-Aida Hj Ismail pastikan usahawan bersedia fizikal dan mental sebelum melangkah jauh.
KUALA LUMPUR_Mendapatkan kontrak perniagaan, khususnya daripada kerajaan dan syarikat korporat, sememangnya menjadi impian ramai usahawan. Bagaimana pun memiliki produk yang baik dan lesen berkaitan sahaja tidak menjamin sesebuah syarikat mampu merebut peluang apatah lagi melaksanakan kontrak dengan jayanya.
Bagi Pengarah Urusan AIDAQ Services Corp Sdn. Bhd, Aida Hj Ismail, perkara paling penting ialah memastikan usahawan mempunyai persediaan perniagaan yang kukuh sebelum melangkah lebih jauh.
Beliau yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata, ramai usahawan sebenarnya mempunyai produk dan perkhidmatan berkualiti tetapi masih berdepan kekangan dari segi pengurusan, dokumentasi, modal kerja, aliran tunai serta pemahaman terhadap proses perolehan.

Aida Hj Ismail
“Ramai yang terlalu fokus kepada cara mendapatkan kontrak sehingga terlupa bertanya kepada diri sendiri, kalau kontrak itu diperolehi, adakah syarikat kita benar-benar bersedia untuk melaksanakannya?
“Pendaftaran membuka akses kepada sesuatu pasaran namun akses tidak sama dengan strategi. Usahawan perlu memahami siapa pembelinya, apa yang diperlukan dan bagaimana mereka boleh membuktikan kemampuan melaksanakan kontrak,” katanya.
Berdasarkan pengalaman berhadapan dengan usahawan dan pembekal, Aida membangunkan pendekatan latihan yang bukan sekadar memberi pengetahuan teori sebaliknya membantu peserta mengenal pasti kedudukan sebenar perniagaan masing-masing.
Menerusi program RTES™ (Road To ePerolehan Success – Strategi Tembusi Pasaran Kerajaan & Swasta), AIDAQ membantu usahawan khususnya usahawan SME memahami pasaran perolehan kerajaan, mengenal pasti pembeli sasaran, menilai keupayaan syarikat serta merancang tindakan yang bersesuaian untuk merebut peluang perniagaan.
Menurutnya, mendapatkan kontrak hanyalah sebahagian daripada proses perjalanan kerana syarikat turut perlu mengurus kos, pembekal, penghantaran, dokumentasi dan aliran tunai bagi memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.
“Ilmu perolehan serta pengurusan kontrak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keupayaan perniagaan dan bukan sekadar proses mendapatkan projek,” jelasnya.
AIDAQ yang memfokuskan pembangunan manusia dan pengukuhan perniagaan melalui latihan, konsultansi serta perkongsian ilmu berasaskan pengalaman sebenar turut memperluaskan perkhidmatannya kepada pelbagai bidang lain.
Antaranya termasuk pembangunan sumber manusia, pengurusan prestasi, jualan dan pemasaran, pematuhan, kepimpinan, produktiviti serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi kerja.
Melalui Training Solution Provider AIDAQ (TSP AIDAQ) dan rangkaian komuniti Xpertrainer Malaysia, syarikat itu menghimpunkan tenaga pengajar serta pakar industri mengikut bidang kepakaran bagi memenuhi keperluan organisasi.

Bersama pasukan Xpertrainer Malaysia
Aida berkata, pendekatan tersebut mendorong pihaknya mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh sesebuah organisasi terlebih dahulu sebelum mencadangkan latihan atau intervensi yang sesuai.
“Bukan semua masalah organisasi boleh diselesaikan dengan menghantar pekerja menghadiri kursus. Latihan hanya bernilai apabila ilmu yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada perubahan dalam pekerjaan dan perniagaan.
“Saya tidak mahu peserta pulang dengan nota yang tebal sahaja. Saya mahu mereka tahu apa yang perlu dilakukan dengan lebih baik selepas menghadiri latihan,” katanya.

Aida Hj Ismail bersama kumpulan AIDAQ Services Corp Sdn. Bhd
Mengulas perkembangan teknologi, beliau berpendapat usahawan dan tenaga kerja perlu menguasai kemahiran digital serta memahami cara memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti.
Bagaimanapun katanya, penggunaan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemikiran kritis, kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kebolehan membuat keputusan.
“AI boleh mempercepatkan kerja tetapi manusia masih bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat,” ujarnya.
Selain program latihan dan konsultansi, AIDAQ turut memberi perhatian kepada pembangunan komuniti alumni supaya peserta mempunyai ruang untuk bertanya, berkongsi pengalaman dan mendapatkan pandangan selepas mengikuti program.
Bagi Aida, impak sebenar tidak hanya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan tetapi juga perubahan yang berlaku apabila peserta mula mengaplikasikan ilmu, membawa kakitangan untuk mengikuti latihan atau memperkenalkan program kepada rakan perniagaan.
Beliau mahu pengalaman dan pengetahuan yang dikongsi dapat membantu lebih ramai usahawan membuat keputusan dengan lebih baik serta mengelakkan kesilapan yang sama.
Dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang, Aida menyasarkan AIDAQ berkembang sebagai sebuah ekosistem ilmu perniagaan yang menghubungkan usahawan, majikan, pekerja, tenaga pengajar dan pakar industri.
Usaha itu turut merangkumi pengukuhan TSP AIDAQ, peluasan program RTES™, pembangunan kandungan digital, e-buku dan Kota Ilmu AIDAQ agar perkongsian ilmu dapat diperluaskan melangkaui bilik latihan.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, Aida turut menghasilkan dua e-buku dan berjudul Bisnes Pukal: 5 Panduan Asas Kuasai Pasaran Kerajaan dan Dari Bank Ke Tapak Projek. Bahan digital e-buku berkenaan boleh diterokai menerusi platform www.aidaqacademy.net.

Dua karya e-buku Aida Hj Ismail
Bagi Aida, matlamat akhirnya bukan sekadar membantu syarikat memperoleh lebih banyak peluang perniagaan tetapi membina perniagaan yang sihat, menguntungkan dan mampan.
“Apabila perniagaan menjadi lebih kukuh, mereka mampu menyediakan pekerjaan, membayar pembekal, membayar cukai, menunaikan zakat apabila layak dan memberi manfaat kembali kepada masyarakat.
“Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau kini lebih diperluaskan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bukan hanya tentang kejayaan seorang usahawan. PMKS yang kukuh turut menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara. Itulah legasi yang sedang dibina oleh team AIDAQ, ” katanya.