Wednesday, November 4, 2026

DR.SAHLAWATI MAHU DEKATKAN ILMU AL-QURAN DENGAN MASYARAKAT MELALUI E-BUKU.

Share

-Ilmu akademik bukan sekadar untuk diterbitkan dalam jurnal tetapi perlu dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

SHAH ALAM_Pensyarah Kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor (UIS), Dr. Sahlawati Abu Bakar,  percaya,  ilmu yang bernilai bukan hanya ilmu yang menghasilkan penerbitan akademik tetapi ilmu yang mampu memberi kefahaman, membentuk pemikiran dan membawa perubahan dalam kehidupan.

Dr. Sahlawati yang dilahirkan di Kuala Lumpur mempunyai kelulusan dalam bidang Pengajian al-Quran dan al-Sunnah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kini turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Geran Penyelidikan UIS.

Dr. Sahlawati Abu Bakar

Menurut beliau, perjalanan dalam bidang Pengajian al-Quran dan al-Sunnah bermula daripada minat untuk memahami al-Quran dengan lebih mendalam, bukan sekadar membaca dan mengetahui maksud ayat tetapi memahami bagaimana mesejnya dapat dihubungkan dengan kehidupan manusia.

Pengalaman mengajar, menjalankan penyelidikan dan menulis menyedarkan beliau bahawa ilmu bukan sekadar untuk dikuasai, sebaliknya perlu dikembangkan, dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Antara pendekatan yang menjadi fokus penyelidikan dan penulisannya ialah Tafsir Mawdu‘i, iaitu kaedah memahami al-Quran berdasarkan tema atau topik tertentu dengan menghimpunkan serta menganalisis ayat-ayat berkaitan secara menyeluruh.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat memahami panduan al-Quran tentang sesuatu perkara dengan lebih lengkap. Contohnya, apabila ingin memahami kebahagiaan, kekeluargaan atau ketenangan jiwa, kita tidak hanya melihat satu ayat sebaliknya turut meneliti ayat-ayat lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau melihat pendekatan tersebut berupaya menghubungkan mesej al-Quran dengan persoalan kehidupan manusia sekali gus menjadikan ilmu tafsir lebih dekat dan relevan kepada masyarakat tanpa mengabaikan ketepatan serta disiplin keilmuan.

Berpengalaman menghasilkan buku, bab buku, prosiding dan modul, Dr. Sahlawati berpandangan cabaran terbesar dalam menyampaikan ilmu akademik kepada masyarakat umum ialah menggunakan bahasa yang mudah difahami tanpa menghilangkan ketepatan dan nilai ilmiahnya.

Katanya, penulisan akademik lazimnya menggunakan istilah khusus, teori, metodologi dan perbahasan mendalam, sedangkan masyarakat mempunyai latar belakang serta keperluan yang berbeza.

“Memudahkan penyampaian ilmu bukan bermaksud mengurangkan nilai ilmu itu sendiri. Sebaliknya, kita perlu bijak memilih bahasa, contoh dan pendekatan yang sesuai dengan pembaca,” jelasnya.

Beliau menyifatkan penulisan popular dan e-buku sebagai antara medium yang berpotensi merapatkan jurang antara dunia akademik dengan masyarakat, khususnya generasi digital yang dekat dengan telefon pintar, tablet dan platform digital.

Tambahnya,  e-buku bukan penentu tahap keilmuan sesebuah karya kerana mutu kandungan bergantung pada kualiti penulisan dan cara ilmu dipersembahkan.

“Dalam bidang tafsir al-Quran misalnya, sesuatu tema boleh dihuraikan menggunakan bahasa yang lebih mudah, susunan sistematik, infografik menarik dan contoh kehidupan seharian. Namun, ketepatan ayat, hadis, pentafsiran serta sumber rujukan tetap perlu menjadi keutamaan,” ujarnya.

Dr.Sahlawati bersama keluarga yang sentiasa menyokong

Bagi pensyarah dan penyelidik yang ingin menghasilkan buku atau e-buku, Dr. Sahlawati mencadangkan supaya mereka tidak terus memikirkan sebuah buku yang tebal. Sebaliknya, mulakan dengan mengenal pasti ilmu yang sudah dikuasai dan siapa yang boleh mendapat manfaat daripadanya.

