti Fi Asia Thailand 2025, dengan harapan menembusi pasaran di 28 buah negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Kami mahu serai kampung dikenali sebagai simbol rasa Malaysia, berkualiti, sihat dan penuh nilai warisan. Apatah lagi kaum wanita rasa bangga membawa rasa tradisi ke meja moden,” katanya.
Resipi SM – Gulai Tempoyak Ikan Patin Segera
(Hidangan 4 orang / Siap dalam 20 minit)
Bahan-bahan:
- 2 ketul ikan patin (boleh juga guna tenggiri atau salmon)
- 2 kiub Pati Tempoyak Bersama Serai
- 1 batang bunga kantan (dibelah dua)
- 3 helai daun kesum
- 1 biji cili merah dan 10 biji cili padi (ikut tahap pedas)
- 1 cawan air
- Garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:
- Masukkan air dan kiub tempoyak ke dalam periuk. Biarkan larut atas api perlahan.
- Masukkan cili tumbuk, bunga kantan, dan daun kesum. Biarkan mendidih.
- Masukkan ikan, biar mendidih lima hingga lapan minit hingga ikan masak.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Hidangkan panas bersama nasi putih dan ulam kampung.
🌸 Tip SM: Kalau mahu versi lebih berkrim, tambahkan sedikit santan pekat di akhir masakan!
Ikuti mereka di IG: @seraimalayaofficial
Laman web: www.seraimalaya.com