Tuesday, November 17, 2026

PINTAR SASAR 20,000 PELAJAR – BAKAL DIPERLUAS KE TIGA LAGI NEGERI PADA 2027

Share

-Program pendidikan STEM kebangsaan itu berjaya memberi manfaat kepada 12,240 pelajar di 178 sekolah sepanjang fasa rintis, termasuk lebih 2,200 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

KUALA LUMPUR_ Inisiatif Pemerkasaan Ilmu dan Teknologi untuk Aspirasi Rakyat (PINTAR) merancang memperluaskan pelaksanaan program pendidikan STEM ke tiga lagi negeri pada 2027, dengan sasaran memberi manfaat kepada 20,000 pelajar di seluruh negara.

Perancangan itu susulan kejayaan fasa rintis PINTAR yang berlangsung selama lapan bulan dari Mac hingga Oktober 2026, melibatkan seramai 12,240 pelajar daripada 178 sekolah di Terengganu, Pahang dan Putrajaya.

Daripada jumlah tersebut, lebih 2,200 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan turut menerima manfaat menerusi pendekatan pendidikan inklusif yang memberi peluang kepada pelajar pelbagai latar belakang untuk mendapatkan pendedahan kepada teknologi dan inovasi.

Pengerusi PINTAR, Syed Azaudin bin Syed Ahmad berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi mempersiapkan generasi muda Malaysia dengan kemahiran yang relevan dalam menghadapi perkembangan ekonomi yang semakin dipacu teknologi.

Menurutnya, akses kepada pendidikan teknologi perlu diperluaskan supaya lebih ramai pelajar berpeluang meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi sejak di bangku sekolah.

“Daya saing Malaysia pada masa hadapan bergantung kepada keupayaan kita melahirkan generasi yang berkemahiran, kreatif dan inovatif. Justeru, PINTAR berusaha membuka peluang pendidikan teknologi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Kami mahu setiap anak Malaysia mempunyai peluang untuk meneroka teknologi, memperoleh pengetahuan dan membangunkan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi ekonomi masa hadapan,” katanya.

Pengerusi PINTAR, Syed Azaudin Syed Ahmad

Tambahnya, pencapaian fasa rintis menunjukkan potensi PINTAR untuk dikembangkan sebagai inisiatif pendidikan kebangsaan melalui kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti.

Sasaran 20,000 pelajar pada 2027 merupakan langkah seterusnya dalam memperluaskan akses kepada pembelajaran berasaskan teknologi serta membangunkan bakat generasi muda negara.

Menerusi Inisiatif STEM PINTAR, pelajar didedahkan kepada kaedah pembelajaran interaktif dan praktikal yang melengkapkan pembelajaran dalam bilik darjah.

Antara bidang yang diperkenalkan termasuk robotik, teknologi dron dan aeroangkasa, mobiliti, reka bentuk serta kecerdasan buatan (AI).

Pendekatan berasaskan pengalaman itu memberi peluang kepada pelajar mencuba sendiri aplikasi teknologi, sekali gus meningkatkan kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan minat terhadap bidang sains serta kejuruteraan.

Modul pendidikan PINTAR dibangunkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terlibat dalam pembangunan modul STEM.

Bagi memperluaskan kandungan pembelajaran, PINTAR turut merancang memperkenalkan modul tambahan berkaitan AI dengan kerjasama University of Nottingham serta ekonomi oren (orange economy) bersama Sunway University.

Sementara itu Pengarah PINTAR, Ridhwan Rosli berkata, pendekatan program itu memberi tumpuan kepada pengalaman pembelajaran secara langsung, pencapaian yang boleh diukur dan kerjasama dengan institusi pendidikan yang mempunyai kepakaran berkaitan.

“PINTAR melengkapi kurikulum sekolah dengan membawa pengalaman teknologi secara praktikal kepada pelajar. Mereka berpeluang berinteraksi dengan teknologi, mencuba sendiri dan mengenal pasti minat serta potensi masing-masing.

“Kami mahu memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan boleh membantu membina keyakinan pelajar terhadap bidang teknologi,” ujarnya.

Jelasnya lagi, PINTAR menggunakan model perusahaan sosial yang mengimbangi kelestarian kewangan dengan usaha memastikan pendidikan teknologi dapat diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Melalui pendekatan tersebut, pelajar asnaf dan kanak-kanak yang layak dikenal pasti menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima tajaan penuh penyertaan.

Sementara itu, pelajar lain hanya perlu menanggung separuh daripada kos penyertaan, manakala baki kos disubsidi oleh PINTAR bagi mengurangkan beban kewangan keluarga.

Sebagai penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama sepanjang fasa rintis, PINTAR baru-baru ini menganjurkan majlis Appreciation Afternoon Tea di The Majestic Hotel Kuala Lumpur.

Majlis berkenaan menghimpunkan pihak berkepentingan, rakan strategik dan penyokong bagi meraikan pencapaian program serta menghargai sumbangan semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif tersebut.

Antara rakan strategik yang disebut termasuk Majlis Perundingan Melayu (MPM). Melalui peluasan program yang dirancang pada 2027, PINTAR berharap lebih ramai pelajar di seluruh negara mendapat peluang meneroka bidang STEM, menguasai kemahiran teknologi dan mempersiapkan diri untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan