– Jamizan buka peluang golongan OKU bina kemahiran, keyakinan dan kehidupan yang lebih berdikari.
SHAH ALAM_Pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan, reka bentuk grafik dan pembangunan komuniti mendorong Er. Assoc. Jamizan binti Jalaluddin @ Mohd Rashid untuk terus memperjuangkan peluang pendidikan, kemahiran dan keusahawanan sosial bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Jamizan yang turut dikenali sebagai Mizan Annur atau Mjay mempunyai kelulusan Sarjana Pendidikan Seni dan Reka Bentuk dari De Montfort University, Leicester, United Kingdom serta ijazah dalam bidang reka bentuk grafik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau pernah berkhidmat sebagai guru pendidikan khas sebelum meneruskan kerjaya sebagai pensyarah kanan di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Puncak Alam, dari 2001 hingga 2024. Kini, beliau aktif sebagai perunding reka bentuk bebas, penasihat pendidikan dan sukarelawan dalam pelbagai inisiatif sosial.
Er. Assoc. Jamizan Jalaluddin
Menurut Jamizan, minat terhadap seni turut dipengaruhi latar belakang keluarganya yang mempunyai kecenderungan dalam bidang penulisan, ilustrasi dan seni reka. Bagaimana pun pengalaman bekerja dengan pelajar OKU, khususnya mereka yang mempunyai masalah pendengaran dan pembelajaran, menjadi antara titik penting yang membentuk perjuangannya.
Beliau memulakan kerjaya sebagai guru seni grafik perintis di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) pada 1988. Sepanjang tempoh tersebut, beliau terlibat dalam pembangunan kurikulum bidang seni grafik, fotografi, tekstil, seramik dan seni halus.
“Melalui pengalaman bersama pelajar OKU, saya melihat sendiri potensi dan kemahiran kreatif mereka yang bukan sekadar memerlukan bantuan tetapi juga peluang pendidikan, latihan dan ruang untuk membuktikan kemampuan,” katanya.
Bagi Jamizan, seni dan reka bentuk bukan sekadar menghasilkan karya yang menarik sebaliknya boleh menjadi medium komunikasi visual untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, membina keyakinan diri serta membuka peluang kerjaya kepada golongan OKU.
Beliau percaya, pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) apabila digabungkan dengan kreativiti serta teknologi, mampu membantu golongan tersebut membina kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam dunia pekerjaan dan keusahawanan.
Bidang pengajaran dan kepakarannya merangkumi penerbitan bebas dan pemikiran reka bentuk. Beliau turut terlibat dalam inisiatif TVET Design for Persons with Disabilities (PWD), iaitu reka bentuk untuk Orang Kurang Upaya (OKU), di SMPKV di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta di UCTC melalui inisiatif NBOS dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Selain itu, Jamizan juga merupakan ahli Alumni UiTM dan ahli Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang turut dikenali sebagai Majlis Rekabentuk Negara.
Antara inisiatif yang pernah dilaksanakannya termasuk program pembangunan kemahiran, penghasilan produk kraf, batik, seramik, jahitan, percetakan, fotografi dan seni grafik. Usaha tersebut turut membuka ruang kepada pelajar memasarkan hasil kerja melalui koperasi sekolah dan pusat kraf.
Jamizan bersama pensyarah dan 104 Pelajar tahun akhir Ijazah Seni dan Reka Bentuk Grafik Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM mempersembahkan hasil karya mereka.
Ketika terlibat dalam pembangunan keusahawanan sosial untuk pelajar OKU, beliau turut menyumbang kepada projek yang menerima geran RM260,000 bagi meningkatkan kemahiran dan potensi pelajar serta tenaga pengajar.
Pengalaman itu mengukuhkan keyakinan beliau bahawa golongan OKU mampu menjadi individu yang produktif dan berdikari apabila diberikan pendidikan, kemahiran, bimbingan serta peluang yang bersesuaian.
Jamizan turut terlibat dalam projek seni komuniti berskala besar yang menggabungkan pelajar universiti, organisasi, pihak industri, penaja dan masyarakat.
Antaranya pembentukan logo OKU menggunakan penyertaan 200 peserta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 2013 serta projek Lakar Fest pada 2014 yang melibatkan 800 pelajar dan penghasilan lukisan doodle sepanjang 1.3 kilometer.
Satu lagi projek melibatkan 300 pelajar yang menghasilkan lukisan doodle sepanjang 1.3 kilometer di kawasan tepi tasik Alam Impian, Shah Alam.
Projek-projek tersebut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dan memberikan pengalaman dalam perancangan kreatif, kerjasama pelbagai pihak, pengumpulan dana, publisiti media serta penjenamaan.
Bagi beliau, kejayaan projek komuniti bukan hanya diukur melalui pengiktirafan tetapi juga sejauh mana penyertaan itu meningkatkan kesedaran masyarakat dan membuka ruang kepada golongan OKU untuk terlibat secara aktif.
Jamizan juga merupakan usahawan kedai buku digital di MSGA Evenchise dan pemegang lesen jenama MSGA Royal Tourism, ahli KPMM dan Duta MSGA.

