Wednesday, November 4, 2026

USIA BUKAN PENGHALANG, KASIH IBU JADI KEKUATAN

Share

  -Pengalaman membesarkan sembilan anak, menjaga ibu yang menghidap demensia menjadi inspirasi Dr. Zubaidah berkongsi pengalaman.

SINGAPURA_ Usia bukan alasan untuk berhenti belajar apatah lagi apabila ilmu yang dimiliki boleh dimanfaatkan untuk membantu orang lain.

Itulah pegangan Dr. Zubaidah Zainal Abidin, 65, wanita kelahiran Singapura yang membuktikan bahawa tanggungjawab sebagai ibu, anak dan anggota masyarakat tidak seharusnya memadamkan semangat seseorang untuk terus berkembang.

Pemegang ijazah dalam Pengajian Islam itu kini aktif menjalankan khidmat kaunseling dan bimbingan secara bebas selain berkongsi ilmu berkaitan kekeluargaan, pembangunan diri serta penjagaan warga emas.

Bagi Dr. Zubaidah, perjalanan hidupnya bukan sekadar tentang membesarkan sembilan orang anak bersama arwah suami, Kamarudin Mohd Idris tetapi turut mengajar erti kerjasama, pengorbanan dan kekuatan untuk menghadapi ujian kehidupan.

Katanya, sokongan arwah suami menjadi antara faktor penting yang mendorong beliau mengimbangi urusan keluarga dengan hasrat menyambung pengajian.

“Arwah suami banyak membantu menguruskan anak-anak. Kami merupakan satu pasukan yang kuat malah apabila saya menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian, beliau sangat menggalakkan.

“Bagi saya, apabila tanggungjawab bertambah, kreativiti dalam menguruskan keluarga juga perlu meningkat,” katanya.

Menurutnya, usia akan terus meningkat namun peluang untuk memperbaiki diri sentiasa terbuka selagi seseorang mempunyai niat dan kesungguhan untuk meneruskan pengajian.

Beliau berharap lebih ramai wanita, khususnya golongan ibu, berani menyambung pengajian dan menambah ilmu walaupun berhadapan dengan pelbagai komitmen keluarga.

“Ilmu adalah penyuluh jalan, bukan sahaja untuk kehidupan di dunia tetapi juga di akhirat nanti,” ujarnya.

Antara pengalaman paling mencabar dalam hidup Zubaidah apabila beliau mula menjaga ibunya,  Zaiton Amir Khan Suratte ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

Ibunya yang berusia 84 tahun ketika itu mengalami demensia, iaitu keadaan yang boleh menjejaskan ingatan, pemikiran dan keupayaan seseorang menjalani kehidupan seharian.

Baginya, perubahan keadaan ibu bukan sesuatu yang mudah diterima lebih-lebih lagi apabila insan yang selama ini cukup dikenalinya mula menunjukkan perubahan tingkah laku.

Beliau bersama adik-beradik mengadakan perbincangan bagi memastikan urusan penjagaan ibu dapat dilakukan dengan teratur termasuk menetapkan peranan masing-masing dan mendapatkan bantuan penjaga yang sesuai.

Dalam usaha memahami keadaan ibunya, beliau turut mengikuti kursus berkaitan demensia serta mempelajari cara mengurus emosi sebagai penjaga atau caregiver.

Pengalaman itu kemudiannya mendorong wanita cekal ini meningkatkan pengetahuan sehingga ke peringkat menjadi jurulatih, selain berkongsi maklumat dan pengalaman secara sukarela dengan beberapa komuniti di Singapura.

“Sebagai penjaga, emosi kita boleh terganggu apabila orang tersayang berubah daripada diri mereka yang kita kenali selama ini. Ada masanya saya tertanya-tanya, betulkah ini ibuku?

“Sebab itu, penjaga tidak perlu malu untuk meminta bantuan. Carilah pusat yang boleh memberikan panduan supaya kita lebih memahami cara menjaga orang tersayang,” jelasnya.

Pengalaman tersebut turut menjadi inspirasi kepada penghasilan e-buku Tips Menjaga Ibu, yang diusahakan bersama adik bongsunya sebagai perkongsian pengalaman dan panduan buat mereka yang melalui situasi yang sama.

