Saturday, March 7, 2026

KUARANTIN COVID 19 – AKU BELAJAR SESUATU

Share

Imbas Bekas Pesakit Covid_19 (Bab 1)

         10 minit menunggu selepas hidung dijolok dengan batang kecil di hujungnya bersalut kapas, lembut datang jururawat bermata bundar sambil berkata, “Puan, puan positif Covid_ 19 ni,” katanya sambil menunjukkan keputusan ujian itu kepadaku.

         “Ya! Allah,  hanya itu sahaja yang keluar dari mulut.”

         “Lepas ni puan minta ahli keluarga buat swab test ya. Puan ada apa-apa simpton tak? Puan nak apa-apa ubat ke?” sambil dia menghulurkan kertas bercetak tertera keputusan ujian calitan tadi.

         Aku terkesima sebentar, antara mahu menangis atau tidak. Wajah jururawat di hadapan aku pandang lama, sehingga dia berkata lagi.

         “Puan…. puan nak ubat tak?” katanya agak kuat selepas lama aku terdiam.

“Bolehlah nurse bagi semua ubat ya, ubat demam, selesema dan batuk.”

         Pantas aku mencapai telefon lalu menghubungi nombor telefon suami, segera aku minta dia membawa semua anak ke klinik untuk membuat ujian calitan. Sementara itu aku terus menelefon adik- beradik di kampung kerana sebelum ini sepanjang tiga hari aku berada di kampung.

         “Assalamualaikum, hari ini mak teh telah menjalani swab test dan didapati positif. Mak teh mohon maaf kepada semua. Jika ada yang mengalami simpton, diminta segera membuat ujiancalitan. Yang buruk datang daripada diri mak teh dan yang baik tentunya datang dari Allah SWT,” begitu nada mesej yang aku hantar ke dalam group keluarga.

         Satu persatu nama abang, kakak dan adik aku hubungi. Bermula dengan kakak yang sulung diikuti yang lain termasuk ipar-duai. Perasaan jadi tidak keruan aku menangis teresak-esak di hujungtalian meminta maaf di atas kekhilafan aku di atas sifat tidak berhati-hati aku. Ya itu yang aku rasa.

         Perasaan bersalah menjalar ke segenap hati. Kalaulah tak balik kampung, kalaulah terus menjalani ujian calitan di klinik..kalaulah…kalaulah. Entah berapa banyak perkataan ‘ kalau’ keluar dari mulut.

         Kemudian kata hati pula berkata, “ ehh kau dah buat swab test tiga kali kan negatif. Bukan salah kau lagi. Semuanya atas kehendak Allah. Sudah tak perlu rasa bersalah,” kata hati bagaikan memujuk.

Terasa tenang seketika.

         Ya Allah mak.Seraya wajah wanita berusia 77 tahun terbayang di ruang mata. Saat ini, ibulah yang paling aku risaukan. Di kampung aku tidur di bilik ibu, aku solat juga di situ.

         Begitu juga dengan anak-anak aku yang banyak menghabiskan masa di situ.

Sekali lagi aku diterjah rasa bersalah. Tidak pernah rasa ini hadir, sungguh wajah itulah yang aku bayangkan. Bimbang sekiranya ibu dijangkiti, tambahan pula kerapkali membaca mengenai virus yang mudah menjangkiti mereka yang sudah berusia, terbayang pula kisah-kisah mereka yang kehilangan ibu disebabkan Covid 19.

         Jika ia terjadi, tentu aku yang akan dipersalahkan tidak pun aku yang akan rasa bersalah seumur hidup. Libang-libu rasa hati, tidak sedang duduk jadinya.

         “Ya Allah Kau pelihara ibuku dan seluruh ahli keluarga daripada virus jahat ini. Kau lindungi ibuku Ya Allah. Aku belum puas merasai kasih sayangnya Ya Allah belum puas berbakti kepada dia Ya Allah. Bantulah aku hambaMu yang lemah dan hina ini Ya Allah,” doa yang aku ratapi setiap masa.

         Sementara suami menguruskan anak-anak aku masih lagi berbicara dengan hati, berperang dengan diri sendiri. Ya aku akur inilah saat paling sukar melawan gelodak hati, mengurus emosi kala virus sudah sebati dalam diri.

