-Lebih 100 pemimpin industri dan pakar keselamatan siber berkumpul untuk memperkukuh daya tahan digital serta meningkatkan keselamatan aplikasi mudah alih di Malaysia.
KUALA LUMPUR_ Zchwantech Sdn Bhd terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan aplikasi mudah alih dan kepercayaan digital di Malaysia menerusi penganjuran Forum Daya Tahan Aplikasi Mudah Alih 2026 (Mobile Application Resilience Forum 2026 atau MARF 2026) yang menghimpunkan lebih 100 pemimpin industri, pakar keselamatan siber, eksekutif teknologi dan pembuat dasar di ibu negara baru-baru ini.
Forum tersebut dianjurkan bersama oleh Zchwantech Cybersecurity Sdn Bhd, Total SE Solutions Sdn Bhd, CyberSecurity Malaysia dan Global CIO Forum Malaysia bagi membincangkan ancaman keselamatan siber yang semakin mencabar serta kepentingan memperkukuh piawaian keselamatan dalam ekonomi digital negara.
Huawei turut menyertai forum itu sebagai rakan teknologi dengan memanfaatkan Huawei Cloud Security bagi menyokong pembangunan ekosistem aplikasi mudah alih tempatan yang lebih selamat dan dipercayai.
Pengerusi Zchwantech, Datuk Seow Gim Shen, berkata sambutan terhadap forum tersebut menunjukkan semakin ramai pihak menyedari bahawa keselamatan aplikasi mudah alih kini menjadi keperluan penting kepada ekonomi dan dunia perniagaan, bukan lagi hanya berkaitan teknologi maklumat (IT).

Pemimpin industri, pakar keselamatan siber dan rakan teknologi berkumpul di Forum Ketahanan Aplikasi Mudah Alih (MARF) 2026, yang dianjurkan bersama oleh Zchwantech Cybersecurity Sdn Bhd, Total SE Solutions Sdn Bhd, CyberSecurity Malaysia dan Global CIO Forum Malaysia, bagi memperkukuh keselamatan aplikasi mudah alih serta meningkatkan kepercayaan terhadap ekosistem digital di Malaysia.
“Transformasi digital Malaysia berkembang dengan pesat. Aplikasi mudah alih kini menjadi antara saluran utama yang menghubungkan perniagaan, kerajaan dan pengguna. Namun, kemudahan ini perlu disertai perlindungan yang kukuh bagi menangani ancaman siber, penipuan dan kebocoran data.
“Keselamatan siber perlu diberi perhatian sejak peringkat reka bentuk, pembangunan hingga operasi sesuatu platform digital, dan tidak boleh dianggap sekadar memenuhi keperluan pematuhan.
“Jika Malaysia mahu menjadi antara peneraju ekonomi digital, kita perlu memastikan perniagaan dapat berinovasi dengan yakin, manakala pengguna boleh menjalankan urusan dan transaksi digital dengan selamat,” katanya.
Menurut beliau, MARF 2026 turut menjadi platform untuk merapatkan jurang antara dasar keselamatan siber, perkembangan teknologi dan pelaksanaan di lapangan supaya perniagaan tempatan dapat membangunkan ekosistem digital yang lebih selamat serta berdaya tahan.
Dalam ucaptama pembukaan bertajuk Mobile Resilience: A National Cyber Security Priority, Pengarah Bahagian Aplikasi dan Infrastruktur di Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Rummie Wisning, menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan aplikasi mudah alih bagi melindungi perkhidmatan digital penting dan mengekalkan kepercayaan masyarakat.
Beliau turut menggariskan keperluan organisasi melaksanakan pendekatan keselamatan yang menyeluruh, merangkumi pencegahan dan pengesanan ancaman, tindak balas terhadap insiden serta pemulihan perkhidmatan. Usaha ini perlu disokong oleh tadbir urus yang kukuh dan pemantauan keselamatan secara berterusan.
NACSA juga menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dengan swasta, termasuk penyelarasan dengan kerangka keselamatan siber negara seperti Akta Keselamatan Siber 2024, bagi membangunkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam MARF 2026 ialah Skim Pensijilan Aplikasi Mudah Alih (Mobile Application Certification atau MAC) oleh CyberSecurity Malaysia. Skim ini menggalakkan penilaian dan pensijilan bebas bagi memastikan aplikasi mudah alih dinilai berdasarkan keperluan keselamatan yang ditetapkan.
Forum tersebut turut menampilkan pembentangan pakar dan sesi perbincangan mengenai ancaman siber yang dipacu kecerdasan buatan (AI), pematuhan keselamatan secara berterusan, perlindungan aplikasi mudah alih serta perubahan landskap keselamatan siber.
Sebagai penyedia penyelesaian teknologi tempatan, Zchwantech membantu organisasi meningkatkan tahap keselamatan siber menerusi penyelesaian dan perkhidmatan yang merangkumi keselamatan aplikasi, pengurusan risiko siber, perlindungan infrastruktur digital dan daya tahan perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zchwantech Cybersecurity, Wayne Wang, berkata usaha membina daya tahan siber memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, pemain industri, penyedia teknologi dan pemilik aplikasi.
“MARF 2026 menyediakan ruang untuk semua pihak berkongsi kepakaran dan menjadikan keselamatan aplikasi mudah alih sebagai keutamaan bersama dalam perniagaan serta usaha membina kepercayaan digital.
“Di Zchwantech Cybersecurity dan Total SE Solutions, kami mahu membantu organisasi beralih daripada pendekatan keselamatan yang hanya bertindak selepas sesuatu ancaman berlaku kepada pendekatan security-by-design, iaitu keselamatan diterapkan sejak peringkat reka bentuk. Langkah ini penting untuk memperkukuh daya tahan aplikasi dan meningkatkan keyakinan terhadap ekosistem digital Malaysia,” katanya.