-38 tahun dalan dunia kewartawanan membentuk perjalanan penulisan, tujuan dan legasi Cecilia Sman
MIRI_ Pengalaman lebih 38 tahun dalam dunia kewartawanan mengajar Cecilia Sman bahawa setiap cerita mempunyai nilai tersendiri termasuk kisah masyarakat biasa yang mungkin tidak mendapat perhatian ramai.
Memulakan kerjaya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1982, Cecilia tidak pernah menyangka akan menghabiskan lebih tiga dekad dalam bidang kewartawanan. Selepas RTM Cecilia turut menjadi pemberita kanan di Akhbar The Borneo Post sehingga tahun 2020. Pengalaman turun padang, bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan mendengar kisah kehidupan mereka mendorong beliau semakin mencintai dunia penulisan.
Baginya, penulisan bukan sekadar menyampaikan berita tetapi turut menjadi medium untuk membawa suara orang biasa kepada khalayak yang lebih luas.

Wartawan senior – Cecilia Sman
“Satu temu bual misalnya, boleh menjadi berita yang bermakna apabila wartawan benar-benar mendengar kisah di sebalik sesuatu peristiwa,” ujarnya.
Sepanjang kerjayanya, Cecilia berpeluang bertemu pemimpin, keluarga dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Pengalaman itu mengajarnya bahawa di sebalik setiap berita, ada insan yang menghadapi pelbagai liku kehidupan, cabaran dan pengalaman hidup masing-masing.

Cecilia ketika bertugas sebagai wartawan

Cecilia bersama sebahagian rakan-rakan wartawan ketika membuat liputan berita
“Fakta memang penting namun empati menjadikan sesuatu tulisan lebih hidup. Apabila kita membuat liputan tentang keluarga yang sedang menghadapi kesukaran, kita bukan hanya melihat fakta kejadian tetapi juga kesannya terhadap kehidupan mereka,” katanya.
Selepas bertahun-tahun mengumpul pengalaman dalam dunia kewartawanan, Cecilia mula menyedari bahawa banyak kisah berharga boleh hilang jika hanya disimpan dalam ingatan.
Keinginan untuk mendokumentasikan pengalaman bagi tatapan anak, cucu dan generasi akan datang mengubah mindanya untuk membawa cerita ke dalam bentuk buku sama ada bercetak atau dalam bentuk digita. Karyanya, My Passion menjadi antara langkah awal dalam perjalanan tersebut selepas mendapatkan platform e-buku di bawah naugan Master Shiro Global Academy (MSGA).
Beliau turut melihat penulisan sebagai satu cara menyimpan sejarah kehidupan agar pengalaman dan pengajaran yang diperoleh tidak terhenti pada zamannya sahaja.
Antara karya yang diketengahkan ialah Guardians of Green yang lahir daripada kesedaran bahawa sejarah perjuangan Piasau terlalu penting untuk dibiarkan hilang. Piasau di Miri, Sarawak, merujuk kepada usaha memelihara kawasan hutan dan habitat hidupan liar, khususnya burung kenyalang, daripada ancaman pembangunan.

