-Dr Ainon Mohd Mokhtar – rawat pesakit reumatik dan aktif berkongsi ilmu melalui 28 buku dan e-buku untuk meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat.
KUALA LUMPUR_ Sakit sendi, badan lenguh atau kekakuan ketika bangun pagi sering dianggap perkara biasa terutama apabila usia semakin meningkat.
Bagaimana pun gejala berkenaan tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh menjadi petanda penyakit reumatik termasuk penyakit autoimun yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan bersesuaian.
Pakar Perunding Perubatan dan Reumatologi, Ara Damansara Medical Centre, Dr. Ainon Mohd Mokhtar berkata, penyakit reumatologi bukan sekadar melibatkan masalah sendi, sebaliknya turut merangkumi keradangan serta gangguan yang boleh menjejaskan otot, tendon, tisu lembut dan organ dalaman.

Dr. Ainon Mohd Mokhtar
Menurutnya, antara penyakit yang kerap ditemui dalam bidang berkenaan ialah gout, rheumatoid arthritis (RA), osteoarthritis, psoriatic arthritis dan systemic lupus erythematosus (SLE) atau lupus.
“Tidak semua penyakit reumatologi bermula dengan sakit sendi. Ada pesakit mengalami ruam merah pada kulit, ulser mulut, sensitif terhadap cahaya matahari atau masalah yang melibatkan organ seperti buah pinggang, sistem darah dan saraf.
“Sebab itu, masyarakat tidak seharusnya menganggap semua sakit sendi berpunca daripada faktor usia semata-mata,” katanya.
Dr.Ainon ketika memberi ceramah kesedaran tentang arthritis dalam Public Forum anjuran bersama Ara Damansara Medical Centre (ADMC) dan Arthritis Foundation Malaysia (AFM) yang berlangsung di ADMC pada Julai lalu.
Dr. Ainon bersama EXCO member Arthritis Foundation Malaysia (AFM)
Bersama pakar-pakar perunding Rheumatologi yang terlibat sebagai tenaga pengajar dan pemeriksa dalam salah satu musculoskeletal ultrasound workshop anjuran Malaysian Society of Rheumatology -Targeted Initiative Ultrasound ( MSR-TUI)
Dr Ainon menjelaskan, gout berlaku akibat pengumpulan kristal urat yang mencetuskan keradangan sendi, manakala RA ialah penyakit autoimun yang boleh menyebabkan kesakitan dan pembengkakan, lazimnya melibatkan beberapa sendi termasuk pergelangan tangan dan jari.
Lupus pula boleh menyebabkan pelbagai gejala, antaranya sakit sendi, ruam pada pipi, sensitif terhadap cahaya matahari, ulser mulut dan demam berpanjangan. Dalam keadaan tertentu, penyakit itu turut menjejaskan organ dalaman.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya mengalami sakit atau bengkak sendi berpanjangan, kekakuan pada waktu pagi atau kesakitan yang mengganggu pergerakan dan aktiviti harian.
Seiring perkembangan teknologi perubatan, penggunaan Musculoskeletal Ultrasound (MSUS) membantu pakar reumatologi menilai keadaan sendi, tendon, otot dan tisu sekeliling dengan lebih terperinci.
Menurut Dr. Ainon, teknologi tersebut boleh membantu mengenal pasti keradangan aktif, menilai komplikasi akibat arthritis serta menyokong proses diagnosis dan prosedur suntikan sendi.
Dr Ainon ketika mengendalikan dan menjadi tenaga pengajar untuk musculoskeletal ultrasound workshop
“Ultrasound ibarat stetoskop bagi pakar reumatologi. Jika stetoskop membantu mendengar sesuatu yang tidak dapat didengar oleh telinga, ultrasound pula membantu melihat struktur sendi dan tisu sekeliling yang tidak dapat dinilai dengan jelas melalui pemeriksaan luaran sahaja,” jelasnya.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi berkenaan memerlukan latihan dan kemahiran khusus bagi memastikan imej ditafsirkan dengan tepat.
Sebagai pengerusi Targeted Ultrasound Initiative (TUI) di bawah Malaysian Society of Rheumatology (MSR), Dr Ainon turut terlibat dalam latihan ultrasound untuk pakar reumatologi.
Beliau berkata, perkembangan rawatan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lalu telah membuka lebih banyak pilihan kepada pesakit penyakit reumatik.
Penggunaan ubat Disease-Modifying Anti-Rheumatic Drugs (DMARDs) pada peringkat lebih awal, terapi bersasar dan terapi biologi bagi pesakit yang sesuai membantu mengawal penyakit serta mengurangkan risiko kerosakan dan kecacatan sendi.
Selain merawat pesakit, Dr Ainon turut terlibat dalam latihan dan pembangunan generasi baharu pakar reumatologi di Malaysia. Latihan subkepakaran merangkumi pengenalpastian penyakit, rawatan asas dan lanjutan serta prosedur tertentu termasuk suntikan sendi dengan bantuan ultrasound.
Menurutnya, kerjasama pakar dari hospital kerajaan, swasta dan universiti penting untuk memperkukuh perkongsian ilmu, penyelidikan dan perkembangan rawatan terkini. MSR turut menganjurkan kursus, bengkel, seminar, webinar dan persidangan bagi menyokong pembangunan profesional dalam bidang tersebut.
Berasal dari Taiping, Perak, Dr Ainon mempunyai kelayakan Membership of the Royal Colleges of Physicians of the United Kingdom (MRCP UK) serta Fellowship in Rheumatology Malaysia.
Di sebalik komitmen dalam bidang klinikal dan latihan profesional, beliau turut aktif dalam dunia penulisan dan gemar mengembara. Setakat ini, Dr. Ainon telah menghasilkan sebanyak 28 buku dan e-buku.


