Wednesday, November 4, 2026

BELI RUMAH IKUT KEMAMPUAN, BUKAN KERANA TAKUT HARGA NAIK

Share

-Rumah impian jangan sampai menjadi beban kewangan – Profesor Sr Dr Rohayu

SHAH ALAM_ Memiliki rumah sendiri merupakan impian ramai orang, khususnya golongan muda yang baru memulakan kerjaya namun keputusan membeli harta tanah perlu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan, keperluan hidup dan perancangan jangka panjang, bukannya semata-mata kerana bimbang harga rumah akan terus meningkat.

Profesor Sr Dr Rohayu Majid, pakar Bidang Harta Tanah di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam menegaskan,  pembeli perlu memahami kos pemilikan sebenar sebelum membuat komitmen kewangan yang boleh berlanjutan selama puluhan tahun.

Menurut beliau, harga rumah dipengaruhi pelbagai faktor termasuk lokasi, kos pembinaan, kadar pembiayaan, pendapatan isi rumah, permintaan pasaran dan keadaan ekonomi negara.

Jika harga rumah meningkat lebih pantas daripada pendapatan, golongan pembeli akan berhadapan kesukaran untuk memiliki kediaman yang sesuai dengan kemampuan mereka.

“Jangan membeli rumah hanya kerana takut harga akan meningkat. Beli apabila keperluan, kemampuan kewangan dan perancangan hidup benar-benar selari. Setiap pilihan perlu mempunyai strategi,” katanya.

Profesor Sr Dr Rohayu Majid

Bagi mereka yang baru bekerja, Rohayu menyarankan supaya kestabilan pendapatan, komitmen bulanan, simpanan dan kesesuaian lokasi dinilai terlebih dahulu.

Selain ansuran pinjaman, pembeli perlu mengambil kira kos guaman, duti setem, insurans atau takaful pembiayaan, cukai berkaitan, yuran penyelenggaraan, pembaikan serta perbelanjaan perjalanan ke tempat kerja.

Beliau mengingatkan bahawa kelulusan pinjaman bank tidak semestinya bermakna seseorang benar-benar mampu menanggung semua komitmen tersebut dalam jangka panjang.

“Rumah boleh menjadi aset dari sudut pemilikan tetapi pada masa yang sama menjadi beban aliran tunai sekiranya kosnya melebihi kemampuan pemilik,” jelasnya.

Dalam keadaan tertentu, menyewa buat sementara waktu juga boleh menjadi pilihan yang rasional, terutama bagi individu yang masih membina simpanan, kerjaya dan kestabilan kewangan.

Tegasnya, prestasi harta tanah berbeza mengikut lokasi, jenis harta tanah, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, keadaan bangunan dan permintaan sebenar.

“Kawasan yang mempunyai akses pengangkutan awam serta peluang pekerjaan mungkin menarik lebih ramai pembeli. Sebaliknya, kawasan yang mengalami lebihan penawaran atau kekurangan permintaan boleh menghadapi kesukaran mengekalkan harga dan kadar sewaan,” ujarnya.

Bagi harta tanah pelaburan pula,  pemilik turut berdepan risiko rumah tidak mendapat penyewa, kos penyelenggaraan meningkat atau hartanah mengambil masa untuk dijual.

“Sebagai contoh, kenaikan harga rumah daripada RM400,000 kepada RM450,000 memberikan perbezaan harga RM50,000 namun jumlah itu belum mengambil kira kos pembiayaan, penyelenggaraan, cukai dan transaksi.

“Justeru, keuntungan sebenar perlu dinilai berdasarkan keseluruhan kos pemilikan, pendapatan sewa bersih dan risiko sepanjang tempoh pegangan,” jelasnya.

Menurut Rohayu, lokasi merupakan antara faktor penting yang menentukan nilai dan kebolehpasaran harta tanah bagaimana pun lokasi yang baik bukan semata-mata bermaksud berada di tengah bandar.

Akses ke tempat kerja, sekolah, kemudahan kesihatan, pengangkutan awam dan perkhidmatan harian turut mempengaruhi kesesuaian sesebuah kediaman.

Pembeli juga perlu meneliti faktor seperti kesesakan lalu lintas, banjir, pencemaran, bunyi bising dan keselamatan persekitaran.

Bagi membuat penilaian awal, orang awam disarankan membandingkan harga transaksi harta tanah yang serupa, bukan hanya harga iklan semata-mata. Keadaan fizikal bangunan, keluasan, kemudahan, kos penyelenggaraan dan potensi sewaan juga perlu dinilai.

Beliau turut menekankan bahawa masalah perumahan bukan hanya berkaitan jumlah rumah yang dibina tetapi juga ketidakpadanan antara harga, lokasi dan keperluan pembeli.

“Kejayaan sektor perumahan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah unit yang dibina semata-mata sebaliknya sejauh mana rumah tersebut memenuhi keperluan dan kemampuan kumpulan sasaran,” ujarnya.

Berasal dari Kedah, Rohayu, memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Harta Tanah dari Universiti Malaya. Beliau merupakan anak sulung daripada empat beradik perempuan dan telah berkahwin dengan Sr Dr Rosli Said sejak 26 Mei 2001 yang juga dalam industri harta tanah. Pasangan ini  dikurniakan empat orang cahayamata.

Profesor Sr Dr Rohayu do samping suami dan empat cahayata mata.

Selain bidang akademik dan kepakaran harta tanah, Rohayu turut aktif menghasilkan bahan penerbitan.  Sebanyak 25 penerbitan melalui KeBDA Publication dan lapan melalui Rosayu Publication. Antara rajuk e-buku beliau, Penyelidikan Pasaran Hartanah, Data & Parameter Diari Kecemerlangan Sebuh Penyelidikan. Hasil penulisan beliau  boleh diakses melalui laman web www.kebda.org dan www.rohayumajid.com.

 

Tambahnya, keputusan membeli rumah yang baik perlu mengimbangi tiga perkara utama, iaitu kemampuan kewangan, nilai harta tanah dan kualiti kehidupan.

“Rumah yang sesuai bukan semestinya paling mahal, paling besar atau paling cepat meningkat harganya. Sebaliknya, rumah yang tepat ialah rumah yang mampu ditanggung, memenuhi keperluan penghuni dan mempunyai nilai serta potensi pasaran yang munasabah,” katanya.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan