Sunday, May 24, 2026

BIMBANG PERNIAGAAN HARAM WARGA ASING BERKAIT PERDAGANGAN SELUDUP – API

Share

-Ekoran penangkapan penguatkuasa terhadap warga asing pada bulan April.

KUALA LUMPUR – Advokasi Perusahaan dan Industri (API) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan perniagaan haram dikendalikan warga asing di negara ini yang didakwa semakin ketara di bandar-bandar utama serta dikaitkan dengan kegiatan penjualan rokok dan alkohol seludup.

Pengarah Urusan Dato’ Fazli Nordin berkata, terdapat warga asing yang memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial atau pelancong, namun kemudiannya menjalankan perniagaan tanpa lesen dan dipercayai menjadikan premis mereka sebagai saluran pengedaran barangan seludup.

Kegiatan itu berlaku apabila ada pihak mengambil kesempatan terhadap kelemahan dalam sistem sehingga aktiviti menyalahi undang-undang itu semakin berleluasa.

Tambahnya,  agensi penguat kuasa kini dilihat mempertingkat tindakan dengan beberapa operasi sepanjang bulan April yang menunjukkan isu berkenaan diberi perhatian serius pihak berkuasa.

Pada 8 April lalu, seramai 133 warga asing ditahan dalam serbuan di Balakong dan Shah Alam termasuk 65 warga Bangladesh selain rampasan rokok dan alkohol seludup.

Sehari kemudian, Jabatan Imigresen menahan 69 warga asing di Jalan Imbi, Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial termasuk beberapa individu yang cuba melarikan diri melalui bumbung bangunan.

Dalam perkembangan tersebut,  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memperhebat operasi terhadap peniaga warga asing tanpa lesen di Seputeh, Pudu dan Selayang melalui tindakan kompaun serta rampasan barangan.

Fazli berkata, tindakan penguatkuasaan itu turut disokong pendirian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa warga asing yang menyalahgunakan pas sosial atau pelancong untuk berniaga boleh dikenakan tindakan.

“Kerajaan dan agensi penguat kuasa sudah beri mesej jelas bahawa kegiatan ini dipantau dan tindakan sedang diambil,” katanya.

Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri (API), Dato’ Fazli Nordin

Bagaimanapun, kebimbangan API bukan ditujukan kepada majoriti warga asing yang berada di negara ini secara sah dan menyumbang kepada ekonomi, sebaliknya tertumpu kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan haram serta rangkaian pengedaran rokok tidak sah.

 Tindakan berterusan amat penting katanya kerana operasi berkala sahaja belum mampu memutuskan rangkaian tersebut malah kegiatan sama sering muncul semula selepas beberapa minggu.

API juga mendakwa penjualan rokok tidak sah kini semakin terbuka di premis-premis terbabit.

Berdasarkan data NielsenIQ, rokok tidak sah mewakili 54.4 peratus penggunaan rokok di Malaysia pada 2025, menjadikan negara ini antara pasaran rokok haram terbesar dunia dan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai berbilion ringgit setiap tahun.

Sehubungan itu, API menggesa orang ramai tidak menyokong atau melindungi warga asing yang beroperasi secara haram selain menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

API turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha penguatkuasaan dan menggesa hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pesalah berulang, sindiket terancang serta pihak yang mengeksploitasi warga asing bagi menjalankan operasi runcit tidak sah.

“Isu ini tidak akan selesai dengan sendiri dan kami akan terus membawa perkara ini sehingga tindakan lebih berkesan dilaksanakan,” ujarnya.

Berita Lain..

Berita Tempatan