Dua karya Dr Ainon yag boleh didapati di kedai buku digital miliknya.
Jelasnya, penulisan bukan sesuatu yang asing bagi seorang doktor kerana perkongsian ilmu perubatan boleh dilakukan melalui artikel ilmiah, laporan kes serta bahan bacaan untuk orang awam.
“Doktor juga boleh berkongsi ilmu tentang sesuatu penyakit, tanda-tanda yang perlu diperhatikan dan rawatan yang sesuai dalam bahasa yang mudah difahami masyarakat. E-buku merupakan salah satu wadah untuk menyampaikan maklumat tersebut.
“Seorang doktor tidak semestinya hanya menulis tentang perubatan. Kita juga boleh berkongsi pengalaman hidup, cabaran dalam kerjaya dan kisah yang mungkin memberi inspirasi kepada anak-anak yang bercita-cita menjadi doktor,” katanya yang memiliki kedai buku digital www.drenon.biz.
Menurutnya, maklumat kesihatan yang disampaikan melalui penulisan santai, termasuk kisah pengalaman doktor dan pesakit, boleh membantu masyarakat memahami sesuatu penyakit dengan lebih dekat.
Minat mengembara pula memberinya peluang melihat budaya, keindahan alam semula jadi ciptaan Allah dan pengalaman baharu yang boleh dijadikan inspirasi penulisan.


Dr. Ainon ketika berpeluang ke Inner Mongolia, China dan merakam kenangan di Wave Valley, Yulin,.
Beliau turut menyifatkan penulisan sebagai satu bentuk terapi peribadi yang membuka ruang rehat seketika daripada rutin kerja dan meneroka sisi kreativiti di luar bidang perubatan.
Tambahnya, perkongsian ilmu melalui buku dan e-buku melengkapkan peranannya sebagai doktor dengan membawa maklumat kesihatan keluar dari bilik konsultasi kepada masyarakat yang lebih luas.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai karya dan penerbitan beliau boleh melayari www.drenon.biz.
Dr. Ainon mengingatkan masyarakat supaya tidak menangguhkan pemeriksaan jika mengalami sakit atau bengkak sendi berpanjangan, kekakuan pada waktu pagi atau gejala lain seperti ruam, ulser mulut dan demam berterusan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat serta sokongan berkaitan arthritis juga boleh merujuk Arthritis Foundation Malaysia (AFM) menerusi laman web www.afm.org.my.