Wednesday, November 4, 2026

BERSARA BUKAN NOKTAH, MASZELIMON TERUS BERBAKTI MELALUI PENULISAN DIGITAL

Share

-Pengalaman lebih 35 tahun dalam pendidikan menjadi bekal untuk terus berkarya dan berkongsi ilmu

MELAKA_Persaraan bukan alasan untuk berhenti berkarya, itu prinsip yang diyakini oleh pesara guru, Maszelimon Supa’at yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam dunia pendidikan.

Kemahiran mendidik dijadikan bekalan untuk terus menyumbang melalui penulisan, penerbitan digital dan perkongsian ilmu kepada masyarakat.

Maszelimon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Kesusasteraan Melayu, Universiti Sultan Idris berkata, selepas bersara pada 16 Januari 2024, beliau mahu memanfaatkan pengalaman yang dikumpulkan sepanjang kerjaya untuk menghasilkan bahan bacaan yang bermanfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

.

Cikgu Maszelimon Supa’at

“Persaraan bukan noktah bagi saya sebaliknya mahu terus berkongsi pengalaman dan ilmu melalui penulisan serta bahan pendidikan,” katanya.

Selain bergelar penulis, beliau aktif sebagai Jurulatih Antarabangsa Persekutuan Pengakap Malaysia dan terlibat dalam kepengakapan di peringkat Negeri Melaka. Beliau turut menjalankan peranan sebagai Pesuruhjaya Comstar Melaka dalam bidang perhubungan komunikasi dan media pengakap.

Pengalaman dalam pendidikan, perpustakaan, bahasa, penulisan dan teknologi pendidikan banyak membentuk pendekatan beliau dalam menghasilkan kandungan yang jelas, tepat serta mesra pembaca.

Cikgu Maszelimon merakam kenangan semasa terlibat  dalam Seminar Persatuan Guru Bahasa Melayu Kebangsaan yang mengadakan seminar sejak 10 tahun lalu menghimpunkan semua peringkat guru Bahasa.

Menurutnya, dunia pendidikan telah mengalami perubahan ketara, khususnya dari segi penggunaan teknologi dan bahan digital.

“Guru hari ini bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi turut membimbing murid memilih dan memahami maklumat dengan betul,” jelasnya.

Penglibatan Maszelimon dalam Persekutuan Pengakap Malaysia sejak 1986 turut menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidupnya.

Sebagai pemegang Manikayu Empat Butir dan jurulatih pengakap, beliau melihat disiplin, kepimpinan, tanggungjawab, kerja berpasukan serta semangat berkhidmat sebagai nilai yang membentuk dirinya sebagai pendidik dan penulis.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam penerbitan dan dokumentasi kepengakapan, termasuk sebagai editor dan Ketua Editor majalah Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka sejak 2004.

Semasa bertugas bersama pengakap IPG Durian Daun, Melaka dalam satu majlis unit media.

.

Bergambar bersama Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka semasa mrnyambut tetamu Pengakap Thailand.

Baginya, antara cabaran utama ialah memastikan sejarah, aktiviti dan sumbangan kepengakapan direkodkan dengan tepat serta berterusan supaya dapat diwarisi generasi akan datang.

Dalam bidang penulisan pula, penglibatannya bermula sejak era 1990-an menerusi penghasilan skrip drama Radio RTM, artikel untuk majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain puisi dan antologi bersama penulis lain.

Sejak 2010, beliau telah menyumbang kepada lebih 18 buah antologi puisi bersama penulis lain termasuk karya yang melibatkan penulis dari Indonesia dan rantau ASEAN.

“Penulisan ialah cara saya merakam pengalaman, berkongsi pemikiran dan meninggalkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain,” katanya.

Seiring perubahan cara masyarakat mendapatkan maklumat, Maszelimon turut memberi perhatian kepada penerbitan digital melalui platform masehbookstore.com.

Platform itu diwujudkan sebagai ruang untuk menghimpunkan karya puisi, bahan pendidikan, motivasi dan bacaan digital sekali gus membantu karya penulis sampai kepada lebih ramai pembaca.

Setakat ini, beliau telah menghasilkan lima e-buku, manakala sebuah lagi karya sedang melalui proses penyuntingan.

Antara penerbitannya pada tahun  2025 termasuk 7 Langkah Menghadapi GUGUP dan siri Mudahnya Lengkapkan Lencana Pengakap Tingkatan 1.

Menurutnya, format e-buku mempunyai kelebihan kerana mudah diakses, boleh diterbitkan dengan lebih pantas dan dibaca pada bila-bila masa melalui peranti digital.

Selain mengembangkan karya sendiri, beliau turut aktif membimbing penulis melalui platform MSGA sebagai jurulatih penulisan.

Beliau berpandangan bahawa antara cabaran penulis baharu ialah rasa takut untuk memulakan penulisan dan kesukaran mengekalkan tabiat tersebut.

“Nasihat saya, mulakan dahulu, banyak membaca dan terus menulis. Jangan terlalu lama menunggu sehingga merasakan karya itu sempurna sebelum berani berkongsi,” katanya.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Maszelimon berhasrat meneruskan penghasilan karya, membimbing penulis baharu serta menambah  bahan bacaan digital bagi menyokong budaya membaca dan menulis.

Baginya, selagi diberikan kesempatan, ilmu dan pengalaman yang dimiliki wajar terus dikongsi.

Beliau percaya penulisan bukan sekadar menghasilkan buku atau puisi sebaliknya menjadi satu bentuk khidmat yang membolehkan pengalaman seseorang memberi manfaat kepada orang lain merentas generasi.

Berita Lain..

Berita Tempatan