Tuesday, November 17, 2026

MKDK 2026 BAWA AGENDA DIGITAL LEBIH DEKAT

Share

-Perkasa keupayaan rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Nov 2026_ Masyarakat berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran digital menerusi penganjuran Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Edisi Lembah Klang yang berlangsung di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

Program anjuran Kementerian Digital itu dirasmikan Ketua Setiausahanya, Datuk Fabian Bigar sebagai usaha memperluas kefahaman masyarakat terhadap perkembangan teknologi serta memastikan lebih ramai rakyat mampu memanfaatkan kemudahan digital dalam kehidupan seharian.

.

MDKD2026 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu kecerdasan buatan (AI), kepercayaan digital, kesejahteraan siber dan peluasan akses kepada perkhidmatan digital kerajaan.

Menerusi pelbagai sesi perkongsian ilmu, pengunjung didedahkan kepada asas dan penggunaan AI generatif, kaedah mengenal pasti penipuan dalam talian serta langkah melindungi diri daripada ancaman siber.

Turut diberi perhatian ialah peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara selamat selain kepentingan mengamalkan penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab.

 

Program itu turut menyediakan reruai pameran, demonstrasi teknologi dan khidmat penerangan oleh agensi kerajaan serta rakan strategik bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai inisiatif pendigitalan negara.

Antara perkhidmatan dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk Portal MyGovernment, Aplikasi MyGOV Malaysia, perlindungan data peribadi, identiti digital, teknologi 5G serta peluang meningkatkan kemahiran dalam bidang AI.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan khidmat penerangan berkaitan pendigitalan perniagaan, pendidikan kewangan dan perkhidmatan kebajikan masyarakat.

Bagi menarik penyertaan lebih ramai pengunjung khususnya golongan keluarga, MDKD2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan termasuk Jualan RAHMAH MADANI, pertandingan mewarna bertemakan ‘Dunia AI dan Masa Depan Digital’ serta aktiviti interaktif.

Penganjuran kali ketiga selepas edisi terdahulu di Bario dan Teluk Intan itu meneruskan usaha Kementerian Digital membawa pengetahuan, kemahiran dan perkhidmatan digital secara lebih dekat kepada masyarakat di pelbagai lokasi.

Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja memahami perkembangan teknologi malah mempunyai keupayaan untuk menggunakan ia bagi meningkatkan kualiti hidup, meneroka peluang ekonomi dan memudahkan urusan harian.

Seiring aspirasi Malaysia menuju Negara AI 2030, Kementerian Digital komited memperluas akses kepada pembelajaran dan kemudahan digital supaya manfaat transformasi teknologi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan