-Jumlah dana terkumpul di bawah Program Sukuk Wakalah ABS Industri Mampan RM2 bilion kini mencecah RM390.5 juta
SELANGOR _ Visionary Heritage Berhad (VHB), entiti khas yang ditaja oleh ISP Holding Sdn Bhd, berjaya menjana RM276.5 juta menerusi tiga siri terbitan Sukuk Wakalah pada Oktober lalu sekali gus memperkukuh pembiayaan aset hartanah industri mampan di Malaysia.
Ketiga-tiga terbitan itu dilaksanakan di bawah Program Sukuk Wakalah Pensekuritian Sokongan Aset (ABS) Industri Mampan bernilai RM2 bilion milik VHB.
Pencapaian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang berjaya dijana di bawah program berkenaan meningkat kepada RM390.5 juta termasuk terbitan sulung Sukuk Wakalah Hijau ASEAN bernilai RM114 juta pada Mei 2025.
Setakat ini, program tersebut telah menyokong pembiayaan empat hartanah industri di Johor dan Selangor.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn Bhd, Datuk Wira Eric Ng berkata, kejayaan melengkapkan tiga terbitan dalam tempoh sebulan mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi sektor hartanah industri serta strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn Bhd, Datuk Wira Eric Ng
“Sejak memperkenalkan program ini, kami komited untuk membuktikan bahawa aset hartanah industri di Malaysia berpotensi mendapatkan pembiayaan mampan pada skala yang lebih besar.
“Kejayaan menyempurnakan tiga terbitan dalam tempoh sebulan dengan nilai keseluruhan melebihi dua kali ganda terbitan sulung. Ia merupakan satu pencapaian penting dan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju serta strategi jangka panjang kami,” katanya.
Tambahnya, aspek kemampanan akan terus menjadi teras strategi pembangunan dan pengembangan portfolio hartanah industri ISP Group di seluruh negara.
“Kami akan terus mempergiat usaha mendapatkan pensijilan bangunan hijau bagi hartanah di bawah program ini selaras dengan komitmen untuk mengembangkan portfolio hartanah industri yang lebih mampan,” katanya.
Hasil daripada tiga terbitan terbaharu itu digunakan bagi membiayai pemerolehan tiga hartanah industri, masing-masing di Iskandar Puteri, Johor , Shah Alam dan Petaling Jaya, Selangor.
Hartanah di Iskandar Puteri telah memperoleh pensijilan GreenRE Bronze manakala proses penilaian bagi mendapatkan pensijilan bangunan hijau untuk hartanah di Shah Alam dan Petaling Jaya sedang dilaksanakan.
Dari aspek penarafan kemampanan, Kerangka Sukuk Cagaran Hijau bagi program berkenaan telah memperoleh Penarafan Pembiayaan Mampan Perak daripada RAM Sustainability.
Pendedahan program tersebut dinilai selaras dengan Kerangka Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Piawaian Bon Hijau ASEAN serta Prinsip Bon Hijau yang diterbitkan oleh International Capital Market Association (ICMA).
ISP Holding Sdn Bhd merupakan penaja program berkenaan manakala CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama Tunggal, Penyusun Utama Tunggal bagi program serta Pengurus Utama Tunggal bagi terbitan tersebut.
Tranche kanan bagi terbitan berkenaan pula telah dilanggan oleh Public Islamic Bank Berhad.