Alam yang menghijau, warisan tak lapuk dik zaman
-Bahagian I
Dua kali menjejakkan kaki, bulan Julai dan Ogos yang lalu di Tanah Minang, membuka lembaran sejarah, budaya dan pengalaman unik dan menarik. Masyarakat minang di Negeri Sembilan bukanlah sesuatu yang asing di kalangan kita, malah sering kali juga melihat beberapa rumah dan bangunan di tanah yang berpegang kepada adat perpatih itu menampilkan rekaan bumbung melengkung seperti tanduk kerbau.
Namun melihat dengan kepala dan mata sendiri tanah Minang di Padang dan Bukittinggi di Sumatera Barat, Indonesia mengundang kepelbagaian rasa. Dari fizikalnya keberadaan negeri ini hanya sejam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebaik menjejakkan kaki, tinggalkan sejenak kecanggihan dan kepesatan pusat bandar Kuala Lumpur kerana ada “dunia” lain di sini yang tidak jemu di pandang. Alamnya yang subur menghijau, kekal dengan bendang sawah bertingkat, kebun sayur-sayuran yang memanfaatkan setiap inci tanahnya yang subur.
Asbabnya dikaitkan dengan beberapa gunung berapi yang sejak ratusan tahun lalu telah meletus dan memuntahkan laharnya. Di sebelah kanan dan kiri jalan raya kelihatan gunung ganang dan banjaran menyatu dengan kabus dan awam memutih dengan langit membiru.
Bermula di daerah Padang yang merupakan pusat bandar dengan bangunan moden, gedung membeli belah dan bangunan – bangunan kerajaan kami di bawa ke daerah Bukittinggi yang lebih kedesaan auranya dengan suhunya semakin rendah dan sejuk dingin.
Paling menarik perhatian sepanjang jalan, rumah-rumah kediaman penduduk sama ada rumah batu atau rumah papan akan muncul rumah-rumah gadang dengan syiling unik melengkung, perincian ukiran penuh di dinding. Jika rekaan lebih mewah dan bersaiz gadang dikhabarkan, kediaman tersebut milik Ketua Kampung.




Menurut pemandu pelancong, Agong, bila tiba musim perayaan Padang akan sunyi kerana kebanyakan penduduknya perantau. Membuka pelbagai jenis perniagaan dari gerai tepi jalan yang menjual nasi bajet dikenali sebagai AMPERA akronim bagi angkatan pendeitaan rakyat kepada restoran bintang nasi Padang yang terkenal.
Hidangan nasi Padang antara yang ditunggu-tunggu kerana masakan cara minang yang mewah disajikan walau diletakkan dalam piring. Disajikan nasi putih dengan pelbagai jenis lauk-pauk, rendang, dendeng, ayam pop, gulai, gado-gado, ulam-ulaman, sayur dan sambal hijaunya yang pedas tetapi enak.