         Aku alah bukan pada simpton Covid 19 kerana aku sudah melaluinya. InsyaAllah tiada yang merisaukan demam yang tidak terlalu tinggi, cuma batuk sedikit. Aku juga hilang deria rasa. Ini menyebabkan semua makanan tidak mampu dijamah.

         Hanya sekadar masuk ke mulut sedikit, kemudian terpaksa diluahkan semula. Tiada rasa semuanya payau. Ya aku berjaya melawan virus berjaya kuatkan hati sehingga simpton yang aku alami aku anggap ringan sahaja.

         Ya aku cuba menafikan yang ia adalah virus Covid 19 biarpun sudah ada simpton kerana beranggapan ia demam biasa. Manakan tidak kerana setiap kali demam aku juga akan mengalami gejala sama sehingga langsung tidak merasakan ia ada Covid.

         “Na..Dinara dan Fayyadh positif. Syukur Alhamdulillah abang negatif,” kata suami mengejutkan aku dari lamunan. Aku pandang wajah suami. Tiada sepatah kata yang keluar. Aku memang sudah menyangka kedua-dua anak ini positif. Alhamdulillah kakak dan abang Fahim negatif begitu juga suami.

         Sedangkan suamilah yang menemani tidur, memicit kepala ketika pening, menempuh perjalanan hampir lima jam dari kampung ke Bangi dalam keadaan kereta yang bertutup.

         “Ya Allah terima kasih atas kebaikan ini. Hanya dua anak sahaja yang kena itu pun langsung tidak bergejala. Mereka aktif ke sana sini. Terima kasih Allah,” kata-kata yang aku bisikkan entah kali keberapa. Kesyukuran yang begitu tinggi, pengharapan sepenuhnya hanya padaMu melindungi kami sekeluarga.“Kesedihan dan dugaan yang kita rasakan hari ini akan membuatkan kita lebih kuat untuk

menghadapi hari esok. Jangan putus asa, tentu ada hikmah yang manis di sebalik semua kejadian yang menimpa kita yang kita tidak mengetahuinya.”

14 Disember 2021

         Dari malam aku rasa tidak sedap badan. Aku pegang dahi dan di bawah leher ada terasa dedar- dedar seperti hendak demam. Hati berbisik, InsyaAllah tak ada apa-apa hanya demam biasa. Aku risau memandangkan perancangan ingin pulang ke kampung disebabkan ada program bersamakeluarga.

         Esoknya pula ingin membawa kakak mengambil ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Muadzam Shah, Pahang.

“Sudah, harapnya demam biasa sahaja,” tak henti-henti aku berdoa sehingga terlelap. Esoknya Jam 10 pagi aku terus berada di klinik. Mengambil suhu badan yang ketika itu hanya 36.4 darjah celsius. Doktor memberikan ubat demam, batuk, sakit tekak dan selesema sebagai simpanan sekiranya demam melarat.

         Pulang ke rumah, aku terus membuat ujian Saliva sendiri. Alhamdulillah negatif. Hati semakin kuat mengatakan ia bukan Covid-19.

Jadi keesokannya kami sekeluarga terus bertolak ke Pahang bagi menunaikan tuntutan untuk kakak.

         Ketika itu masih tiada simpton lain melainkan dedar-dedar badan. Tiada batuk dan selesema. Cuma badan terasa letih dan lesu. Biarpun begitu aku masih tetap menunaikan permintaan suami mengambil alih tugasnya memandu ke Muadzam.

Selepas selesai semuanya seperti yang dirancang kami meneruskan perjalanan ke kampung di Perak. Ketika itu tekak mula terasa gatal namun tidak ketara. Badan masih sama dedar-dedar,letih dan lesu.

         Sudah mula hilang selera makan. Namun masih tetap merasakan ia adalah perkara biasa kerana

memang ini juga simptonnya setiap kali demam. Letih dan hilang selera makan.

17 Disember 2021

         Hari ini selera makan sudah tiada. Aku hanya menjamah sedikit nasi dan malam langsung tidak menjamah makanan. Deria bau masih ada kerana aku masih dapat mencium bau segar harumanminyak wangi yang dipakai.

         Mak cepat perasan keadaan aku yang kurang bercakap. Pada Ahad juga mak adakan kenduri tahlil untuk arwah bapa. Inilah sebab utama mengapa aku ingin pulang kerana sudah dua tahun tidak meraikan bersama keluarga ditambah pula ada majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah abah.

