Tuesday, November 17, 2026

R.I.S.E, DORSETT GRAND SUBANG TAMPILKAN BAKAT GOLONGAN AUTISME 

Share

-Bekerjasama buka peluang bakat neurodiversiti

SUBANG JAYA, 17 Nov 2026_ Golongan autisme dan individual neurodiversiti berpeluang mengetengahkan bakat dalam bidang seni, muzik dan persmebahan menerusi kerjasama Pertububuhan Rentak, Irama, Seni dan Ekspresi (R.I.S.E.) dengan Dorsett Grand Subang.

Kerjasama itu bertujuan menyediakan platform berterusan bagi membantu golongan berkenaan mengembangkan potensi, mendapat pengiktirafan masyarakat, menyertai aktiviti komuniti dan menjana pendapatan menerusi bakat serta kreativiti mereka.

Antara inisiatif utama diperkenalkan ialah ArtRISE @ Dorsett, program pameran dan jualan karya seni selama setahun di Dorsett Grand Subang yang menampilkan hasil karya asli artis neurodiversiti.

Menerusi program itu, artis berpeluang mempamerkan dan menjual karya kepada tetamu hotel serta orang ramai. Koleksi pameran akan diperbaharui apabila karya sedia ada terjual bagi memastikan platform berkenaan terus aktif sepanjang tahun.

Presiden R.I.S.E., Datin Hasnah Abdul Rahman berkata, kerjasama itu mencerminkan usaha pertubuhan berkenaan untuk membawa agenda keterangkuman melangkaui kempen kesedaran kepada peluang sebenar.

“Kami mahu mewujudkan peluang supaya individu neurodiversiti dapat mengambil bahagian, menyumbang, menjana pendapatan dan mendapat pengiktirafan berdasarkan kebolehan mereka.

“Seni dan kreativiti adalah titik permulaan kerana bakat tidak memerlukan label. Apa yang diperlukan ialah peluang untuk diketengahkan, dibimbing dan diberikan platform,” katanya.

Naib Pengerusi Dorsett Hospitality International Malaysia, Datin Jasmine Abdullah Heng berkata, industri perhotelan turut mempunyai peranan dalam mewujudkan persekitaran lebih inklusif untuk komuniti.

Menurutnya, menerusi ArtRISE @ Dorsett, artis neurodiversiti berpeluang berkongsi kreativiti, berinteraksi dengan masyarakat dan dihargai berdasarkan keupayaan masing-masing.

Pengurus Besar Dorsett Grand Subang, Nigel Boey pula berkata, pihaknya berbesar hati menyokong inisiatif berkenaan yang membolehkan bakat neurodiversiti diketengahkan dalam persekitaran hospitaliti.

Selain seni visual, kerjasama itu turut diperluas menerusi ArtRISE @ Dorsett Live!, platform persembahan yang menampilkan bakat daripada R.I.S.E. dan Unveiling Uniqueness dalam bidang muzik serta ekspresi kreatif.

Timbalan Presiden R.I.S.E., Edwin Nathaniel berkata, peluang membuat persembahan bukan sekadar memberikan ruang kepada individu neurodiversiti berada di atas pentas, malah membantu membina keyakinan dan mengenali potensi diri.

“Kami menyaksikan ramai bakat berkembang menerusi Unveiling Uniqueness. Apa yang mereka perlukan sekarang ialah lebih banyak platform, peluang dan individu yang percaya terhadap kemampuan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan bakat perlu diteruskan selepas sesuatu persembahan dengan menyediakan peluang untuk mereka terus berkarya, membuat persembahan dan meneroka potensi dalam bidang lain.

.

Kerjasama itu turut memperkenalkan R.I.S.E. Champions 1.0, inisiatif mengiktiraf individu neurodiversiti berdasarkan bakat, keberanian, kreativiti, ketabahan dan perjalanan hidup masing-masing.

Datin Hasnah berkata, program itu bukan pertandingan konvensional, sebaliknya bertujuan meraikan keunikan dan pencapaian individu serta menggalakkan masyarakat melihat potensi mereka melangkaui label.

“Kami mahu masyarakat melihat insan di sebalik label yang diberikan kepada mereka. Setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri apabila diberikan sokongan dan peluang yang bersesuaian,” katanya.

R.I.S.E. turut berharap dapat melantik barisan Champions baharu pada setiap suku tahun bagi meraikan perkembangan dan pencapaian mereka.

Dalam jangka panjang, pertubuhan itu menyasarkan pembentukan ekosistem yang menghubungkan pembangunan bakat dengan peluang pekerjaan, keusahawanan, penjanaan pendapatan dan penyertaan aktif dalam komuniti melalui kerjasama sektor korporat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat.

Pelancaran rasmi ArtRISE @ Dorsett dijadual berlangsung di Dorsett Grand Subang pada Rabu, 25 November 2026.

Berita Lain..

Berita Tempatan