Menurut Cecilia, karya itu bukan sekadar berkisar tentang burung kenyalang dan hutan tetapi turut membawa kisah komuniti, perjuangan serta usaha pemuliharaan.
Antara tajuk e-buku lain beliau ialah yang menghimpunkan contoh perjalanan kehidupan nya sebagai wartawan hingga menjadi penulis ebook, Jurulatih Penulisan MSGA dan juga MSGA Learning Instructor.
Baginya sebelum memulakan penulisan, seseorang perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah cerita ini mempunyai makna? Apakah yang boleh dipelajari oleh pembaca? Adakah cerita ini wajar diwariskan kepada generasi seterusnya?
Cecilia percaya sesiapa sahaja berpeluang menjadi penulis walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam penghasilan buku.
Beliau menyarankan agar mereka tidak terus memikirkan bagaimana hendak menulis sebuah buku sebaliknya bermula dengan bercerita tentang pengalaman sendiri.
Kisah membesarkan anak, membina kerjaya, mengurus perniagaan atau menghadapi cabaran hidup semuanya berpotensi menjadi bahan penulisan.
“Kalau kita boleh bercakap tentang pengalaman sendiri, sebenarnya kita sudah mempunyai bahan. Teknik menulis boleh dipelajari tetapi pengalaman hidup setiap daripada kita adalah unik dan tersendiri,” jelasnya.
Bagi mereka yang ingin menghasilkan e-buku tetapi tidak tahu hendak bermula dari mana, Cecilia menyarankan supaya tujuan penulisan dikenal pasti terlebih dahulu.
“Penulis perlu bertanya mengapa mereka mahu menulis dan siapa yang ingin dibantu melalui karya tersebut. Jawapan kepada dua persoalan ini akan membantu menentukan tajuk, kandungan dan pendekatan penulisan,” pesannya.
Tambahnya, penulis tidak perlu terlalu awal memikirkan jumlah halaman sebaliknya mereka perlu memberikan perhatian kepada mesej dan manfaat yang ingin disampaikan kepada pembaca.


Dua antara karya e-buku Cecilia
Dalam era kecerdasan buatan (AI), Cecilia melihat teknologi sebagai alat yang boleh membantu memperkemas proses penulisan termasuk menyusun struktur, mengembangkan idea dan memperbaiki bahasa.
Bagaimanapun, pengalaman sebenar mesti datang daripada penulis itu sendiri.
“AI mungkin boleh membantu menyusun bab tentang perjalanan kerjaya kewartawanan tetapi teknologi itu tidak mengalami sendiri pengalaman ketika turun membuat liputan. Emosi, pendirian, nilai dan suara peribadi penulis perlu terus menjadi sebahagian daripada karya kerana ia adalah identiti,” katanya.
Bagi Cecilia, inilah yang membezakan penulisan yang sekadar menyampaikan maklumat dengan penulisan yang benar-benar mempunyai sentuhan manusia.
Prinsip penulisan Cecilia dirumuskan melalui tiga perkataan, write, inspire dan empower atau menulis, memberi inspirasi dan memperkasa pembaca.
Baginya, menulis dengan tujuan bermaksud setiap karya mempunyai sebab dan manfaat dan bukan sekadar memenuhi halaman. Pengalaman peribadi boleh menjadi titik permulaan untuk membuat refleksi, mengenalpasti pengajaran dan menyampaikan sesuatu yang berguna kepada orang lain.
Beliau turut membezakan antara kejayaan menyiapkan sebuah buku sebagai langkah untuk ditinggalkan kepada legasi.
“Menghasilkan buku merupakan satu pencapaian tetapi legasi membawa makna yang lebih jauh apabila ilmu, pengalaman dan nilai dalam karya terus memberi manfaat kepada orang lain selepas penulis tiada.
“Ini bermakna, jika anak atau cucu membaca karya yang ditinggalkan bertahun-tahun kemudian, lalu memahami perjuangan dan nilai kehidupan penulis, maka tulisan itu sudah menjadi sebahagian daripada legasi keluarga,” jelasnya.
Cecilia merakam kenangan bersama keluarga
Cecilia percaya, ilmu dan pengalaman menjadi lebih bernilai apabila dikongsi. Jika pengalaman lebih 38 tahun dalam kewartawanan tidak didokumentasikan, generasi selepasnya mungkin hanya mengetahui bahawa beliau pernah menjadi wartawan tetapi tidak memahami pelajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan tersebut.
Justeru, beliau menggalakkan orang ramai supaya terus belajar, menulis dan berkongsi pengalaman.
“Bagi saya, kejayaan bukan hanya tentang apa yang kita capai untuk diri sendiri tetapi juga tentang manfaat yang dapat ditinggalkan kepada orang lain. Jika ada yang mahu berkongsi apa juga catatan jangan tunggu sempurna. Mulakan menulis hari ini kerana pengalaman yang kalian anggap biasa mungkin menjadi inspirasi yang sangat diperlukan oleh orang lain,” pesannya.
Karya Cecilia boleh didapati di kedai digital –www.ceciliasman.com