-Bermula blog peribadi hingga empat pameran solo, pensyarah kanan UiTM ini membuktikan pengalaman, penulisan dan seni diwarisi oleh legasi.
SEGAMAT_ Pengalaman hidup, kisah keluarga, puisi, dunia pendidikan dan hasil seni mungkin kelihatan seperti cebisan cerita yang berasingan namun bagi Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat Johor, Nazhatulshima Nolan, semuanya mempunyai nilai untuk didokumentasikan dan dikongsi bersama masyarakat.
Baginya, penulisan bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang sebaliknya menjadi kaedah merakam pengalaman, menyampaikan buah fikiran dan meninggalkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang memiliki Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini telah memulakan perjalanan penulisannya melalui blog Dari Kerana Mata pada 28 Jun 2006.
Nazhatulshima Nolan
Nama blog tersebut membawa makna tersendiri, berasaskan ungkapan daripada mata turun ke hati. Baginya, apa yang dilihat dan dirasai belum tentu dapat difahami orang lain selagi tidak diolah menjadi tulisan dan bahasa yang mampu menyentuh hati pembaca.
Blog berbahasa Melayu itu menghimpunkan pelbagai genre penulisan termasuk puisi, kisah harian, pengalaman bersama keluarga dan anak-anak serta perkara yang menarik perhatiannya.
Malah salah satu hasil penulisannya dikembangkan menjadi cerpen berjudul Tidak Kalis Sayu yang pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera.
“Banyak perkara yang kita lihat dan lalui dalam kehidupan sebenarnya boleh menjadi bahan penulisan. Apa yang penting ialah bagaimana kita mengolah pengalaman itu supaya dapat dikongsi dan difahami oleh orang lain,” ujar ibu kepada sepasang cahayamata ini.
–
Nazhatulshima bersama keluarga
Minat Nazhatulshima terhadap penulisan turut berkembang dalam bahasa Inggeris menerusi beberapa blog lain yang mencerminkan sisi berbeza kehidupannya malah ijazah pertamanya dalam Ijazah Sarjana Muda TESL (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menerusi LATEZONE, singkatan bagi Learning and Teaching English Zone, beliau mencatat pengalaman, aktiviti dan refleksi sepanjang menjalankan tugas dalam bidang pendidikan.
Blog Through My Eyes pula menjadi ruang untuk berkongsi pemikiran dan perkara yang menarik perhatiannya dalam bahasa Inggeris.

Nazhatulshima bersama pelajar Diploma Investment Analysis di UiTM, Segamat, Johor.
Tidak terhenti pada penulisan, beliau turut mengembangkan minat dalam seni visual menerusi blog Expression of Passion yang menghimpunkan hasil lukisan dan karya seninya.
Penglibatan dalam dunia seni itu membawanya menyertai empat pameran lukisan secara solo serta lebih 20 pameran berkumpulan di dalam dan luar negara termasuk Thailand dan Indonesia.
Lebih membanggakan, hasil seninya pernah dipilih untuk dijadikan barangan promosi sebuah syarikat kopi. Replika beruang yang berkaitan dengan karya tersebut juga masih dipamerkan di ruang pelepasan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagi Nazhatulshima, pengalaman dalam pendidikan, penulisan dan seni membuka peluang untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif berbeza.
Beliau percaya pengalaman yang dikumpulkan selama bertahun-tahun tidak seharusnya terhenti sebagai kenangan peribadi sebaliknya boleh disusun semula menjadi bahan bacaan yang memberi manfaat kepada orang lain.
Usaha mendokumentasikan pengalaman itu kini diteruskan melalui penerbitan e-buku. Antara karya yang telah dihasilkannya termasuk 6 Hari Kembara Campervan Selandia Baru, Pengenalan Linguistik Bahasa Melayu – Modul Rujukan dan Your Poetry Voice.
E-buku pertama diinspirasikan daripada pengalaman pengembaraan yang dilaluinya kira-kira sedekad lalu. Melalui gambar dan bahan sedia ada, pengalaman tersebut dapat disusun semula menjadi sebuah karya digital.
Dua e-buku berikutnya pula berkaitan dengan bidang bahasa dan puisi yang akrab dengan pengalaman serta pengajarannya.
Nazhatulshima yang juga merupakan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menekankan menghasilkan e-buku pertama tidak semestinya perlu memulakan projek yang besar, terlalu rumit atau mendambakan kesempurnaan.
Merakam kenangan di Malam Baca Puisi PENA