Masakan minang terkenal dengan rasa ramuan rempahnya dan kombinasi lauk yang beragam. Dinikmati pula dengan ikan bakar sambal sambil menyedut air minuman popular, ais jeruk yang diperbuat dari buah limau. Sebelah malam pula menu bakso atau soto juga sangat memancing selera.
Oleh kerana Padang bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong luar tetapi juga dikunjung rakyat tempatan dari daerah lain, banyak terdapat bengkel atau rumah sulaman. Kemahiran wanita di sini menyulam antara yang terbaik di Indonesia.
Wanita paling suka membeli belah kerana ralit memilih telekung sulam yang halus buatannya, baju berhias sulaman dan tudung.
Begitu juga dengan hasil produk dari kulit lembu, bengkel pembuatan kopi, kerepek- kerepek, pisang salai dan menariknya mereka masih berpegang kepada adab yang ramah dan santun melayan pelanggan.
Adat perpatih yang memihak kepada kaum wanita sebagai pewaris harta masih menjadi warisan .
Adat Perpatih merupakan sistem undang-undang dan norma hidup yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, Indonesia. Dibawa ke Negeri Sembilan oleh perantau Minang sekitar abad ke-12.
Sistem ini mengamalkan sistem nasab ibu di mana warisan pusaka seperti tanah diwariskan kepada anak perempuan, manakala lelaki memegang jawatan adat. Perkahwinan juga mengikut prinsip lelaki tinggal di pihak isteri dan terdapat larangan perkahwinan sesuku serta pemeliharaan keharmonian dan kerjasama dalam masyarakat.
Gabungan alam, adat, budaya dan seni bina menjadikan Sumatera Barat sebuah destinasi penuh pesona.
Jejak Pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau
Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau (BIM), Padang, Indonesia. Nama lapangan terbang ini sendiri sudah membawa makna, mengambil identiti budaya masyarakat Minangkabau yang terkenal dengan pepatah “adat basandi syarak, syarak basandi Kitabullah”.
Melalui tingkap pesawat, kelihatan gunung-gunung yang gagah diselimuti kabus tipis, seolah menyambut kedatangan pelawat dengan bisikan alam, “Selamat Datang ke Ranah Minang”.
Kami teruja dengan struktur bangunannya yang berhias ukiran dan bumbungnya melengkung bagai tanduk kerbau. Tidak jauh bezanya wajah-wajah masyarakat tempatan yang ditemui dengan wajah kita namun yang membezakan cara pertuturan atau dialek Minang yang mereka gunakan.
Air Terjun Lembah Anai – Permata di Pinggir Jalan
Pemergian kali pertama, kami berempat. Cuaca panas dan cerah yang menjanjikan gambar di lensa kamera sanat caantik. Kali ini kami semuanya ada 13 orang ddalam kumpulan, berdedai menaik bas mini yang disediakan oleh pemandu pelancong Tomo dan Agong.
Anak muda yang ramah dan baik budi melayani karenah kami. Agong, ibu bapa dan adik beradiknya mempunyai agensi pelancongan di sana jadi mereka sudah biasa dengan pelancong dari Malaysia. Bas juga selesa dan dilengkapi set video untuk menonton atau berhibur, tentulah lagu-lagu Minang asli yang mendayu-dayu.
Meski pun kami sampai tengahari namun cuaca tidak begitu cerah, namun keindahan alam tanah ini terserlah. Menurut Agong sudah tiga hari hujan yang agak lebat di Padang dan Bukit Tinggi. Perjalanan darat ke arah Bukittinggi lebih kurang sejam setengah dari BIM, kami tertarik dengan panorama yang menakjubkan. Tiba di Nagari Singgalang, Kecamatan Sepuluh Koto, Tanah Datar, berdiri megah Air Terjun Lembah Anai setinggi kira-kira 35 meter.
Terletak betul-betul di tepi jalan raya utama, air terjun ini sering digelar bidadari bersiram.
Meskipun kenderaan tidak putus hubung melintasi kawasan ini namun ia masih mengekalkan keindahan semula jadinya. Menurut masyarakat setempat, air terjun ini menjadi sebahagian daripada kawasan hutan lindung Gunung Singgalang dan menjadi simbol kesuburan serta sumber kehidupan.
Segar wajah terpercik air terjun yang sungguh jernih walaupun kami meredah gerimis untuk merakam gambar di sana. Kemudian diikuti hujan lebat dan dari dalam tingkap kenderaan, kedatangan kini disambut kabus dingin.
Meninggalkan pekan Padang, kenderaan memasuki kawasan jalan raya bersimpang siur. Tabik kepada pemandu di sini yang bijak mengagak bila pusing ke kanan, masuk ke kiri atau jalan terus. Walau rasa kecut perut kereta, bas, van apatah lagi motorsikalnya yang melintas tanpa isyarat.
Memasuki kawasan pekan-pekan kecil, pasar basah yang meriah dengan jual belo boring sayur-sayuan segar, rumah-rumah penduduk, kawasan kampung, bendang, pokok kelapa,pokok buah-buahan dan paling banyak pokok avocado atau di sini dikenali sebagai buah alpukat, pokok limau dengan buah masak oren, betik yang ranum dijual di tepi jalan, buah salak juga sangat manis rasanya. Sesekali melintasi rumah lagenda bumbung melengkung, identiti minang yang unik.


Museum Bustanil Arifin – Menyelusuri Warisan Minang
Dari situ, perjalanan diteruskan ke Padang Panjang, sebuah kota kecil yang terkenal sebagai pusat pendidikan dan budaya. Di sinilah berdirinya Museum Bustanil Arifin, dahulu dikenali sebagai Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau (PDIKM). Bangunan berbentuk rumah gadang dengan atap bagonjong (bentuk tanduk kerbau) ini didirikan pada 1988 atas inisiatif Bustanil Arifin, seorang tokoh nasional.
Pada 1990 ia dirasmikan dan menerima ramai pengunjung, lantaran itu sejak 2015 keluarga beliau menyerahkan pengurusan kepada kerajaan daerah. Di dalamnya tersimpan dokumentasi adat, ukiran kayu, pakaian tradisi dan manuskrip lama, menjadikan ia pusat rujukan bagi generasi kini mengenali jati diri Minangkabau.






Sangat cantik kawasan ini selepas hujan dan dalam busana songket dan baldu berhias kepala teringat hari persandingan hampir tiga dekad lalu, sangat nosltagia.
Petang kami teruskan perjalanan ke Bukittinggi dan singgah di beberapa buah kedai menjual aneka kain baju sulaman. Di sana seni kemahiran sulaman terkenal di kalangan penggemarnya dan telah diwarisi beberapa generasi. Meriah sesi tawar menawar di antara kami dan penjual yang sangat ramah melayan.
Sempat juga singgah di menikmati kuih bingka juga dikenali sebagai bika dan dik kerana ia dibuka berhampiran sebuah telaga atau telago, kedai ini dikenali sebagai Kuih Bika Telago. Lucunya bila ada yang menyebut kek neraka kerana cara masakannya.




Menggunakan kayu api dari pokok kulit kayu manis yang telah diambil kulitnya, tempat membakarnya kekal tradisii. Aroma authentik pada kuih membangkitkan selera apatah lagi dimakan panas-panas dan oh! ya, selepas hujan. Periuk yang berisi kuih dan ada juga perasa pisang, seakan rasa kuih dangai yang popular di sini. Meredah pula gerimis semata-mata mahu menikmati tauhu Sumedang yang rangup di luar, gebu di dalam, dicicah pula sambal cili yang pedas berasap.
Hujan semakin lebat dan kenderaan semakin perlahan, apakah kami berjaya menjejak ke destinasi seterusnya. Ikuti sambungannya.