Sunday, November 22, 2026

MERCHANTRADE MONEY NAIKKAN HAD DOMPET DIGITAL KEPADA RM30,000

Share

– Pengguna layak nikmati kenaikan automatik tanpa caj tambahan, memberi lebih fleksibiliti mengurus perbelanjaan ketika melancong ke luar negara.

PETALING JAYA, 18 Nov 2026 – Rakyat Malaysia yang merancang percutian ke luar negara kini mempunyai lebih fleksibiliti dalam menguruskan wang apabila Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade) menaikkan had dompet digital Merchantrade Money daripada RM20,000 kepada RM30,000 bagi pengguna yang layak.

Peningkatan sebanyak RM10,000 itu akan diberikan secara automatik tanpa sebarang caj tambahan, sekali gus membolehkan pelanggan menyimpan dan menguruskan perbelanjaan perjalanan serta keperluan harian dengan lebih mudah menerusi satu platform.

Langkah tersebut diperkenalkan ketika rakyat Malaysia mula membuat persiapan untuk musim cuti hujung tahun, yang lazimnya menyaksikan peningkatan aktiviti perjalanan ke luar negara dan keperluan menguruskan bajet percutian yang lebih besar.

Menurut tinjauan Malaysian Domestic & Outbound Travel Behavior 2025 oleh Tourism Malaysia, sebanyak 62 peratus rakyat Malaysia melancong ke luar negara, dengan Indonesia, Thailand, China, Singapura dan Jepun antara destinasi pilihan utama.

Peningkatan had dompet digital itu memberi lebih ruang kepada pengguna untuk merancang pertukaran mata wang, menguruskan tempahan perjalanan bernilai tinggi serta membuat pembayaran sepanjang berada di luar negara.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K. Veeran

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K. Veeran berkata, peningkatan had tersebut mengambil kira perubahan corak perjalanan dan keperluan pelanggan yang kini semakin cenderung merancang perbelanjaan lebih awal.

“Ramai pelanggan merancang perjalanan mereka beberapa bulan lebih awal, memantau kadar pertukaran mata wang dan menguruskan bajet untuk keluarga atau kumpulan melalui satu dompet digital.

“Dengan peningkatan had kepada RM30,000, kami mahu memberikan lebih fleksibiliti kepada pelanggan untuk menguruskan kewangan perjalanan mereka, khususnya menjelang musim cuti hujung tahun. Ia juga memudahkan mereka membuat persediaan tanpa perlu menggunakan beberapa platform berbeza,” katanya.

Bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar, pelanggan Merchantrade Money yang sebelum ini menikmati had dompet digital RM20,000 dan memenuhi syarat kelayakan akan menerima peningkatan kepada RM30,000 secara automatik dalam beberapa hari akan datang.

Pengguna yang layak tidak perlu membuat permohonan manual, mengemas kini aplikasi atau membayar sebarang caj tambahan untuk menikmati kemudahan tersebut.

Bagaimanapun, pelanggan yang belum memenuhi syarat kelayakan masih berpeluang memohon peningkatan had pada bila-bila masa melalui aplikasi Merchantrade Money atau dengan mengunjungi mana-mana cawangan Merchantrade di seluruh negara.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Merchantrade untuk menyediakan kemudahan kewangan digital yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan pengguna, khususnya dalam menguruskan transaksi pelbagai mata wang.

Untuk maklumat lanjut mengenai peningkatan had dompet digital dan perkhidmatan Merchantrade Money, layari www.merchantrademoney.com.

Berita Lain..

Berita Tempatan