         Ketika itu badan sudah sedikit segar dan aku bersama-sama menyertai bacaan Yasin dan menjamu selera. Cuma hanya menjamah sedikit kuih-muih dan kambing bakar disebabkan langsung tiada selera makan. Selebihnya aku hanya melihat sahaja semua makanan kesukaanku di atas meja.

         Selepas habis kenduri memang seharian aku di bilik mak. Berehat dan tidur sambil terasa badan terlalu banyak angin. Disebabkan hari kelima sekali lagi aku membuat ujian Saliva dankeputusannya negatif. Namun aku tetap berhati-hati dengan keluarga. Aku kurangkan bersentuhan dan bertemu mereka. Apa-apa barang di luar seperti minuman aku minta dengan anak.

         Oleh sebab terlalu menjaga diri menyebabkan aku tidak makan dan minum seharian. Sudahnya kondisi semakin lemah. Sekali lagi aku meminta dibawa ke klinik untuk membuat ujian calitan, malangnya doktor yang merawat aku mengatakan tidak perlu memandangkan aku tiada kontak rapat dan telah membuat ujian sendiri sebanyak dua kali dan keputusan ujian adalah negatif.

         Akhirnya aku pulang dalam keadaan serba-salah. Takut dengan pandangan keluarga di rumah. Namun masih positif dan mengharapkan agar ia bukannya Covid-19. Ya pengharapan dan doa yang sangat tinggi.

“Sesuatu yang kamu harapkan, jangan pernah berhenti untuk kamu doakan. Yakinlah bahawa

Allah pasti akan mengabulkannya”

 19 Disember 2022

Suami membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur walaupun ketika itu kondisi aku sudah semakin baik. Risau katanya sambil itu boleh pergi ke hospital lagi sekali takut sekiranya denggi atau penyakit lain.

         Jadi keesokannya kami terus pulang ke Bandar Baru Bangi. Keadaan aku ketika itu semakin bertambah baik, selera makan sudah ada tidak lagi lemah dan lesu. Keesokannya harinya aku tetap ke klinik berdekatan untuk membuat ujian calitan RTK, masih bimbang mana tahu virusnya muncul lambat. Tidak dijangka memang benar simpton yang aku rasai selama ini adalah jangkitan Covid 19. Aku dijangkiti tanpa kontak rapat dan aku sendiri tidak tahu daripada ia bermula.

21 Disember 2022 – Kuarantin hari pertama

         Bermulalah kuarantin hari pertama. Aku bersama dua lagi anak kuarantin

di dalam bilik tidur utama. Ketika itu semua simpton sudah tiada. Aku sudah sihat sepenuhnya, tiada rasa dedar, tidak letih dan lesu, tidak selesema atau batuk.

Selera makan pula sudah pulih malah semakin banyak aku makan. Lapar agaknya berkurung di dalam bilik.

         Namun emosi masih sama, takut, bimbang dan risau yang amat tinggi. Aku fobia setiap kali melihat telefon, setiap kali ada mesej aku terbayang seandainya itu mesej ahli keluarga yang yang dijangkiti Covid 19.Kerisauan keterlaluan ini sehingga menyebabkan badan aku terlalu banyak angin.

         Asyik sendawa sehingga rasa tidak selesa. Setiap kali menerima perkhabaran mesej di skrin telefon hati jadi tidak keruan. Perasaan bercampur baur. Rasa takut yang sangat mendalam. Aku bimbang jika ibu dijangkiti. Risau jika adik-beradik menyalahkan aku atas ketidakprihatinan diri sendiri. Bermacam-macam aku bayangkan wajah ibu berusia 77 tahun datang silih berganti.

         Di tambah pula apabila membaca ada rakan yang kematian ahli keluarga disebabkan virus jahat ini. Ini perkara yang paling aku takuti. Perkara yang menyebabkan aku tidak dapat melelapkan mata di sepanjang malam.

         Apakah yang akan terjadi pada aku? Apakah aku masih Allah bagi peluang untuk bersama-sama lagi dengan suami, anak-anak dan mak? Ya mengenang mak aku bertambah pilu dan resah. Allah!!!

Bersambung

Karya;Zarinah Sahib, Bandar Baru Bangi

 

Berita Lain..

Berita Tempatan