Wednesday, January 28, 2026

KUARANTIN COVID_19 – AKU PASRAH

Share

Imbas Pesakit Covid_19 (Bab 2)

22 Disember 2022

       Dalam tempoh kuarantin aku sedang haid, jadi masa banyak dihabiskan dengan menulis. Menyelesaikan kerja-kerja penulisan untuk media sosial client. Fayyadh dan Dinara seperti biasa walau berada di ceruk bilik yang kecil, dengan tablet sebagai peneman, mereka masih boleh bergelak tawa bagai berada di luar bilik.

        Sesekali pintu bilik diketuk tanda makanan dihantar. Apabila memerlukan sesuatu, aku menghantar mesej kepada kakak atau Fahim, kemudian diletakkan di hadapan pintu. Mujur suami negatif jadi dialah yang menguruskan semuanya termasuk menyediakan makanan.

         Aku masih berperang dengan emosi, walaupun setakat ini langsung tiada berita ada saudara yang dijangkiti Covid 19, namun rasa bersalah tetap terasa. Jika masih tidak cukup sebulan selepas tarikh aku ada simpton aku tetap risau. Mana tahu virus muncul lambat. Andaian sekiranya mereka positif mula terbayang.

         Bagaimana jika ada adik-beradik aku dijangkiti? Bagaimana jika mak aku dijangkiti daripada aku? Bagaimana jika keadaan dia teruk? Ya Allah ketika itu aku merasakan, kesan Covid ini adalah bukan pada simpton sebaliknya kepada ketakutan seandainya ada ahli keluarga dijangkiti. Aku akui menguruskan emosi itu sangat sukar.

         Mungkin ini juga yang dirasai bagi mereka yang pernah dijangkiti Covid dan menjangkiti pula orang lain sehingga menyebabkan kematian. Bayangkan bagaimana mereka menguruskan emosi dan menerima kenyataan itu?

         Pastinya mereka sangat memerlukan sokongan daripada rakan dan ahli keluarga yang lain. Melalui fasa ini bukannya mudah . Pastinya ia akan menghantui hidup di sepanjang hayat mereka. Rasa sesalan dan rasa bersalah seumur hidup.

        Sedangkan aku diuji sebegini pun sudah berat rasa emosi yang perlu ditanggung. Sungguh itu yang aku fikirkan dan itu juga yang berat membebani emosi aku sepanjang tempoh kuarantin ini.

         “Mengeluh tidak akan memperbaiki keadaan, semangat untuk hari ini. Jalani dengan ikhlas dan penuh kesabaran.”

 23 Disember 2021

        Hari ketiga kuarantin. Seperti yang aku katakan tempoh kuarantin ini berlaku ketika aku dalam fasa sudah pulih. Ini kerana dalam masa ini aku sudah sihat dan tiada sebarang simpton lagi. Jadi ketika membuat penilaian untuk Sijil Elektronik HSO aku adalah pesakit CAT 1 iaitu pesakit yang tiada simpton.

         Sambil itu aku tetap meneruskan mengambil vitamin C dan minum lemon panas dicampurkandengan cengkih setiap pagi.

        Setiap hari membuat ujian oksigen dan mengambil suhu badan. Aku juga tetap ke CAC di Kajang untuk penilaian diri dan pemakaian gelang elektronik. Sekali lagi pemeriksaan dilakukan dan Alhamdulillah oksigen level berada dalam keadaan baik iaitu 98 dan 99. Tekanan darah juga normal. Syukur Alhamdulillah.

25 Disember 2021

         Hari kelima kuarantin. Ketika ini perasaan sudah sedikit tenang. Emosi sudah stabil. Malah air mata sudah berhenti mengalir. Benar sepanjang kuarantin aku sangat beremosi mudah benar air mata ini tumpah. Mengenangkan ibu aku menangis.

 Tidak pernah aku beremosi sebegini. Mujur ada adik beradik yang faham langsung mengirimkan doa dan kata-kata semangat.

         “Jangan salahkan orang lain atau sesekali salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku,” ya Allah kiriman ayat ini daripada salah seorang ahli keluarga sudah buat aku tenang. Ada juga yang memahami.

         Di bilik aku lebih banyak muhasabah diri. Nak solat tidak boleh. Jadinya aku lebih banyak berdoa kepada Maha Pencipta. Berdoa dengan sesungguh hati. Tidak pernah aku merasakan kemanisan dalam berdoa sebelum ini.

         Pengharapan yang benar-benar mengharapkan tiada sesiapa yang dapat membantu melainkan Dia Yang Satu. Aku terfikir pada ketika aku lemah, saat semua orang takutkan virus Covid 19, kekadang kita lupa kepada kuasa yang lebih menguasai.

         Mungkin apa yang Allah berikan ini, Virus ini Adalah untuk menguji tahap keyakinan aku kepadaNya. Pada saat aku sedang mendalami ilmu Tauhid secara online dengan Ustazah Khudaij aku sedar banyak ilmu yang masih belum aku faham.

         Berkali-kali di dalam kelas ustazah mengatakan besarkan Allah dalam semua perkara bukan makhluk lain atau benda. Berkali-kali juga aku cuba memahami apa yang sedang aku pelajari. Kata ustazah lagi waima makanan yang dimakan, bukan makanan itu yang menyebabkan kita rasa kenyang. Tetapi Allah.

