Tuesday, January 27, 2026

MINGGU FESYEN 2025 – PENTAS PERAGAAN TERPANJANG DI MALAYSIA

Share

Di tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur, satu malam baru-baru ini menyaksikan denyut nadi fesyen Malaysia berdegup lebih kencang dari biasa.

Bukan sekadar pertunjukan pakaian, Malaysia Fashion Week 2025 (MFW25) adalah sebuah keraian. Pertemuan antara keberanian, kreativiti dan semangat generasi muda yang enggan tunduk pada kebiasaan.

Bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), acara anjuran STYLO International itu menzahirkan pentas yang bukan calang-calang.

Pentas sepanjang 1.075 kilometer yang secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Pentas Peragaan Terpanjang di Malaysia. Panjangnya mungkin simbolik kepada perjalanan industri fesyen tanah air sendiri. Penuh liku, penuh warna, namun tetap menuju ke hadapan dengan keyakinan.

Bertemakan pakaian jalanan,  MFW25 mengangkat semangat jalanan yang bebas dan ekspresif. Gaya yang tidak lagi sekadar pakaian tetapi pernyataan sikap dan identiti.

Pengerusi Bersama STYLO International, Bon Zainal berkata, pakaian jalanan streetwear adalah bahasa budaya moden, simbol keberanian dan kreativiti anak muda yang ingin tampil dengan keaslian diri.

“Malam ini, kita buktikan bahawa Malaysia juga mampu berdiri setaraf dengan dunia,” ujarnya.

Pentas malam itu menjadi kanvas besar tempat pelajar fesyen dan pereka muda dari seluruh negara melukis imaginasi mereka . Datang dari Kuala Lumpur hingga ke Kelantan. Turut serta, barisan pereka dari Malaysian Bumiputra Designer Association (MBDA) yang membawa sentuhan profesional dan warisan tempatan ke aras baharu.

Namun di sebalik aura moden dan rentak muzik elektronik yang memukau, MFW25 tetap menyulam unsur tradisi. Persembahan pembukaan Ratu Kebaya mengingatkan kita pada keanggunan lama yang tidak lekang dek zaman, sementara segmen Dewi Hijab Malaysia tampil memukau dengan mesej pemerkasaan wanita berhijab, bergaya tanpa mengorbankan identiti.

Menariknya, di tengah gegak gempita lampu sorot, acara berhenti seketika memberi ruang untuk penghormatan kepada aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla. Detik tenang yang mengingatkan hadirin bahawa fesyen juga boleh bersuara demi kemanusiaan.

Kemuncak acara menjadi perayaan penuh warna apabila model kanak-kanak dan remaja dari Pulau Pinang menutup pentas dengan riang, diiringi alunan bunyi alam yang damai . Seolah-olah memberi isyarat bahawa masa depan fesyen Malaysia bermula di sini dari generasi muda yang berani bermimpi.

 

Suasana menjadi lebih istimewa apabila Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records Mr. Jwan Heah  menyerahkan sijil pengiktirafan kepada penganjur di hadapan hampir 300 tetamu kehormat.

Antara yang hadir termasuk Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tengku Laksamana Selangor, Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Dato’ Nancy Yeoh, Pengerusi STYLO International; Syed Azhar Syed Nadzir, Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd. dan tentunya Bon Zainal, wajah sinonim dengan STYLO.

Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim  berkata, sebagai lokasi rasmi acara ini, WTCKL berbangga menjadi pusat pertemuan pereka, usahawan dan penggiat industri dari seluruh dunia.

“MFW bukan sahaja mengangkat nama Malaysia dalam peta fesyen, malah menonjolkan negara ini sebagai hab gaya hidup serantau,” katanya.

Di luar dewan utama, pesta gaya terus berlanjutan dengan Streetwear Chic Market, hentakan muzik DJ Techwave dan persembahan eksklusif oleh Luca Sickta & Kmy Kmo serta Rayven Raj, Inspire Fashion Poet. Pengunjung bergaya bersaing dalam pertandingan OOTD lelaki dan wanita, sambil bergambar di sudut fotografi kreatif yang ditaja oleh Park Inn by Radisson, Trinidad Hospitality dan Klana Resort.

Apabila tirai malam dilabuhkan, satu perkara pasti , Malaysia Fashion Week 2025 bukan sekadar pertunjukan fesyen. Ia adalah cerminan semangat bangsa yang meraikan keindahan warisan dan keberanian inovasi. Di sinilah gaya bertemu jiwa, dan dari sinilah Malaysia melangkah ke hadapan dengan langkah penuh pesona.

 

 

Berita Lain..

Berita Tempatan