Saturday, November 21, 2026

MAK DI BELAKANG RUMAH

Share

TAJUK E-BOOK – 10 + 5 VARIASI SAMBAL BELACAN TERSEDAP MAK-MAK MALAYSIA

Generated image 1

Tekan di bawah ini:

Nama Kedai buku : nuansabookstore.com

SKETSA

Pagi di Belakang Rumah – Berbudi kepada tanah

Mak masuk ke kebun yang ditanam sendiri pokok-pokoknya. Abah telah memagar sekeliling dengan belahan buluh. Di situlah mak dan abah menamam pokok ubi yang merimbun. Ā Pokok ubi meliuk-lentuk ditiup desiran angin dan kelihatan banyak pucuknya yang sudah boleh dipetik.

Mak menanam pelbagai spesis. Terdapat dua jenis ubi kayu yang biasa di tanam di kampung.Ā  Ubi kayu jenis yang boleh dimakan dikenali sebagai ubi kayu jenis putih sebab isinya putih . Tangkai daunnya kemerah-merahan dan rasanya kurang manis dan sangat sesuai dijadikan kerepek.

Jenis ubi ini mak suka rebus, dimakan dengan kelapa parut yang digaul sedikit garam dan gula. Ubi dimakan begitu sahaja sangat enak apatah lagi jika dihirup dengan secawan kopi O.

Pada hari yang lain mak rebus ubiĀ  kemudian dilenyek dan ditapis untuk mengeluarkan airnya. Ubi kemudian dicampur santan dan Ā gula, Ā kemudian dibakar untuk dijadikan bingka atau kuih talam ubi. Sedap juga jika hari hujan mak buat lepat ubi atau sesekali getuk ubi.

Jika ubi terlalu banyak, mak akan mengajak jiran tetangga untuk bergotong-royong mencabut dan dijadikan kerepek. Riuh rendah dapur mak jika ramai yang datang menolong dengan gelak ketawa dan gurau senda. Hidup di kampung sangat menyeronokkan, saling muafakat walaupun hanya meracik beberapa ketul ubi kayu.

Kehadiran jiran-jiran yang juga sahabat baik mak, makcik Maliah, mak ngah Wok, mak ngah Bedah dan mak ngah Jenab sudah cukup menceriakan. Air hangat dimasukkan ke dalam teko dan berasap harum bau kopi yang dibancuh. Dua tiga tongkol ubi pula mak goreng, lumur dengan garam, kunyit dan bawang putih yang ditumbuk kasar maka lengkap hidangan petang itu.

Mak juga menanam jenis ubi kuning atau ada juga yang memanggilnya ubi mentega. Panggilan itu mungkin disebabkan warna isinya kuning, tekstur lebih lembut. Kalau direbus juga rasa lebih enak. Ubi kuning mak selalu buat pengat atau penjan yang dicampur dengan gula tebu.

Mak selesai membersihkan semak jenis olan yang mula memanjat batang-batang ubi. Pagi itu mak tidak mematahkan pucuk ubi untuk dibuat ulam. Matahari semakin meninggi, angin bersiul perlahan, daun-daun pokok bergeseran dan mengeluarkan irama yang mengasyikkan.

Mak menyeka peluh di dahi,Ā  sudah beberapa hari hujan tidak turun. Ironinya bahang tidak terasa kerana cahaya yang menerobos telah dihadang pelepah pokok kelapa yangĀ  seolah-olah menyerkup sekitar mak berada.

 

Masa untuk menuai hasil

Di kejauhan terdengar kokokan ayam, mak tersenyum dan meneka-neka, apakah si Jalak ayam Jantan bangun kesiangan lagi. Di sebelah batang-batang pokok ubi, mak menanamĀ  sebatas pokok keladi yang batangnya berwarna ungu kehijauan. Jenis ini sangat sedap dan empuk bila direbus atau digoreng. Daunnya juga cantik berbentuk hati, ada juga yang seolah-oleh berbentuk cuping gajah.

Di sebelahnya pula pokokĀ ulam raja, daunnya halus, berbunga merah samar dan aromanya cukup dikenali oleh mak-mak di kampung. Mak dan abah pun sangat suka pucuk ulam raja. Digetusnya beberapa tangkai Ā lantas dibawa ke hidung. Aroma daun pucuk ulam raja memang wangi.

Mak meletakkan raganya di tepi pokok pisang yang abah tanam secara menjajar di tebing parit. Mak mendekati batas yang ditanam kacang panjang,Ā daunnya yang sudah kering mak buang, Buahnya sudah mula muncul di sebalik kelopak bunga putih ungu yang semakin melebar. Mak membetulkan kayu-kayu pancang tempat pokok kacang bergayutan.

Mak juga membetulkan pancang kacang botolĀ yang juga sudah mula mengeluarkan tunas dan bunga. Mak sempat mengintai pancang daripada belahan buloh untuk melihat pokok peria yang juga sudah mengeluarkan sulur bunga berwarna kuning.

Mak beralih menggembur tanah dengan parang di batas pokok kacang Ā bendi. Di batas yang sama mak menanam kunyit, halia dan di hujungnya beberapa rimbun serai.

Lima enam helai daun kunyit yang lebar diambilnya, tentu mak sudah merencana beberapa menu nanti. Sempat juga mak mencabut rumput di beberapa pangkal pokok cili padi yang daunnya merimbun. Buahnya juga sudah masak meranum dan mak kutip segenggam.