         Bukan ubat itu yang menjadi penyembuh tetapi Allah. Bukan guru yang menyebabkan anak itu pandai tetapi Allah. Nasihat ustazah lagi sentiasa memperbesarkan Allah dalam semua perkara. Besarkan Allah

besarkan Allah besarkan Allah.Aku cuba mencari dan kaitkan dengan apa yang aku alami sekarang.

         Maha suci Allah, Alhamdulillah tiada siapa yang terjangkit melainkan dua anak. Suami juga bebas Covid sedangkan dialah yang membawa aku ke hulu ke hilir, memicit kepala ketika pening. Jika terjangkit daripada segi logik akal sudah tentu suami yang akan dijangkiti terlebih dulu. Pada saat aku sudah ada simpton.

         Begitu juga di kampung tiada sesiapa yang dijangkiti daripada aku. Ya Allah besar sungguh rahmat yang Allah berikan, memelihara kami semua daripada virus jahat ini. Tidak dapat aku bayangkan andai ibu yang dijangkiti, sudah tentu tahap imuniti badan lebih rendah berbanding yang muda. Bagaimana jika kondisi ibu teruk tidak dapat aku bayangkan.

         Namun semuanya Allah permudahkan. Aku percaya, tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia melainkan untuk mengambil pengajaran darinya. Apa yang aku rasai dan apa yang aku alami sememangnya adalah pelajaran secara bersemuka

bagaimana Allah ingin aku merasai sendiri apakah yang dikatakan Tauhid dan bagaimana memperbesarkan Allah itu berlaku.

         Jika Allah mengatakan jadi, maka jadilah tiada daya yang mampu melawannya. Covid 19 datang kepada mereka yang Dia kehendaki, juga pada mereka yang Dia tidak mahu dijangkiti. Bukan ada penyebab yang lain. Tanpa mengira sama ada sudah divaksin atau belum.

         Tetaplah dalam hati agar memperbesarkan Allah dahulu bukannya makhluk atau benda. Tetapkan dalam hati menyebut Allah dahulu dan yang lain sebagai asbab sahaja. Sepanjang kuarantin juga selain berdoa aku amalkan bersedekah dengan niat agar Allah melindungi ibu dan ahli keluarga yang lain.

         Keajaiban bersedekah juga adik aku yang pada mulanya positif selepas melakukan ujian calitan kendiri di hidung tetapi negatif kemudiannya selepas membuat ujian PCR sebanyak dua kali.

         Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur Ya Allah.

1 Januari 2022 – Selamat Tahun Baru

Pagi-pagi lagi jam 8 aku sudah bersiap-siap untuk keluar.

“Mama nak ke mana,” tanya anak yang bongsu.

“Mama mahu potong gelang, sambil menunjukkan gelang elektronik. Hari ni kita dah boleh bebas dah boleh keluar bilik,” kataku pula kepada Fayyadh.

“Yahooo,” jerit kedua-duanya.

 

         Selesai menjalani urusan penghantaran alat elektronik di CAC Kajang, aku mendongak ke langit, melihat birunya awan, segarnya alam, mentari yang terpancar terang, suasana yang tenang dan damai. Sungguh nikmat yang mana yang mahu aku dustakan?

         Bersyukur masih dipinjamkan hela nafas dan detak jantung ini. Diberikan kesihatan yang tiada nilainya. Dipinjamkan nyawa untuk terus menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Masih banyak tanggungjawab yang belum selesai. Sebagai anak, isteri, ibu dan hamba kepada Sang Pencipta.

         Dalam hela nafas aku memanjat kesyukuran. Sedikitpun tiada sekelumit kecewa atau bersedih dengan ujianNya ini. Biarpun tidak dapat bersama keluarga menikmati percutian ke Kedah yang sudah kami rancang sebulan yang lalu bersama kakak dan adik, tidak dapat berbual rapat dengan adik yang hampir tiga tahun tidak bersua muka disebabkan dia menetap di Sarawak langsung tiada sedikit sesalan

atau rasa kecewa.

         Malah aku benar-benar bersyukur dan reda dengan ujian yang diberikan.

Benar kata sahabat, “ujian Covid ni istimewa. Orang terpilih jer yang dapat.”

Betul di sebalik ujian ada rahmat. Jika kita mengambilnya sebagai sesuatu yang positif, memang positiflah yang akan kita pelajari.

         Dalam riwayat hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya besarnya pahala seseorang itu tergantung besarnya ujian yang ia terima, dan sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai sebuah kaum, maka kaum tersebut akan diuji oleh Allah SWT, barangsiapa yang redha dengan ujian serta cubaan tersebut, maka baginya pahala yang besar disisi Allah, akan tetapi jika dia marah atau tidak redha dengan ujian tersebut, maka dia hanya akan mendapat kemurkaan dari Allah SWT.

         Terima kasih Allah atas pembelajaran ini.

Baiknya Allah melindungi kami semua.

“Kunci kebahagiaan ketika diuji adalah dengan menjalaninya, menikmatinya dan mensyukuri

setiap perihal yang ada”

21 Disember -31 Disember 2021 Kuarantin untuk belajar sesuatu.

Karya: Zarinah Sahib, Bandar Baru Bangi.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan