Thursday, July 23, 2026

SIRI MUZIKAL AKU JAMAL – SUARA EMAS DIGITAL BAWA MESEJ INTERNET SELAMAT

Share

-Tampil dengan dua anaknya, Osman Yamani dan Zaki Yamani

Pendekatan hiburan terus dimanfaatkan sebagai medium pendidikan apabila DJA Show: Siri Muzikal Aku Jamal – Suara Emas Digital tampil membawa mesej penggunaan internet secara selamat menerusi gabungan muzik, penceritaan dan perkongsian pengalaman dalam format program televisyen bersiri.

DJA Show (The Jamal Abdillah Show) merupakan program yang mengandungi 13 episod, menampilkan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bersama artis jemputan termasuk dua anaknya, Osama Yamani dan Zaki Yamani.

Melalui pendekatan santai dan menghiburkan, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan digital agar mesej yang disampaikan lebih dekat, mudah difahami dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dalam ucapannya berkata, DJA Show mencatat sejarah sebagai rakaman konsert secara langsung selama 13 hari berturut-turut yang pertama dilaksanakan di Studio Virtual Production FINAS selepas fasiliti itu dinaik taraf.

“Kolaborasi bersama Datuk Jamal Abdillah dan pasukan produksi adalah satu pencapaian penting yang membuka lembaran baharu kepada penggunaan teknologi penerbitan moden di FINAS,” katanya.

Inisiatif tersebut diperkenalkan ketika cabaran dunia digital semakin mencabar berikutan peningkatan kes penipuan dalam talian, ancaman keselamatan siber serta penyebaran maklumat palsu yang memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Golongan wanita dan warga emas dikenal pasti antara kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada ancaman tersebut, sekali gus memerlukan pendekatan komunikasi yang lebih kreatif dan mesra masyarakat.

Selaras dengan usaha memperkukuh kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penerbitan siri muzikal ini menjadi antara platform kreatif yang membantu menyampaikan mesej literasi digital kepada masyarakat melalui kandungan berunsurkan hiburan.

Setiap episod menggabungkan persembahan muzik, perkongsian pengalaman serta nasihat praktikal mengenai penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab. Mendorong program ini bukan sekadar hiburan malah sarat dengan nilai pendidikan yang relevan dengan kehidupan digital masa kini.

Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri MCMC, Mohd Faizal Mad Nor  berkata, kerjasama bersama Datuk Jamal Abdillah merupakan pendekatan strategik dalam memperkukuh Kempen Internet Selamat (Klik Dengan Bijak). Ia turut membantu menyampaikan mesej literasi digital kepada masyarakat menerusi platform hiburan yang mempunyai capaian lebih luas.

Siri DJA Show: Aku Jamal: Suara Emas Digital akan disiarkan di saluran TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 13 minggu berturut-turut bermula Julai depan bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih luas.

Selain siaran televisyen, kempen ini turut diperkukuh melalui pelbagai platform digital termasuk promosi media, pengumuman khidmat awam serta kerjasama dengan pempengaruh bagi memperluaskan penyebaran mesej dan menggalakkan amalan penggunaan Internet yang selamat dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu penganjur bersama  Aideaz Integrated melalui Ketua Pegawai Eksekutif Norafizah Shiak Abd Rahman pula berpendapat, penerbitan DJA Show merupakan hasil perancangan sejak Oktober tahun lalu dengan pembangunan kandungan bermula Januari, melibatkan komitmen tinggi seluruh pasukan produksi.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MCMC, RTM dan Datuk Jamal Abdillah atas kepercayaan serta kerjasama yang diberikan dan berharap konsep program ini dapat diperluaskan kepada lebih banyak inisiatif pada masa hadapan,” ujarnya.

Pengarah Program DJA Show, Rosnan Nordin pula menambah, DJA Show diterbitkan sebagai penghargaan kepada legasi seni Datuk Jamal Abdillah selain merealisasikan hasrat penyanyi itu untuk merakam semula lagu-lagu popularnya. Beliau berharap program berkenaan menjadi satu penghormatan kepada seniman negara dan mendapat sambutan meluas daripada masyarakat.

Datuk Jamal Abdillah dalam sidang media menjelaskan,  sokongan rakan-rakan artis dan seluruh pasukan produksi menjadi kekuatan utama dalam menjayakan program tersebut.

“Saya berharap persembahan itu nanti menghiburkan penonton dan menjadi warisan seni yang dapat terus dikenang oleh generasi akan datang. Semoga masyarakat terus mengingati saya menerusi karya-karya yang membangkitkan nostalgia dan menyentuh hati,” ujarnya.

Mengulas mengenai kerjaya seninya,  Jamal menjelaskan akan terus berkarya selagi mampu memberikan persembahan terbaik kepada peminat. Selepas selesai rakaman DJA Show, beliau  bakal muncul dengan single baharu berjudul Ihtilam.

Berita Lain..

Berita Tempatan