PAGI DI BELAKANG RUMAH
Pagi itu langit biru dan cerah, awan putih bertompok-tompok, bagai kapas bersih yang terapung perlahan di dada langit. Embun masih bergayut setitis dua di hujung daun keladi, cantik berkilau bagai sebutir berlian disimbah sinar mentari. Alam semakin cerah dan bercahaya keemasan di belakang rumah.
Di sebuah rumah kampung, Mak duduk sebentar di anak tangga kayu yang paling bongsu. Di tangannya ada raga kecil daripada lidi kelapa. Sungguh pun baru sahaja tadi mak goreng nasi yang dicampur isi ikan kembung goreng, sekarang sudah memikirkan untuk hidangan makan tengahari pula.
Mak mendongak ke pokok jambu air di kanan tangga, kelicap riuh berkicau sambil berebut-rebut mematuk jambu yang ranum. Mesti musim kali ini manis buahnya. Mak masih memikirkan menu masakan.
Bekal nasi goreng yang mak berikan pada abah pagi tadi tentu sudah habis dimakan. Abah bekerja kampung dengan menggunakan kudrat empat kerat , sudah tentu memerlukan makanan berat untuk membekalkan tenaga.
Mak tersenyum membetulkan tuala kecil yang diserkup ke kepala kerana sudah dapat ilham untuk hidangan nanti. Mak teringat ikan kembung yang abah bawa balik petang kelmarin. Baki dari menggoreng semalam masih ada lima ekor. Ikan itu nanti mak akan bakar dan tumbuk sambal belacan. Lawannya tentu lebih enak jika ada ulam-ulaman.

Mak sudah menyarung selipar dan akan memulakan langkah. Di tangannya sebilah parang tapik yang baru abah asah di pelantar pagi tadi. Akhirnya mak bangkit dan menuju lorong arah ke kebun di belakang rumah.
Mak sudah hafal benar lorong yang ditumbuhi pokok keladi dan pokok-pokok renek di kiri dan kanannya. Mak berjalan tidak laju dan tidak juga perlahan, tiada apa-apa barang berharga termasuk duit yang mak bawa. Modal mak cukup dengan sepasang mata yang tajam dan ingatan yang sudah puluhan tahun mengenal setiap pokok di sekeliling rumah.
Tupai jatuh, riuh rendah penghuni kebun.

Langkah mak elok tersusun tetapi tiba-tiba terhenti apabila 200 meter di hadapan jatuh pelepah kelapa. Mak terkejut dan mengundur beberapa langkah tetapi tidak panik. Begitulah suasana di dalam kebun, deruan angin, geseran dedaun kering, pelepah atau seludang kelapa yang jatuh boleh memecah kesunyian.
Tidak lama selepas itu, seekor tupai berdecit ketakutan kerana jatuh bersama pelepah tadi dan laju memanjat batang kelapa semula. Mungkin mahu segera memastikan sarangnya di atas tidak rosak dan anak-anaknya selamat.
Mengenang si anak tupai, mak meneruskan langkah kerana teringat anak-anak juga menanti hidangan makan tengahari. Beberapa ekor merbah yang mungkin bersarang di perdu pokok pisang berhampiran juga berterbangan dan berkicau kuat. Tragedi pelepah kelapa jatuh sebentar tadi mengundang suasana huru-hara buat penghuni kebun.
Mak menarik nafas panjang dan meneruskan langkah. Sebaik sampai ke kawasan kebun, mak sudah tahu mana satu pucuk yang boleh dipetik, mana satu daun yang sedap dimakan mentah, daun yang perlu dicelur dahulu dan mana satu yang lebih baik dibiarkan terus tumbuh.
Begitulah bijaknya warga kampung. Ulam-ulaman tidak perlu dibeli kerana banyak yang tumbuh sendiri di belakang rumah, di tepi pagar, di batas kecil dan di celah-celah pokok-pokok di kebun.
Mak singgah sebentar ke kawasan pokok sayur yang ditanam abah. Membetulkan junjung daun kaduk yang menjalar subur. Daunnya hijau berkilat, lebar dan cantik. Beberapa helai yang masih muda dipetik, tidak banyak kerana cukup untuk satu hidangan sahaja.

Tidak jauh dari situ mak memandang pokok turi yang batangnya sudah tinggi. Pucuk turi yang muda dan lembut sangat enak tetapi mak hanya memandangnya dan kemudian tersenyum kecil.
“Pucuk turi kalau kalau mahu dimakan mesti dicelur dahulu, makan dengan sambal belacan sedap tapi biarlah dulu, petik lain kali,” bisiknya sendirian.
Ulam-ulaman anugerah alam.
Di kawasan yang sedikit bersemak pula, tumbuh pucuk paku yang meliuk-liuk, dihujung sulurnya bagai ada sanggul. Mak tahu waktu terbaik untuk mengambilnya. Pucuk yang muda dipatahkan dan dimasukkan ke dalam raga bersama daun kaduk.

Kemudian matanya tertumpu kepada beberapa pokok terung pipit. Buah-buah kecil yang masih muda bergantungan di celah daun. Mak hanya sekadar membersihkan semak di pangkal pokoknya yang renek. Mak tidak risau haiwan mematuknya dulu kerana rasanya agak pahit, terung pipit mak akan
.
Bagaimana pun yang mak risaukan ada budak-budak kampung yang nakal suka sangat mencari buah terung pipit. Kadang mereka kutip buah sehingga gondol pokoknya. Terung pipit yang kecil berbentuk bulat itu dijadikan peluru senapang kayu. Mereka bermain tembak-tembak dan menjadikan belakang pokok besar sebagai benteng dari musuh. Mak menggeleng mengenangkan telatah anak-anak kampung.
Tidak jauh dari situ ada pula pucuk manis yang pokoknya tumbuh meliar, pucuknya juga menggamit selera. Dikutipnya beberapa pucuk yang lembut dan dimasukkan ke dalam raga.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan kehidupan kampung mungkin semuanya kelihatan seperti tumbuhan biasa. Namun bagi Mak, belakang rumah itu seolah-olah sebuah pasar yang mewah dengan ulam-ulaman segar tanpa meminta walau sesen pun sebaliknya hanya menuntut kerajinan.
Sebahagian ulam memang tumbuh liar dan mudah ditemui di kawasan kampung manakala sebahagian yang lain sengaja ditanam di sekitar rumah atau kebun kecil
PENULIS : RAHANA MD
Biodata – Lulusan Masscomm UiTM Shah Alam, menulis sejak 1992 di beberapa akhbar termasuk di Kumpulan Utusan Melayu berhad (Majalah Wanita dan Utusan Malaysia). Aktif sebagai Ghostwriter (penulis upahan) untuk buku biografi, menulis siaran akhbar. Pemilik agensi Perhubungan Awam (PR) Nuansa Media dan juga Konsultan media (repo dengan pihak media arus perdana, media alam talian dan portal)
Dedikasi khas e-buku ini untuk Allahyarhamah bondaku – Fatimah Yeop – alfatihah