Tuesday, November 17, 2026

EMPOWERHER DIGITAL 2026 MEMPERKASA  WANITA

Share

-Buka peluang jana pendapatan menerusi teknologi

DAMANSARA, NOV 2026_Lebih ramai wanita bakal mendapat peluang menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan menerusi teknologi digital menerusi pelaksanaan program EmpowerHER Digital 2026 yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran serta penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.  

Program yang dirasmikan Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo di Bandar Utama, hari ini, merupakan inisiatif Kementerian Digital menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Program itu menghimpunkan golongan wanita, usahawan, pemimpin komuniti dan rakan industri menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran praktikal, khususnya dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital.

Antara pengisian utama termasuk bengkel menjana pendapatan menerusi platform TikTok, kesedaran mengenai jenayah siber dan penipuan kewangan, perkongsian berkaitan kesejahteraan mental wanita serta pendedahan kepada teknologi baharu seperti penstriman langsung, realiti maya (VR) dan saringan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Pendedahan berkenaan diharap dapat membantu wanita memanfaatkan teknologi sebagai medium untuk mengembangkan potensi diri, memperluas pasaran perniagaan dan mewujudkan sumber pendapatan baharu.

.

Pada majlis sama, Gobind bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, YB Jamaliah Jamaluddin turut melancarkan Kad Keahlian Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail.

Pemerkasaan wanita menerusi kemahiran digital turut menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan manfaat perkembangan teknologi, termasuk AI, dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah Negara AI 2030, wanita perlu diberikan peluang dan keupayaan untuk bergerak lebih jauh dalam landskap digital, bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, malah sebagai usahawan, pencipta inovasi dan pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara.

Usaha memperluas akses kepada ilmu, kemahiran dan teknologi dilihat penting bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus transformasi digital, sekali gus membina ekosistem ekonomi digital yang lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan