Thursday, July 23, 2026

KUMPULAN ISP SUMBANG RUMAH TRANSIT ASNAF MELAKA

Share

-Ringankan Beban 30 Keluarga Asnaf

JASIN – ISP Group meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada Rumah Transit Asnaf Melaka di Serkam, Jasin untuk membantu meringankan beban 30 keluarga asnaf.

Program bertemakan “Bersama Komuniti, Membawa Kebaikan, Menyemai Harapan” itu menjadi manifestasi kerjasama strategik antara sektor swasta, kerajaan dan masyarakat dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian serta sokongan berterusan.

Majlis turut dihaidri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong inisiatif kebajikan serta pembangunan komuniti melalui institusi seperti Rumah Transit Asnaf Melaka.

Rumah Transit Asnaf Melaka yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu berperanan menyediakan perlindungan sementara, bimbingan dan sokongan kepada keluarga asnaf serta individu yang memerlukan sebelum mereka mampu membina kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.

Dari kiri- Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (empat dari kiri) dan Pengarah Urusan ISP Group, Encik Eric Ng (lima dari kiri), menyampaikan beg cenderahati kepada para asnaf.

Sebagai sebahagian daripada program CSR itu, Kumpulan ISP menyumbang dua buah kerusi roda bagi memenuhi keperluan mobiliti penghuni rumah transit selain menyampaikan beg cenderahati dan sumbangan tunai kepada 30 keluarga asnaf bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan ISP, Eric Ng berkata, syarikat percaya setiap kejayaan yang dikecapi akan menjadi lebih bermakna apabila manfaatnya dapat dikongsi bersama masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

“Di Kumpulan  ISP, kami percaya setiap kejayaan yang dikecapi akan menjadi lebih bermakna apabila dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan. Kami berharap bantuan yang dihulurkan hari ini mampu menjadi sinar harapan serta membawa manfaat dan keberkatan kepada setiap keluarga yang menerimanya,” katanya.

Tambahnya,  sebagai syarikat yang terlibat dalam pembangunan ruang untuk masyarakat tinggal dan bekerja, Kumpulan ISP melihat tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada nilai teras syarikat dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih sejahtera.

“Rumah Transit Asnaf Melaka memainkan peranan yang amat penting dalam membantu golongan yang memerlukan. Justeru, kami berharap lebih banyak syarikat korporat tampil berganding bahu bersama organisasi akar umbi bagi memperluaskan lagi impak kebajikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengasas Rumah Transit Asnaf Melaka, Tuan Haji Ustaz Hairul Amin, atas dedikasi dan komitmen berterusan beliau dalam menyediakan tempat perlindungan, bimbingan serta peluang kepada keluarga asnaf untuk membina kehidupan yang lebih baik dan berdikari.

Kumpulan ISP merupakan kumpulan syarikat yang terlibat dalam pembangunan serta pelaburan hartanah perindustrian, khususnya Gudang Logistik dan Hab Pembuatan (LWMH) serta Penginapan Pekerja Binaan Khas (PBWA). Sejak penubuhannya pada tahun 2022, syarikat terus berkembang dengan aspirasi membina legasi pembangunan yang mampan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada ekonomi, masyarakat dan negara.

Melalui program CSR ini, ISP Group berharap ia menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kukuh antara sektor swasta, Kerajaan Negeri dan organisasi kebajikan dalam memperluaskan bantuan kepada lebih banyak rumah transit serta memperkasakan kebajikan golongan asnaf di seluruh Melaka.

Berita Lain..

Berita Tempatan