-Selepas Berjaya Menawan 9 Buah Negara Luar.
KUALA LUMPUR_ Usahawan produk tempatan mahu hubungan e-dagang rentas sempadan ke negara maju terus diperkukuh supaya lebih banyak ruang kepada produk lain menembusi pasaran negara terbabit pada masa akan datang.
Pengarah Callabio Manufacturing Dr. Shahir Suhaimi berkata, sokongan agensi kerajaan seperti MARA sangat membantu merealisasikan langkah tersebut bagi memastikan produk yang dieksport berkualiti dan setaraf dengan jenama besar yang menguasai pasaran.
Dr. Shahir berkata demikian selepas perasmian Pelepasan Penghantaran Kontena Produk Bariistar Pertama ke Amerika Syarikat di sini hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA, Mimi Mazlin Mohamad Yusof. Hadir sama Pengarah Pejabat MARA Negeri Wilayah Persekutuan, Syed Saifuddin Syed Ahmad, pegawai dan kakitangan MARA, wakil USA, rakan strategik, pihak media serta warga kerja Callabio Manufacturing.


Dr. Shahir menegaskan, di bawah seliaan MATRADE yang dibawakan oleh MARA, produknya telah menyertai pameran peringkat dunia antaranya ke Dubai, China, Indonesia, Korea dan Jepun.
“Melalui pameran tersebut, syarikat berjaya menjalin hubungan dagang pasaran ke sembilan buah negara iaitu Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Poland, Jerman, United Kingdom, Thailand, Perancis, China dan Brunei dan telah mencapai sasaran jualan sebanyak RM30 juta tahun ini,” katanya
Bagi pasaran USA iaitu pasaran global yang ke-10, Callabio memeterai kontrak kerjasama selama lima tahun dengan rakan pengedar melalui sasaran produk dieksport sebanyak 500,000 botol dengan pulangan RM7 juta setahun.
“Jumlah eksport akan ditingkatkan secara berperingkat mengikut permintaan, antara kawasan metropolitan yang menjadi sasaran ialah Detroit, New York City, Chicago, Phoenix, San Francisco Bay Area, Philadelphia, Dallas dan Seattle.
Peluang menembusi pasaran USA katanya melalui penyertaan Bariistar dalam Gulfood Dubai 2026 pada awal tahun ini.
“Berdasarkan pengalaman tersebut, syarikat melihat kepentingan sokongan berterusan agensi terbabit dan usahawan pula perlu merebut peluang,” katanya yang tersenarai dalam kumpulan syarikat Gate To Global (GTG) di bawah pantauan MARA.
Di majlis tersebut sebanyak 16,800 botol sirap Bariistar bernilai RM840,000 dieskport menerusi M&C Barista Supply Company yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Bariistar di USA.
“Kejayaan ini bukan berlaku dalam masa singkat sebaliknya hasil perjalanan yang dibina sejak diperkenalkan pada 2021. Sejujurnya Bariistar bermula dengan pasaran tempatan namun produk sengit bersaing dengan jenama besar dan kami beralih sedikit demi sedikit ke pasaran luar negara.
“Sangat mengujakan kerana produk diterima baik di negara luar kerana kepelbagaian perisanya temasuk sirap cendol dan sirap onde-ode,” ujarnya.

Tambahnya, peluang untuk membawa Bariistar ke pasaran Amerika Syarikat bermula daripada satu pertemuan ketika menyertai Gulfood Dubai 2026 pada Januari lalu.
“Untuk pasaran USA, sebanyak 17 perisa dieksport antaranya karamel, vanila, strawberi, oren, hazelnut, mangga dan pistachio. Produk berkenaan akan dipasarkan ke rangkaian kedai kopi melalui rakan pengedar yang mempunyai lebih 2,000 kafe.
“Jumlah dijangka meningkat kerana permintaan bertambah di kalangan premis Makanan dan Minuman (F&B) di sana,” katanya.
Pensijilan Halal Malaysia dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) katanya turut menjadi antara nilai tambah yang mendapat perhatian dalam pasaran eksport. Semakin banyak pelanggan dan rakan niaga antarabangsa melihat aspek pematuhan dan jaminan kualiti dalam memilih produk makanan dan minuman.
Selain itu, semua formula dan pembangunan produk dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat sendiri, membolehkan Callabio menghasilkan produk mengikut keperluan pasaran dan permintaan pelanggan.
“Kami mempunyai pasukan seramai 27 kakitangan yang bekerja bersama dari aspek R&D, pengeluaran, kawalan kualiti, pembungkusan dan pemasaran. Semua ini penting bagi memastikan produk yang keluar bukan sahaja konsisten tetapi memenuhi keperluan pasaran eksport.
Selain sirap, Callabio turut merancang memperluaskan rangkaian Bariistar kepada kategori produk lain termasuk sos, minuman serbuk dan puri, seiring dengan permintaan pasaran serta strategi syarikat untuk membina Bariistar sebagai jenama F&B Malaysia yang mempunyai rangkaian produk lebih luas.
Tambahnya melalui penyertaan pertama kali pada 2023, Malaysia Batam International Exhibition anjuran MARA telah membuka peluang kepada syarikat meneroka pasaran Indonesia seterusnya membawa kepada penubuhan syarikat di Jakarta pada tahun sama.

Perjalanan antarabangsa Bariistar kemudian diperkukuhkan melalui penyertaan dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024 dan dianugerahkan sebagai Malaysia Small-Medium Enterprise Excellence Award 2024 di bawah kategori MSMEs.
Kemudahan Callabio Manufacturing mempunyai sistem dan pensijilan termasuk Halal JAKIM, HACCP, GMP dan MeSTI, serta berstatus U.S. FDA Registered Facility antara pendorong syarikat ini semakin kukuh.
“Kami mahu membuktikan bahawa produk F&B keluaran usahawan Bumiputera Malaysia mempunyai kualiti, pematuhan dan daya saing untuk memasuki pasaran global,” katanya.