Sunday, January 25, 2026

Miniatur Pak Teh Gamit Nostalgia Desa

Share

“Saya masih di sekolah rendah ketika itu dan apabila mendapat tugasan membina replika rumah daripada kotak. Waktu itu saya  tidak sabar-sabar untuk menyiapkan sebab cikgu bagi kebebasan menghias dan menambah bahan-bahan lain dan hasilnya sangat memuaskan.

“Sejak hari itu, saya tertarik dengan binaan rumah replika dan selalu membina pelbagai bentuk untuk hobi dan memenuhi masa lapang dan minat itu berlanjutan sehingga dewasa. Kemudiannya saya mula akses pelbagai informasi daripada media sosial dan bergabung dengan rakan-rakan yang mempunyai hobi yang sama,” ujarnya selepas ditanya bagaimana beliau bermula dengan hobi berkaitan miniatur.

Mohamad Sahrul Naim bin Arbain 33,  yang mesra dengan panggilan Pak Teh menambah, bermula dengan replika binaan rumah yang diperindahkan dengan hiasan tambahan ilhamnya terus bercambah. Binaan sebenar rumah-rumah dalam suasana kampung yang permai antara yang digemarinya.

Bayangkan sebuah rumah kampung berdinding kayu, beratap zink lusuh kemerahan akibat dipanah panas matahari dan tangga di hadapan pintu depan menghadap sebuah kolam dengan beberapa ekor itik berenang.

Ditepi rumah pula kelihatan ampaian penuh kain baju didisidai dan alat tradisi menangkap ikan tangkul angkat yag diperbuat daripada buluh sedang dijemur. Lebih menarik perhatian replika tersebut dilengkapi sebatang pokok kelapa condong dan rimbunan pokok menghijau. Begitulah antara miniatur yang telah dizahirkan oleh Pak Teh.

Apabila di dalam bentuk gambar, ia hanya seperti sekeping lukisan tetapi sebenarnya replika atau hasil karya miniatur anak tempatan ini bersaiz mini dan sangat halus hasil kerja tangannya, teliti dan rapi.

Pak Teh yang telah menghasilkan lebih kurang 50 replika turut membina beberapa buah rumah dilengkapi kenderaan, jalan bertar, pokok-pokok, rumah kedai dan lagenda rumah kayu bercat biru Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Idea yang tercetus dari sekolah rendah itu yang dikembangkan mengikut pengamatan persekitaran yang mendorong hasil kerja seni saya sekarang. Saya berasal dari kampung di Sabak Bernam, Selangor dan sebab itu rumah-rumah kayu dan suasana kedesaan sangat dekat dan dizahirkan dalam bentuk miniatur atau diodrama.

Pak Teh berkelulusan Pendidikan Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia kini menetap di Kajang tidak menghadkan kreativiti walaupun tidak mengikuti kursus berkaitan seni bina miniatur.

“Tidak ada guru khas yang memberi bimbingan kerana saya hanya berbekalkan minat, pengalaman kemahiran  dan melalui fasa try and error. Saya berpendapat practise makes perfect dan sentiasa memperbaiki hasil karya dari masa ke semasa. Apabila berkumpul dengan rakan-rakan sama hobi kami saling menegur dan berkongsi ilmu”.

“Bahan-bahan asas untuk membina rumah juga mudah didapati kerana saya gunakan barang-barang terpakai yang bersesuaian, kotak, cardboard, dawai, plastik, simen, pasir, tanah dan percetakan 3D,” ujarnya.

Ditanya apakah binaan mini yang pernah dihasilkan, Pak Teh teringatkan replika rumah yang diperbuat daripada lidi sate.

“Antara hasil karya yang paling bermakna, sebuah  replika rumah yang diperbuat daripada lidi sate.  Saya  hadiahkan kepada cinta hati semasa awal-awal perkenalan dahulu dan kini telah menjadi isteri,” katanya.

Tambahnya, pelanggan yang menempah ada yang mewakili agensi kerajaan, swasta, NGO, persendirian yang mahukan rekaan suasana kampung, bangunan persendirian atau kediaman yang menggamit nostalgia.

“Masing-masing mempunyai minat yang berbeza dan saiz besar replika yang pernah saya hasilkan 6 kaki x 4 kaki . Tempoh masa  untuk menyiapkan tempahan pula bergantung kepada saiz, kerumitan pemilihan bahan serta perincian lain seperti hiasan tambahan untuk menghidupkan persekitan replika tersebut. Paling cepat sekitar tiga minggu namun ada juga mengambil masa sehingga berbulan-bulan,” katanya.

Pak Teh menambah, untuk menjaga binaan miniatur atau replika sebaik-baiknya meletakan di dalam kota kaca atau acrylic box agar hasil karya tersebut terhindar daripada habuk.

Pak Teh boleh dihubungi:
https://www.facebook.com/naem.arbain

Berita Lain..

Berita Tempatan