Katanya, nota kuliah, slaid pengajaran, hasil penyelidikan dan pengalaman membimbing pelajar boleh dijadikan bahan asas penulisan.

Beliau menyarankan penulis memilih satu topik kecil yang benar-benar dikuasai, menentukan sasaran pembaca dan mengenal pasti persoalan yang ingin dibantu untuk difahami. Kandungan kemudiannya boleh disusun mengikut beberapa subtopik dan ditulis sedikit demi sedikit.

“Kadangkala, sebuah e-buku yang ringkas tetapi mempunyai fokus yang jelas lebih memberi manfaat kepada pembaca daripada idea buku besar yang tidak pernah disiapkan,” ujarnya.

Mendapat sokongan daripada suaminya, Azhar Mohd Aris yang berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)  dan 3 cahayamatanya.

Dr. Sahlawati bersama sebahagian pelajarnya.

Beliau turut percaya hampir semua ilmu mempunyai potensi untuk dikembangkan menjadi buku atau e-buku. Perkara penting ialah melihat kepakaran daripada perspektif pembaca serta menghubungkannya dengan persoalan dan masalah yang dihadapi masyarakat.

Dr. Sahlawati berpendapat tesis PhD dan hasil penyelidikan boleh diolah menjadi e-buku yang lebih mudah difahami masyarakat umum tanpa menjejaskan integriti ilmiahnya.

Bagaimanapun, proses itu bukan sekadar meringkaskan tesis atau membuang bahagian metodologi, sebaliknya memerlukan kandungan disusun semula berdasarkan keperluan pembaca sasaran.

Dapatan utama boleh dipilih, diterangkan menggunakan bahasa yang lebih mudah dan disertakan contoh kehidupan. Pada masa sama, fakta tidak boleh diubah, sumber perlu dinyatakan dan kesimpulan tidak boleh melampaui bukti kajian.

Beliau turut menekankan kepentingan gaya bahasa yang jelas, struktur kandungan yang tersusun, visual bersesuaian serta soalan refleksi yang membantu pembaca menghubungkan ilmu dengan pengalaman sendiri.

“Menulis secara ilmiah tidak semestinya menggunakan bahasa yang sukar. Kita boleh menyampaikan ilmu yang mendalam melalui ayat yang ringkas, penerangan yang jelas dan contoh yang dekat dengan kehidupan seharian,” katanya.

Jika berpeluang menghimpunkan pengalamannya sebagai pensyarah, penyelidik dan penulis dalam sebuah e-buku, Dr. Sahlawati memilih tajuk Dari Ilmu kepada Hikmah: Sebuah Perjalanan Memahami dan Memaknai Kehidupan.

Dr. Sahlawati merakam kenangan bersama muslimat masjid

Menurutnya, perjalanan menuntut ilmu bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan, gelaran atau pengiktirafan. Sebaliknya, ilmu sepatutnya membentuk cara seseorang berfikir, membuat keputusan dan menjalani kehidupan.

Beliau berpesan agar generasi muda tidak hanya mengejar kejayaan akademik semata-mata  tetapi berusaha menjadi insan yang memberi manfaat melalui ilmu yang dimiliki.

Dalam era perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan katanya, memiliki banyak maklumat tidak semestinya menjadikan seseorang berilmu begitu juga jika memiliki ilmu  tidak semestinya menjadikan seseorang itu berhikmah.

Oleh itu, budaya membaca, pemikiran kritis, adab dalam menuntut ilmu dan hubungan ilmu dengan nilai kemanusiaan perlu terus dipupuk.

“Jangan hanya bertanya apa yang saya tahu dan boleh tulis tetapi tanyalah siapa yang memerlukan ilmu saya dan bagaimana ilmu itu boleh memberi manfaat kepada mereka,” katanya yang memiliki kedai buku digital – sahlawatiebookstore.

Berita Lain..

Berita Tempatan