Membaca puisi karyanya dalam sesi rakaman di sebuah studio
Sebaliknya, beliau menyarankan supaya penulis baharu memilih pengalaman atau bidang yang sudah dikuasai dan mudah dikongsikan sebelum menerokai topik yang memerlukan kajian lebih mendalam.
“Pilihlah sesuatu yang mudah dahulu supaya kita seronok untuk menghasilkan e-buku yang seterusnya. Ada juga tajuk yang memerlukan banyak rujukan dan kajian. Projek seumpama itu boleh diperhalusi apabila kita mempunyai masa dan persediaan yang sesuai,” katanya.


Karya e-buku yang ketiga (atas) dan terbaharu (bawah) di kedai buku digital miliknya.
Beliau turut melihat platform digital sebagai peluang untuk golongan profesional, pendidik dan individu yang mempunyai kepakaran mendokumentasikan ilmu agar dapat diakses oleh khalayak yang lebih luas.
Menerusi platform MSGA, beliau berpendapat penulis mempunyai ruang untuk meneroka penerbitan digital dan keusahawanan berasaskan ilmu.
Bagaimanapun katanya, usaha menghasilkan kandungan yang berkualiti perlu disertai kemahiran komunikasi, penjenamaan diri dan pemasaran yang berkesan.
Berdasarkan pengalamannya dalam dunia pendidikan, Nazhatulshima berpendapat bahawa pengetahuan dan kemahiran komunikasi perlu bergerak seiring.
Seseorang yang mempunyai ilmu dalam sesuatu bidang belum tentu mampu menyampaikan isu dengan berkesan, manakala individu yang petah bercakap pula tidak semestinya mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara yang dibincangkan.
Justeru, kemahiran seperti pengucapan awam, pembentangan dan komunikasi profesional perlu diasah melalui latihan.
Beliau turut melihat kepentingan didikan keluarga dalam membentuk asas komunikasi dan jati diri seseorang, selain peranan persekitaran serta pendedahan sepanjang proses pembelajaran.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), Nazhatulshima berpandangan bahawa teknologi boleh membantu penulis menghasilkan idea, menterjemah dan menyunting kandungan. Bagaimana pun hasil yang dijana perlu disemak dan disahkan menggunakan sumber yang boleh dipercayai.
Menurutnya, teknologi sepatutnya menjadi alat bantuan dan bukannya menggantikan pertimbangan, kreativiti dan tanggungjawab manusia sepenuhnya.
Apabila ditanya mengenai legasi yang mahu ditinggalkan, Nazhatulshima tidak memilih satu tajuk buku secara khusus. Sebaliknya, beliau melihat pelbagai bahan yang telah dikumpulkan sejak dua dekad lalu berpotensi dikembangkan menjadi siri e-buku.
Melalui pengalaman mengajar dan refleksi pendidikan hingga puisi, pengembaraan, kisah keluarga dan karya seni, setiap bahan mempunyai nilai tersendiri untuk dikongsikan secara berperingkat.
Beliau turut menjadikan Surah al-Alaq sebagai peringatan tentang kepentingan membaca dan menulis, khususnya ayat keempat yang menyebut pengajaran manusia melalui pena.
“Legasi tidak semestinya hadir dalam bentuk sebuah buku besar. Ia juga boleh dibina melalui karya-karya kecil yang dihimpunkan dan disampaikan kepada pembaca dari semasa ke semasa,” ujarnya yang mempunyai kedai buku digital di bacadimaya.com.