Menurut Dr.Zubaidah, sokongan ahli keluarga amat penting untuk memastikan urusan penjagaan tidak menimbulkan konflik sebaliknya memberi ruang kepada setiap individu memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau juga mengingatkan bahawa penjaga perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental sendiri supaya dapat memberikan perhatian yang baik kepada orang lain.

“Apabila menjaga diri sendiri, kita mempunyai tenaga dan emosi yang lebih baik untuk menyantuni orang tersayang,” jelasnya.

Selain aktif dalam bidang kaunseling dan bimbingan, Dr. Zubaidah turut mendalami Psikologi Islam, kaunseling serta pendekatan pembangunan diri seperti Neuro-Linguistic Programming (NLP) dan Creative Trauma Cleansing (CTC).

Baginya, ilmu perlu difahami dan disesuaikan dengan keperluan individu serta keadaan yang dihadapi terutama melalui nilai Islam sebagai panduan kehidupan.

Beliau turut menjadikan pengalaman sendiri sebagai sumber inspirasi dalam penulisan, termasuk karya Umi Oh Umi, Riau Musafir Ku dan 10 Tips to be a Great Speaker.

Melalui karya-karya tersebut, Zubaidah berharap pembaca dapat mengambil iktibar, melakukan muhasabah diri dan memahami bahawa setiap ujian memerlukan kesabaran, usaha serta kesediaan untuk terus memperbaiki diri.

Minatnya membantu masyarakat pula bermula sejak usia muda. Dilahirkan dalam keluarga yang hidup susah, beliau dibesarkan oleh seorang ibu yang sentiasa mengutamakan golongan memerlukan walaupun keluarga mereka sendiri mempunyai keterbatasan.

Zubaidah masih mengingati bagaimana ibunya akan memastikan orang lain mendapat makanan sebelum dirinya sendiri menjamah hidangan.

“Saya masih ingat apabila menyediakan makanan untuk ibu, beliau akan bertanya sama ada saya sudah makan. Kalau belum, ibu akan mengingatkan supaya jangan menunggu sehingga lapar.

“Beliau juga selalu menyuapkan orang lain makan sebelum dirinya sendiri,” katanya mengenang insan yang banyak membentuk nilai kehidupannya.

Didikan itulah yang secara tidak langsung menanam sifat prihatin dalam dirinya. Seawal usia 15 tahun, Zubaidah sudah mengikuti aktiviti sebuah pusat khidmat keluarga di kawasan perumahan bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan sokongan mental dan emosi.

Penglibatannya dalam kerja kemasyarakatan kemudian berkembang kepada usaha membantu golongan kurang upaya, anak yatim dan komuniti yang memerlukan.

Dalam era digital, beliau turut memilih platform e-buku untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan lebih mudah dan meluas.

Menurutnya, penggunaan platform digital seperti MSGA membuka peluang kepadanya  menguruskan penerbitan serta perkongsian karya dengan lebih praktikal, selari dengan perkembangan ke arah masyarakat digital.

Pengalaman sebagai ibu kepada sembilan anak kemudian berperanan sebagai anak yang menjaga ibu dan tidak berhenti menyambung pengajian telah mengajarnya bahawa kejayaan dalam kehidupan tidak bergantung kepada usaha sendiri semata-mata.

Sebaliknya, sokongan keluarga, persekitaran yang baik serta peluang mendapatkan ilmu turut memainkan peranan penting dalam membentuk kekuatan seseorang.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat memahami cabaran yang dihadapi oleh penjaga warga emas dan ahli keluarga yang sakit termasuk keperluan memberikan sokongan emosi serta bantuan praktikal.

“Hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia perlu dijaga kerana dari situlah lahirnya kasih sayang. Dalam masa yang sama, kita perlu sentiasa membaca, menulis dan belajar. Jangan berhenti memperbaiki diri hanya kerana usia semakin meningkat,” tegasnya.

Perjalanan Zubaidah menjadi bukti bahawa usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Sebaliknya pengalaman hidup, kasih seorang ibu dan kesungguhan menuntut ilmu boleh menjadi kekuatan untuk membantu orang lain menghadapi cabaran hidup.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkongsian dan penerbitan beliau, orang ramai boleh melayari www.chahayasafa.org dan www.umizubai.com.

Berita Lain..

Berita Tempatan