Mak memasukkan cili ke dalam raga dan melangkah perlahan kemudian berhenti di bawah pokok pisang awak. Didongaknya kepala sedikit, matanya jatuh padaĀ jantung pisang.

ā€œYang itu pun sedap dimakan dengan sambal belacan. Tunggulah abah budak-budak ni tebang pokoknya petang nanti.Ā  Jantung lebih tahan disimpan berbanding ulam jenis berdaun,ā€ mak berbisik perlahan.

Raga kecil itu akhirnya penuh dengan beberapa ulam-ulaman cukup untuk hidangan tengah hari sekeluarga.

ā€œKeramat raga ni, datang tadi kosong, balik penuh pula,ā€ mak melawak seorang diri.

Kekabu, rokam dan kenangan

Mak mengangkat semula raga yang diletakkan di sisi pokok pisang. Beratnya belum seberapa tetapi isinya sudah cukup membuatkan hati mak lapang. Ada daun kaduk, pucuk paku, pucuk beruas, sedikit pucuk ulam raja dan segenggam cili padi yang baru dipetik. Daun kunyit yang lebar pula diselitkan di bahagian atas supaya tidak penyek.

Mak melangkah meninggalkan pokok pisang tetapi baru beberapa langkah, matanya terpandang sebatangĀ pokok kekabuĀ yang tumbuh tidak jauh dari batas.

Pokok itu sudah lama berada di situ. Batangnya besar dan kulitnya kasar, sementara banirnya melebar ke kiri dan kanan seperti tangan tua yang sedang memeluk tanah. Mak berhenti sebentar di situ.

Tangannya menyentuh permukaan banir yang kasar.

ā€œDah tua pokok ni…ā€ katanya perlahan.

Mak teringat zaman kecilnya . Pokok kekabu itu sudah ada ketika mak dan adik-beradiknya Ā berlari-lari di halaman. Kemudian mereka bermain sembunyi-sembunyi lantas mak menyorok di belakang banirnya yang besar. Dahulu mak tidak pernah terfikir bahawa setiap pokok yang tumbuh di sekitar rumah akan menyimpan begitu banyak kenangan.

Mak mendongak dan beberapa dahan tinggi bergerak perlahan ditiup angin. Di celah-celah daun, cahaya matahari jatuh berjalur-jalur ke tanah.

Mak tidak mengambil apa-apa daripada pokok itu, cukuplah sekadar melihat dan mengingati. Kalau musim panas nanti, mak sudah berkira-kira mengajak abah mengait buahnya untuk dibuat bantal.

Diletaknya raga seketika di atas banir yang rata lalu dia menyeka peluh di pipi dengan hujung tuala yang melilit kepalanya. Buah kekabu yang bergantung di dahan kelihatan lonjong dan sedikit berisi, kulitnya hijau pucat dengan permukaan yang licin.

Apabila cukup tua, kulitnya akan bertukar keperangan dan kasar sebelum pecah menampakkan gumpalan serat putih yang mengembang seperti kapas, bersama biji-biji hitam kecil yang terselit di celahnya.

Fikiran mak jauh melayang mengingati proses mengait kekabu, membelah buahnya kemudian isi seperti kapas dijemur sehingga benar-benar kering dan ringan. Kemudian mak akan ke pekan membeli beberapa ela kain untuk dibuat sarung bantal. Mak akan mengambil beberapa gumpal kapas kekabu yang ringan dan dimasukkan ke dalam sarung bantal.

Sebelah malamnya mak akan menghulur kepada abah dan anak-anak bantal baharu yang sangat ringan tetapi bila diletakkan kepala ke atasnya, sangat selesa dan lena tidur hingga ke pagi.

Kemudian matanya tertancap pada beberapa pokok kecil yang tumbuh tidak jauh dari situ. Kelihatan sebatang pokok rokam yang agak tinggi dan daun-daunya merimbun.

Mak mendekatinya dan kelihatan buah rokam yang masih muda bergantungan di celah-celah daun. Ada yang hijau, ada yang sudah mula berubah warna merah hati. Mak sekadar memandang ke atas dan sekali lagi wajah abah yang melintas.

Mengambil buah rokam ada dua cara dan memerlukan tenaga abah samada memanjat pokoknya lantas buahnya dipetik atau cara lain abah akan kait menggunakan galah panjang dan dihujungnya sabit.

ā€œKalau dah masak ranum sedap dibuat cicah dengan garam, cili dan belacan,ā€ bisik mak sambil kecur liur teringat buahnya yang masam.

Bersambung……

PENULIS : RAHANA MD

Biodata – Lulusan Masscomm UiTM Shah Alam, menulis sejak 1992 di beberapa akhbar termasuk di Kumpulan Utusan Melayu berhad (Majalah Wanita dan Utusan Malaysia). Aktif sebagai Ghostwriter (penulis upahan) untuk buku biografi, menulis siaran akhbar. Pemilik agensi Perhubungan Awam (PR) Nuansa Media dan juga Konsultan media (repo dengan pihak media arus perdana, media alam talian dan portal)

Dedikasi khas e-buku ini untuk Allahyarhamah bondaku – Fatimah Yeop – alfatihah

 

Berita Lain..

Berita Tempatan