Sunday, August 23, 2026

TECHNOMART MALAYSIA: HIGH TECH FINANCING 2026

Share

– PERKUKUH EKOSISTEM PEMBIAYAAN INOVASI NEGARA

PETALING JAYA, 27 Julai 2026 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi-agensinya bersama rakan strategik sektor kewangan telah menganjurkan TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 di Menara MBSB Bank, yang bertindak sebagai tuan rumah serta rakan strategik sektor kewangan bagi program ini.

Program berkenaan menghimpunkan penggubal dasar, institusi kewangan, pelabur, pembangun teknologi, peneraju industri dan para inovator dalam usaha memperkukuh pengkomersialan teknologi tempatan serta merangsang pertumbuhan industri berasaskan teknologi di Malaysia.

.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kangsekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem pembiayaan inovasi yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing.

Menerusi platform ini, para pembangun teknologi berpeluang menjalin hubungan strategik dengan institusi kewangan, syarikat modal teroka, institusi kewangan pembangunan, bank perdagangan serta pelbagai rakan strategik lain bagi mempercepatkan proses pengkomersialan inovasi tempatan.

TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 diadakan bagi menangani cabaran terbesar dalam ekosistem inovasi negara, seperti merapatkan jurang pengkomersialan teknologi, memperluaskan akses kepada pembiayaan bagi teknologi berpotensi tinggi serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan sektor kewangan.

Bercakap dengan pihak media selepas merasmikan majlis beliau berkata  sebanyak RM5 bilion dana pembiayaan disediakan menerusi kerjasama 15 organisasi termasuk agensi pembiayaan dan institusi kewangan bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga (startup) serta inovator membangunkan teknologi dan inovasi sendiri.

Dana berkenaan katanya diwujudkan melalui platform TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 yang menghimpunkan pelbagai pemain dalam ekosistem inovasi negara bagi memperkukuh akses pembiayaan dan mempercepatkan pengkomersialan teknologi tempatan.

“Kemudahan pembiayaan itu bukan diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada kriteria ditetapkan oleh setiap organisasi yang mengambil bahagian. Kita menghubungkan 15 organisasi termasuk agensi pembiayaan dan institusi kewangan. Secara keseluruhan, nilai pembiayaan yang disediakan adalah kira-kira RM5 bilion untuk membantu startup dan inovator kita.

“Sudah tentu ia bukan diberikan begitu sahaja kerana setiap pembiayaan mempunyai syarat dan kriterianya namun nilai yang disediakan adalah kira-kira RM5 bilion,”

Antara 15 organisasi terbabit termasuk Cradle, SME Bank, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), MRANTI, Bioeconomy Corporation, Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), EXIM Bank, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Venture Tech, Kumpulan Modal Perdana (KMP) dan PMB Tijari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Presiden MIGHT, Ts. Rushdi Abdul Rahim berkata, sejak lebih tiga dekad lalu, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) berperanan sebagai platform yang menghubungkan kerajaan, industri dan institusi akademik dalam memperkukuh pembangunan teknologi negara.

Menurut beliau, peranan MIGHT kini berkembang sebagai penyelaras ekosistem inovasi negara yang menghubungkan teknologi, pelaburan dan industri menerusi platform strategik seperti TechnoMART Malaysia.

“TechnoMART Malaysia merupakan platform nasional yang mempertemukan teknologi dengan pelaburan, inovasi dengan industri serta membina kerjasama strategik bagi menzahirkan idea kepada industri berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Pengerusi MBSB, Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad pula menegaskan bahawa kerjasama strategik merupakan elemen penting dalam memperkukuh pembiayaan bagi syarikat berasaskan teknologi tinggi.

Menurut beliau, Malaysia memiliki banyak teknologi yang berpotensi besar untuk dikomersialkan. Bagaimanapun, kejayaan mengembangkan teknologi tersebut menjadi perniagaan yang mampan memerlukan akses kepada modal yang sesuai, jaringan kerjasama industri yang kukuh serta laluan yang jelas ke pasaran.

“Melalui MBSB Bank dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), kami berada pada kedudukan yang kukuh untuk bekerjasama dengan kerajaan, pelabur dan pemain industri dalam menyediakan pembiayaan bagi pembelian mesin dan peralatan, modal kerja serta pengembangan perniagaan. Kami juga menawarkan penyelesaian pasaran modal bagi membantu syarikat berkembang ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, TechnoMART Malaysia telah berkembang menjadi platform nasional dan antarabangsa yang memacu pengkomersialan teknologi serta kerjasama strategik dalam sektor berteknologi tinggi. Sehingga kini, inisiatif tersebut telah berjaya menganjurkan lebih 30 program melibatkan pelbagai sektor teknologi keutamaan selain menjalin kerjasama dengan rakan antarabangsa.

MIGHT akan terus memperluaskan pelaksanaan TechnoMART Malaysia melalui kerjasama strategik baharu, termasuk perancangan menjalin kolaborasi dengan Kerajaan Arab Saudi bagi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan meneroka pasaran antarabangsa.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan