Tuesday, January 27, 2026

ISP MENYEMAI KASIH – BANTUAN PENGLIHATAN DI RUMAH HOPE

Share

Gelak tawa kanak-kanak memecah kesunyian pagi di Rumah Hope, Petaling Jaya. Di tangan mereka bukan  sahaja mainan baharu tetapi sepasang cermin mata,  simbol kecil yang membawa perubahan besar dalam kehidupan.

Bagi sebahagian daripada 49 penghuni rumah kebajikan itu, inisiatif kecil ini memberi makna besar,  melihat dunia dengan lebih jelas dan bermakna.

 

Kanak-kanak berusia antara 6 hingga 19 tahun menjalani pemeriksaan mata menyeluruh yang dikendalikan oleh pakar optometri dari Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn dengan kerjasama St. John Ambulans Malaysia, Selangor.

Itulah detik manis yang dibawa oleh Kumpulan Syarikat ISP, sebuah syarikat hartanah yang terkenal dengan kepakaran dalam segmen Gudang Logistik dan Hab Pembuatan (LWMH) serta Penginapan Pekerja Dibina Khas (PBWA).

Melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka fokus kesihatan mata dan ISP hadir bukan sekadar memberi sumbangan tetapi menyentuh kehidupan.

Dalam program yang dijalankan dengan kerjasama Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn dan St. John Ambulans Malaysia, Selangor, kanak-kanak berusia antara 6 hingga 19 tahun menjalani pemeriksaan mata menyeluruh menggunakan mesin auto refractor.

Prescilla Rudd, Pengurus, Pelaburan, Komunikasi Korporat Kumpulan Syarikat ISP, Eric Ng, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn Bhd dan Tuan Lim Kian Boon, wakil daripada St. John Ambulans Malaysia, Selangor Darul Ehsan di Rumah Hope bagi membawa senyuman dan harapan baharu kepada 49 orang kanak-kanak.

Pemeriksaan merangkumi ujian penglihatan, buta warna dan kesihatan mata umum, sementara penilaian lanjut dijalankan menggunakan slit lamp bagi memastikan ketepatan diagnosis.

Bagi mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah penglihatan, ISP menaja cermin mata pembetulan secara percuma. Sekali gus memberi kesan besar terhadap keyakinan diri dan prestasi akademik anak-anak.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn Bhd,  Eric N berkata, kesihatan mata memainkan peranan penting dalam perkembangan seorang kanak-kanak.

“Ia mempengaruhi cara mereka belajar, bergaul dan membina keyakinan diri. Apabila berjaya mengenal pasti serta menangani masalah penglihatan sejak awal, kami berharap dapat memberi asas yang kukuh kepada mereka untuk cemerlang di sekolah dan dalam kehidupan,” katanya.

Program tersebut  bukan sekadar tentang kesihatan mata kerana majlis diserikan dengan aktiviti mewarna, permainan, makan tengah hari istimewa dan pemanis mulut, menjadikan hari yang penuh keceriaan.

Beg hadiah turut disampaikan sendiri oleh Eric Ng kepada kanak-kanak yang gembira menerima perhatian dan kasih sayang daripada tetamu istimewa.

Turut hadir memberikan sokongan termasuk pakar optometri dari Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn serta , Komander Negeri St. John Ambulans Malaysia, Selangor Darul Ehsan, Lim Wun Lok.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja CSR lebih besar “Nourish with Hope, ISP Cares!”, yang baru-baru ini menerima pengiktirafan di Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025.

Program ini berkembang daripada bantuan makanan kepada pendidikan, kesihatan dan inisiatif ketahanan komuniti. Ia mencerminkan pendekatan holistik ISP dalam memberi impak sosial yang berkekalan.

“Tanggungjawab kami sebagai syarikat bukan sekadar memacu keuntungan, tetapi memperkukuh nilai kemanusiaan. Kami ingin terus menyalakan harapan dan membantu membina masa depan yang lebih cerah buat kanak-kanak dan komuniti sekitar,” ujar Eric Ng.

Berteraskan semangat yang sama, ISP berhasrat untuk memperluas usaha CSR ini ke rumah kebajikan lain. Memastikan setiap kanak-kanak yang memerlukan mendapat peluang untuk melihat dunia dengan lebih terang  dan berhadapan masa hadapan lebih menyakinkan.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan