Friday, September 18, 2026

PESONA TIGA BINTANG KONGSI SATU PENTAS – CULTURAL NIGHT ROTF

Share

-Serikan Malam MAHA 2026

SERDANG_ Kalau siang di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 meriah dengan pelbagai aktiviti pameran dan jualan agro sebagai daya tarikan, suasananya bertambah hangat di sebelah malam.

Pentas Rhythm of the Farmers (ROTF) menjadi tumpuan menerusi persembahan tiga penyanyi wanita popular tanah air,  Wany Hasrita, Asmidar dan Wani Kayrie  yang masing-masing membawa pesona dan karakter tersendiri dalam Cultural Night.

Bukan sekadar menghiburkan pengunjung, ketiga-tiga penyanyi itu turut menghidupkan pentas ROTF dengan persembahan yang menggabungkan muzik, elemen budaya dan sentuhan tradisional dalam suasana santai tetapi penuh bertenaga.

  

Wany Hasrita tampil memukau dengan vokalnya yang merdu, membawa suasana persembahan lebih dekat dengan jiwa peminat dengan gaya persembahan yang tersendiri. Penyanyi itu berjaya mencipta momen yang mengundang penonton untuk sama-sama menikmati dan menghayati lagu yang dipersembahkan.

Asmidar pula mencuri perhatian menerusi vokalnya yang unik dan karakter persembahan yang tersendiri manakala Wani Kayrie membawa tenaga generasi muda yang lebih segar dan dinamik ke pentas ROTF.

Menariknya, gabungan tiga penyanyi daripada generasi dan latar muzik yang berbeza menjadikan Cultural Night sebuah persembahan yang  dinikmati pelbagai peringkat usia,  daripada golongan muda hinggalah pengunjung dewasa.

Dendangan lagu-lagu yang menyentuh emosi kepada persembahan yang lebih rancak dan bertenaga, Cultural Night menampilkan muzik mempunyai cara tersendiri untuk mendekatkan masyarakat dan menyatukan generasi dalam satu suasana.

Lebih istimewa, persembahan di ROTF turut mengetengahkan unsur muzik dan budaya tempatan, menampilkan  pengunjung yang bukan sahaja datang untuk melihat hasil pertanian dan agroproduk tetapi turut menikmati pengalaman seni dan hiburan dalam suasana MAHA  lebih menyeluruh.

Kehadiran Wany Hasrita, Asmidar dan Wani Kayrie jelas menambah seri kemeriahan MAHA 2026 yang terus menjadi pilihan pengunjung dengan penganjuran berlangsung sehingga 6 September hadapan.

Menurut MARDI Corporation, ROTF diwujudkan sebagai antara pengisian hiburan utama MAHA 2026 bagi memberikan pengalaman yang lebih pelbagai kepada pengunjung menerusi gabungan persembahan muzik, kebudayaan dan aktiviti interaktif.

“Pelbagai pengisian hiburan disusun secara berterusan bagi meningkatkan keterlibatan pengunjung selain mewujudkan suasana yang lebih meriah sepanjang penganjuran MAHA,” katanya.

Bagi yang masih belum berkesempatan menyaksikan kemeriahan ROTF, peluang masih terbuka untuk hadir dan menikmati persembahan yang disediakan pada malam-malam berikutnya.

ROTF akan melabuhkan tirai pada 6 September ini menerusi persembahan khas bertemakan ‘Soul Journey’, yang dijadualkan bermula pada 5.30 petang.

Jadi, kalau sudah sampai MAHA pada siang hari, apa kata teruskan langkah sehingga ke malam.

MAHA 2026 hadir membawa informasi pertanian dan agro tetapi menyumbang pengalaman yang menggabungkan ilmu, budaya, makanan, hiburan dan masyarakat semuanya dalam satu lokasi.

Berita Lain..

Berita Tempatan