Wednesday, November 4, 2026

SIRI INSPIRASI DAN INOVASI – DARIPADA KEJURUTERAAN KE INOVASI

Share

 – Pengalaman dalam kejuruteraan mendorong Azme melihat kepentingan mendokumentasikan ilmu untuk manfaat generasi akan datang.

Pengalaman kerja, ilmu dan pemerhatian sepanjang kehidupan boleh menjadi bahan penulisan yang bernilai sekiranya didokumentasikan dengan baik. Bagi Noor Azme Omar, 52, penulisan bukan sekadar menghasilkan buku tetapi satu usaha berkongsi pengalaman dan meninggalkan ilmu untuk dimanfaatkan orang lain.

Anak kelahiran Kampung Pernu, Melaka ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera loji rawatan kumbahan industri sebelum berkhidmat dalam bidang pengurusan air, penyelidikan air dan inovasi berkaitan air dan alam sekitar.

.

Pengalaman mengendalikan pemasangan loji, pengoperasian, penyelenggaraan dan pematuhan piawaian pelepasan efluen mengilhamkan beliau suatu perspektif deskripsi tugas sebagai seorang jurutera. Ia  bukan sekadar menyelesaikan masalah melalui penyelenggaraan dengan kaedah sedia ada tetapi memerlukan penciptaan dan penambahbaikan kaedah atau produk berdasarkan sumber penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut beliau, usaha menghasilkan produk baharu memerlukan idea, melalui proses penyelidikan dan pembiayaan yang memadai. Kos bahan prototaip, pengujian prototaip, perisian merekabentuk prototaip serta penglibatan tenaga pakar merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan sesuatu kaedah inovasi atau produk inovasi dapat dibangunkan dengan baik dan cekap.

“Bajet antara cabaran besar untuk menghasilkan dapatan yang berkualiti dan bukan sekadar menghasilkan banyak dapatan dalam masa yang singkat. Pihak pengeluar produk misalnya perlu menghasilkan model produk terkini yang mempunyai spesfikasi tarikan pembeli,” katanya.

Beliau melihat persaingan industri dalam teknologi telefon pintar dan kenderaan elektrik (EV), sebagai contoh bagaimana organisasi harus terus berinovasi untuk memenuhi keperluan pengguna.

Selain kejuruteraan, Azme menekankan kepentingan mendokumentasikan data, gambar, video, proses kerja dan  hasil kerja supaya maklumat berharga tidak hilang dan dilupakan dan kemudiannya dapat dikongsikan.

Menurutnya, penyimpanan maklumat yang dahulunya banyak bergantung pada fail fizikal dan arkib, kini turut berkembang melalui kaedah digital seperti storan awan dan cakera keras Solid State Drive (SSD).

Beliau percaya golongan profesional perlu melihat pengalaman kerja, hasil pembelajaran kendiri serta pengalaman kehidupan sebagai sumber-sumber yang berpotensi ditransformasikan menjadi buku atau e-buku.

Bagaimanapun, penulis perlu memastikan penggunaan gambar dan bahan rujukan dibuat secara beretika dengan menghormati hak cipta serta memberikan pengiktirafan kepada sumber asal.

Beliau turut berpandangan bahawa penulisan akademik lazimnya lebih teknikal dan ditujukan kepada kelompok tertentu, manakala e-buku lebih sesuai untuk  masyarakat umum yang mana tahap penggunaan bahasa serta pendekatan yang lebih mudah difahami.

Bagi mereka yang ingin menghasilkan e-buku buat kali pertama, Azme mencadangkan supaya tiga perkara diberikan perhatian, iaitu gambar, aliran penceritaan dan mood penulis.

Gambar yang berkualiti tinggi tahap pixel sesebuah e-buku boleh menarik perhatian pembaca, manakala susunan idea yang teratur membantu menyampaikan kandungan dengan lebih jelas.

Bersama pasukan E-Trainer MSGA

Beliau juga menyarankan penulis menyediakan storyboard atau rangka penceritaan sebelum mula menulis supaya idea dapat disusun dan tidak hilang semasa proses menyiapkan sebuah buku.

Menurutnya, suasana juga boleh mempengaruhi kreativiti. Ada penulis yang mendapat inspirasi ketika berada di bawah pokok rendang, di tepi sungai,  pantai atau tasik.

