Thursday, April 2, 2026

Saba Bermimpi Melukis Batik

Share

Seorang pelukis yang masih tidak mempunyai identiti mengakui agak sukar menyiapkan sebuah lukisan kerana ilham yang hadir tidak menyokong bergerak ke fasa seterusnya.

Sabariah Mohamed Daud,34 atau mesra dengan sapaan Saba mengakui hakikat tersebut kerana ilham dan identiti adalah penggerak kepada hasil kerja seninya dicari pelanggan.

“Jika sudah berjaya menjinakkan minat ditambah pula dengan identiti yang saling terkait, laluan menyudahkan sebuah lukisan menjadi mudah. Hinggalah pada suatu malam saya bermimpi melukis batik. Sebaik bangun dalam keadaan masih mamai, saya mencari kain batik mak mentua, ambil gambar dan terus lukis mengikut corak dan warnanya. Timbul perasaan yang sangat seronok, lega dan saya jatuh cinta dengan hasil pertama itu,” ujarnya ketika dihubungi.

Selepas mimpi yang ditafsirnya sebagai pencetus identitinya kini, Saba menekuni hobi baharu melukis batik dengan mendapatkan kepelbagaian rekaan dan corak di samping memperhalusi rekaannya.

“Jika pelukis kain batik menggunakan alat canting untuk melakar corak batik dengan lilin panas atas kain putih, saya pula gunakan berus, warna dan kanvas putih untuk menghasilkan rekaan.

“Diawalnya saya hanya menyalin daripada asal corak batik yang sedia ada atau dikenali sebagai photorealism iaitu lukisan yang kita hasilkan berasaskan gambar sebenar. Selepas berkali-kali melukis dan sudah mendapat rentak yang baik saya warnakan mengikut  imaginasi,” ujarnya.

Menambah nilai estetika dan mengimbangi sentimen, citarasa dan minatnya terhadap karya lukisan, dihasilkan juga corak songket yang ilham dizahirkan daripada kain songket perkahwinan aruah ibunya.

Batik dan songket kini adalah dua corak yang menjadi signature hasil lukisan Saba yang bermula dengan hobi  kini akuinya atas permintaan, karya tersebut dikomersialkan.

“Bermula dengan minat pada tahun 2019 selepas saya melepaskan karier sebagai jurugambar majlis perkahwinan, konvokesyen dan studio selama lima tahun. Menggunakan pensil warna luna Staedtler, lukisan pertama saya mewarna sebiji epal kerana ketika itu tidak tahu melukis objek hidup atau pemandangan. Pernah saya mencuba melukis pokok kelapa, hasilnya semua pokok lurus tegak dan tidak berseni.

“Bagaimana pun semsa mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ada mengambil Pendidikan Seni Visual tetapi sekadar menambah subjek kerana bercita-cita menjadi arkitek. Saya lebih meminati lukisan kejuruteraan dan beroleh A1 dalam subjek tersebut.

“Namun rezeki saya dalam diploma Computer System & Networking dan selepas itu saya memilih membidik kamera . Saya berhenti kerana mahu mencuba bidang baharu. Sehinggalah akhirnya akur, bidang lukisan juga yang lebih mengikat minat saya,” ujarnya yang berasal dari Felcra Nasaruddin, Bota dan kini  menetap di Ipoh Perak.

Tambahnya, beliau percaya pada bidalan practice make perfect kerana bermula dengan kekok melukis tetapi sikap rajinnya  mencuba berkali-kali kerana mahu menghasilkan karya yang berkualiti, akhirnya kini berus dan warna bagaikan permainan hariannya.

“Apabila melakukan dengan minat, saya rasa lebih tenang mempelajari ilmu baharu, mengkaji dahulu jenis lukisan yang akan dihasilkan terutama teknik yang betul. Saya belajar sendiri daripada media sosial, buku rujukan seni visual dan ada kalanya meminta pendapat pelukis lain termasuk pelukis terkenal Latif Maulan,” ujarnya.

“Lukisn corak songket dan batik mempunyai peminanya sendiri dan saya gembira kerana semakin cekap untuk menyiapkan mengikut saiz dan medium. Jika lukisan minyak mengambil masa lebih lama sedikit sebab lambat kering , misalnya karya  Siri Batik  I & II, saya mengambil tempoh dua bulan melukis dan mewarna,” katanya.

Selesa melukis di dalam bilik di rumahnya berlandaskan meja dan stand untuk melukis, kini lebih kurang 50 lukisan telah dihasilkan dan dijual.

“Melukis bukan sekadar hobi yang menyeronokkan jika dibuat dengan hati yang tenang tetapi mendatangkan sumber pendapatan dan berasa puas  jika pelanggan berpuas hati.

“Lazim selepas melukis, saya salutkan dengan varnish bersesuaian sebelum disimpan untuk mengelak lukisan cepat rosak. Kadang saya bungkus dengan bubblewrap supaya tidak terkena habuk dan sebelum menyertai mana-mana pertandingan atau ada pelanggan yang bertanya untuk memilikinya,” katanya.

Mengakui masih baharu bergelar pelukis tetapi Saba memberanikan diri menempatkan diri di kalangan pempamer dengan menyertai pameran pertamanya,  “Our Heritage, Our Culture” anjuran Art Market Malaysia di Shoppes, Four Seasons Place, Kuala Lumpur.

“Saya baru berjinak-jinak sebagai pempamer dan pernah menerima tempahan lukisan dari Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dengan mencemar duli sebagai  cenderahati kepada Sultan Selangor atas perasmian HPUPM yang ditukar nama kepada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah. Lukisan tersebut kini berada di Galleri Sultan Abdul Aziz di Klang, Selangor.

“Bingkisan tersebut adalah hasil lukisan kejuruteraan yang menjadi salah satu kegemaran saya, selain melukis wang syiling dan  kaligrafi kufi yang  turut mendapat tempahan daripada pelanggan.

“Terbaru, ada pelanggan yang menempah lukisan mengikut minat mereka, misalnya lukisan pisang liar di belakang rumah atau mesin padi. Agak mencabar untuk memenuhi permintaan namun bila mata pelanggan bercahaya tanda berpuas hati bila saya menyerahkan karya yang dipinta, saya sangat berbahagia,” katanya.

Pelukis Saba boleh dihubungi di:

Berita Lain..

Berita Tempatan