Monday, January 26, 2026

MIA ZAHRA ZULAIKHA – DARI SUPEMODEL CILIK KE PENTAS FESYEN NASIONAL

Share

Pada usia 13 tahun, pelajar dari Gombak ini sudah mencipta nama yang bukan calang-calang dalam dunia peragaan. Mia Zahra Zulaikha mula berjinak-jinak dalam bidang modelling seawal usia tujuh tahun dan bakat semula jadinya segera menyerlah di pentas.

Sejak itu, Mia terus melangkah jauh. Antara pencapaian awalnya termasuk gelaran Supermodel Cilik 2021, Ikon New Top Model 2024 dan penerima National Star Award 2024. Pengiktirafan yang menandakan permulaan kerjayanya sebagai seorang model muda yang penuh potensi.

Menamatkan sesi graduasi Masterclass di Kids Modelling Clinic di bawah tunjuk ajar supermodel Zanura Zafrullah dan Puan Emma, membuka lebih banyak peluang untuknya. Sejak itu, pelbagai tawaran fesyen mula datang, namun sebahagiannya terpaksa ditolak kerana jadual Mia sering bertembung dengan sesi persekolahan.

Lebih Daripada Sekadar Model

Bakat Mia bukan hanya di atas pentas peragaan. Dia juga pernah membintangi beberapa drama tempatan serta menjadi hos program “Bintang Kecil” dalam episod Upin & Ipin. Namanya turut dikenali apabila dijemput ke udara dalam segmen Ikon di Selangor FM.

Di sebalik dunia glamor, Mia tetap seorang pelajar yang berdisiplin dan bercita-cita tinggi,  impiannya adalah untuk menjadi doktor pakar suatu hari nanti.

Mia sering mendapat sentuhan jurusolek profesional ternama seperti Zea Zas, Amran Majid dan Badrul Saufi yang bukan sahaja mencantikkan dirinya tetapi juga memilih Mia sebagai model utama dalam pertandingan solekan.

Selain itu, Mia juga pelajar Swatari di bawah Pak Ngah Production, yang memperkukuh bakatnya dalam bidang seni persembahan.

Dari langkah kecil ke runway besar , Mia membuktikan bahawa usia muda bukan halangan untuk bersinar dengan gaya dan keyakinan.

Antara pencapaian terbarunya, Mia dinobatkan sebagai Juara Miss Malaysia Kebaya Kuala Lumpur, sebelum mara ke peringkat kebangsaan dan menjuarai kategori Teen di Grand Final Miss Malaysia Kebaya 2025.

Namanya juga tercatat dalam Malaysia Book of Records melalui penyertaannya dalam Longest Malaysia Runway dan beliau bakal menyerikan pentas Selangor Fashion Week pada 20 Oktober 2025 nanti.

Walau masih muda, langkah Mia Zahra Zulaikha jelas tidak kecil. Berbekalkan disiplin, bakat dan keyakinan yang terus berkembang, tidak mustahil suatu hari nanti nama gadis manis ini akan disebut sebagai ikon muda yang mengangkat nama Malaysia di pentas fesyen dunia.

Nota Editor : Rencana ini ditulis sempena Minggu Fesyen Malaysia 2025 yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini. Semoga Mia Zahra bijak membahagi masa antara bidang modelling dan pelajaran – memberi inspirasi yang positif kepada rakan sebaya.

Berita Lain..

Berita Tempatan