“Mood sangat penting terutama menzahirkan kreativiti, misalnya sesetengah penulis sanggup berkarya di bawah sebatang pokok rendang di Cameron Highland, di tepi sungai, pantai atau tasik. Pernahkah kalian mendengar seorang tokoh buku menulis berjam-jam di Stesen Transit Aliran Deras (MRT) Tun Razak Exchange (TRX). Tidak mungkin, kerana Stesen MRT TRX merupakan titik tengah rangkaian pengangkutan awam di ibu negara,” katanya.

Bagi Azme, penulisan bukan hanya terhad kepada penghasilan buku untuk dikongsikan. Bahan seperti nota, slaid pembentangan dan draf bacaan untuk kursus, seminar atau latihan juga boleh menjadi cara berkongsi ilmu dengan lebih tersusun.

Penulisan katanya harus membawa manfaat. Ilmu yang dikongsikan sebaik-baiknya boleh mendorong individu ke arah kebaikan, membantu masyarakat ke arah perubahan positif dan menjauhi perkara yang merugikan serta mampu diteladani.

Beliau turut mengingati pesanan daripada seorang penceramah dalam seminar penulisan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang menekankan bahawa penulisan wajar mengandungi unsur yang boleh menjadi saham akhirat.

“Sebagai contoh, penulisan boleh menyeru orang ramai supaya berbuat baik, meneruskan kebaikan dan menjauhi perkara yang tidak baik, merugikan atau merosakkan,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada generasi muda yang membina kerjaya dalam apa jua bidang kerjaya agar terus mendalami bidang masing-masing sehingga menguasainya.

“Teruskan bidang yang diceburi dan kuasai bidang itu walaupun belum menulis atau berkarya. Kekalkan rentak walaupun ada orang yang belum percaya kepada kemampuan kalian,” katanya.

Tambahnya, pengalaman dan ilmu yang dikumpulkan sepanjang kerjaya tidak seharusnya terhenti sebagai pencapaian peribadi. Sebaliknya, apabila didokumentasikan dan dikongsikan, ilmu tersebut berpotensi menjadi rujukan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang.

Kadang kala katanya, apa yang berlaku di sekeliling turut menyumbang kepada perubahan kepada orang lain.

Noor Azme di samping rakan yang menjadi inspirasi dalam berkarya

Membesar bersama keluarga dari kecil di kampung Pernu, Melaka

“Saya teringat semasa saya di sekolah rendah, sistem ranking digunakan untuk menunjukkan siapa yang mendapat kedudukan teratas dan siapa yang berada di kedudukan tercorot. Setiap tahun, kami sudah tahu siapa yang berada dalam kelompok lima terbaik.

“Namun pada suatu hari, saya melihat seorang murid yang sebelum itu tidak begitu dikenali tiba-tiba berada di tempat kelima terbaik. Saya tertanya-tanya, bagaimana dia boleh mencapai kedudukan tersebut?

“Perkara itu mencetuskan sesuatu dalam diri saya dan mula berfikir bahawa jika dia boleh melakukan, saya juga boleh berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik. Sejak itu, saya terdorong untuk meningkatkan pencapaian akademik dan membuktikan kemampuan diri.

“Sangat bersejarah Sekolah Kebangsaan Pernu, Melaka pada 1985, seramai 7 orang mendapat skor 5A Peperiksaan Penilaian Darjah Lima ketika itu. Saya rasa semua orang boleh berjaya dan percayalah.  Ia sudah menjadi lipatan sejarah namun kenangan itu sangat bernilai.

“Jangan terkejut, pada 1986, saya sudah mula dapat ranking nombor 1 semasa Peperiksaan Pertengahan Tahun Darjah 6 dan ranking nombor 3 semasa Peperiksaan Akhir Tahun Darjah 6. Malangnya, sistem rekod sekolah sudah dibakar. Hanya tinggal sekeping gambar memegang Trofi tersebut dirakamkan oleh Abang Long saya. Album gambar itu masih ada di kampung. See, I Told You,” ujarnya penuh makna dan memiliki koleksi buku digital di www.langatbooks.com.

Berita Lain..

Berita Tempatan