-Angkat Keusahawanan Malaysia ke Persada Dunia
CYBERJAYA, 10 Julai 2026_ Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju pembangunan keusahawanan negara apabila program-program bimbingannya menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai antara negara yang cemerlang dalam pembangunan usahawan dan inovasi sosial.
Kejayaan terbaharu itu dicapai menerusi GovMedia Conference & Awards 2026 di Singapura apabila INSKEN meraih dua anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan organisasi sektor awam dalam inovasi, transformasi digital, pembangunan modal insan serta penyampaian perkhidmatan berimpak tinggi kepada masyarakat.
INSKEN yang diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Sham Shamrat Sen Gupta, selaku ketua delegasi telah menerima anugerah Malaysia Digital Initiative of the Year – Training menerusi Program INSKEN Mini Coaching (Marketing) 2025, selain Malaysia Training Programme of the Year – Training menerusi Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Steven Sim Chee Keong berkata, pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan pelaburan kerajaan dalam memperkasa kapasiti usahawan telah membuahkan hasil yang signifikan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan INSKEN malah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited membina ekosistem keusahawanan yang inovatif, inklusif dan mampan.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan usahawan berada di landasan yang tepat. Tahniah kepada seluruh warga INSKEN serta rakan-rakan strategik yang telah menyumbang kepada pencapaian ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Kejayaan di Singapura itu turut melengkapkan deretan pencapaian cemerlang INSKEN sepanjang tahun 2026 apabila agensi berkenaan sebelum ini turut menerima pengiktirafan Public Social Innovator of the Year 2026 daripada Schwab Foundation sempena World Economic Forum (WEF), selain diiktiraf oleh Malaysia Book of Records atas penganjuran seminar keusahawanan terbesar di Malaysia.
INSKEN juga menerima Entrepreneurship Development & Economic Empowerment Award (Builders) 2026, DPIM Entrepreneurship Impact Award 2026 serta Social Impact Award pada Tatler Asia Front & Female Awards 2026 yang memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pembangunan keusahawanan bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Korporat INSKEN, Dr. Maizura Mohamad, berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan dedikasi seluruh warga INSKEN bersama rakan strategik dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang mampu memperkasa ekonomi negara secara inklusif.
Tambahnya, anugerah berkenaan bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan program yang dilaksanakan malah menjadi pemangkin kepada INSKEN untuk memperluaskan kerjasama strategik di peringkat domestik dan antarabangsa serta memperkukuh pembangunan program-program yang memenuhi keperluan semasa usahawan melalui inovasi, pendigitalan dan kolaborasi ekosistem.
“Pengiktirafan ini memberi suntikan semangat kepada kami untuk terus memperkasa usahawan Malaysia menerusi program-program yang relevan, berimpak tinggi dan mampu meningkatkan daya saing mereka di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.

Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-20, INSKEN kini muncul sebagai antara institusi pembangunan keusahawanan paling berpengaruh di negara ini selepas berkembang daripada sebuah institusi latihan kepada peneraju pembangunan ekosistem keusahawanan negara melalui pelbagai intervensi strategik yang merangkumi pembangunan kapasiti, akses pasaran, kolaborasi ekosistem, advokasi dasar, inovasi inklusif dan pendigitalan.
Sepanjang dua dekad penubuhannya, INSKEN telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan hasil pelaksanaan program-program pembangunan keusahawanan yang memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sehingga kini, agensi itu berjaya membimbing dan melatih lebih 159,859 usahawan di seluruh negara serta melaksanakan lebih 4,051 program pembangunan keusahawanan.
Pada tahun 2025 sahaja, program-program yang dilaksanakan berjaya membantu usahawan menjana RM22.4 juta hasil jualan perniagaan, di samping mewujudkan 710 peluang pekerjaan, sekali gus membuktikan keberkesanan intervensi INSKEN dalam memperkukuh perniagaan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkasa komuniti usahawan.

Dr. Maizura berkata, sempena ulang tahun ke-20 penubuhan INSKEN, agensi itu akan terus komited mencipta impak yang lebih besar melalui pemerkasaan usahawan, memperluas akses pasaran, memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan tiada usahawan tercicir daripada arus pembangunan negara.
Jelasnya, aspirasi INSKEN adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan keusahawanan yang inklusif, mampan dan berdaya saing, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi negara.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), INSKEN akan terus menerajui pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh daya tahan perniagaan, membangunkan institusi serta komuniti usahawan serta menyumbang kepada pembentukan ekonomi Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan di peringkat global.