Bersama YM Sinuhun Ratu sepuh Kencanawangsa Dr. Ir. Arini Mariam MSc Ratu
Kerajaan Mempawah Amantubillah Pontianak Kalimantan Barat ke_13 Majlis anugerah Darjah Kerabat Pengeran sempena Keputeraan Sultan Kerajaan Mempawah ke_12 pada bulan Ogos yang lalu.

Cenderamata dari MSGA Royal Tourism kpd YM Yg Di Pertuan Gadih Prof Dr Ir Puti Reno Raudha Thaib Mancanegara Ketua Bundo Kanduang Sumatera Barat dan KBKLN sempena kunjung ziarah silatulrahmi ke KL Wanita An nur n Kerabat Diraja Pagar Ruyung 20 Dec 2025

Lawatan kunjung hormat kepada Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim Pengasas Yayasan Budi memperkenalkan Kelab Penulis Muda Malaysia KPMM dan keusahawanan kedai buku digital MSGA.

Bersama Professor Emeritus Dato Dr Ahmad Hj Zainuddin Pengerusi dan Lembaga CiDe MRM Majlis Rekabentuk Malaysia semasa Promosi Buku 40 Resipi Warisan Pahang (Persatuan Kebajikan Wanita Pahang di Ibukota -Perawan) di Kraftangan Kuala Lumpur
Selain pendidikan khas, Jamizan mempunyai pengalaman dalam perundingan reka bentuk, komunikasi pemasaran, penerbitan dan kempen kreatif untuk organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau pernah terlibat dalam penerbitan, kempen kesedaran dan usaha mengumpul dana bagi pelbagai program kebajikan dan kemanusiaan termasuk misi bantuan ke Gaza, Syria dan Kemboja.
“Pengalaman tersebut mengajar kami mengenai komunikasi visual dan penjenamaan yang tersusun boleh membantu organisasi menyampaikan mesej dengan lebih berkesan, menarik sokongan masyarakat serta menggerakkan penyertaan sukarelawan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan, industri, NGO dan komuniti bagi memastikan program sosial tidak berhenti pada pemberian bantuan tetapi berkembang menjadi usaha jangka panjang yang membina kemahiran dan kemandirian.
Dalam usaha meneruskan perjuangannya, Jamizan kini memberi perhatian kepada pendidikan kemahiran dan ibadah yang lebih inklusif untuk golongan OKU, khususnya individu pekak dan mereka yang mempunyai masalah pendengaran.
“Antara perancangan adalah membangunkan siri e-buku panduan mutawif umrah untuk golongan OKU yang dibantu melalui bahasa isyarat serta bahan sokongan berbentuk audio dan video. Inisiatif ini dirancang melalui kerjasama strategik bersama pihak berkaitan bagi membantu golongan OKU memahami dan melaksanakan ibadah dengan lebih baik,” katanya.
Beliau juga terlibat dalam pembangunan bahan penerbitan berkaitan koleksi From the Silent World dan sedang mengusahakan ilustrasi bagi siri panduan mutawif umrah tersebut.
Matlamat utama katanya untuk memperluas akses kepada ilmu, kemahiran dan peluang kepimpinan supaya golongan OKU dapat menyertai pelbagai bidang kehidupan dengan lebih berkeyakinan.
“Kami berharap kerjasama antara pendidikan, teknologi, keusahawanan sosial dan komuniti dapat melahirkan lebih banyak program yang memberi manfaat secara berterusan. Masyarakat inklusif bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada golongan OKU tetapi turut mengiktiraf kebolehan mereka dan memberikan ruang untuk menyumbang.
“Paling utama ialah membuka ruang dan peluang dan bukan sekadar bersimpati. Apabila pendidikan, kemahiran dan sokongan yang sesuai diberikan, golongan OKU juga mampu membina kehidupan yang produktif, berdikari dan bermakna,” katanya.
Karya beliau boleh diperoleh melalui laman web www.creativeindependent.biz