-Senaman Mobiliti Kunci Kesihatan Pekerja Pejabat-
Persatuan Jurulatih Bertauliah dalam Kecergasan (ACTIF) menggesa majikan serta pekerja di negara ini supaya memberi perhatian lebih serius terhadap amalan senaman berfokuskan mobiliti sebagai sebahagian daripada rutin harian di tempat kerja.
Ini susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan kesihatan jangka panjang akibat budaya kerja yang kurang aktif, khususnya dalam kalangan pekerja pejabat.
Presidennya, Husaini Mohd Yusoff berkata, trend pekerjaan moden yang memerlukan individu duduk dalam tempoh lama di hadapan komputer tanpa pergerakan yang mencukupi kini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan fizikal dalam kalangan rakyat di negara ini.
Menurut beliau, kekurangan aktiviti fizikal bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan muskuloskeletal malah turut memberi kesan kepada postur badan, tahap fleksibiliti serta meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.
“Mobiliti merupakan antara aspek penting dalam kecergasan yang sering dipandang ringan, terutama dalam kalangan pekerja pejabat yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka dalam keadaan duduk.
“Golongan ini lebih terdedah kepada gangguan muskuloskeletal yang boleh menyebabkan kesakitan kronik, pergerakan yang semakin terbatas dan akhirnya menjejaskan produktiviti kerja,” katanya.
Tambahnya, senaman mobiliti yang ringkas tetapi dilakukan secara konsisten sepanjang waktu bekerja mampu memberi kesan besar terhadap kesihatan sendi, mengurangkan ketidakselesaan fizikal serta membantu meningkatkan prestasi kerja secara keseluruhan.
“Ia bukan soal intensiti semata-mata sebaliknya tentang konsistensi. Pergerakan kecil yang dilakukan secara berkala boleh membawa perubahan besar terhadap kesihatan seseorang,” ujarnya.
.
Sebagai sebahagian daripada usaha advokasi berterusan, ACTIF baru-baru ini telah menganjurkan sesi latihan berfokuskan mobiliti bersama kakitangan Datametrics Research and Information Centre (DARE), sebuah agensi penyelidikan pasaran bebas.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Shaiful Nizam Omar yang berkongsi pelbagai teknik praktikal yang mudah dilaksanakan dalam suasana pejabat termasuk regangan di meja kerja, senaman pembetulan postur serta rutin mobiliti ringkas yang boleh dilakukan ketika waktu rehat.
Peserta turut dibimbing melakukan latihan yang mensasarkan bahagian tubuh yang paling kerap mengalami ketegangan seperti leher, bahu, bahagian bawah belakang serta pinggul, iaitu kawasan yang sering terkesan akibat duduk terlalu lama.
Selain itu, sesi tersebut turut menekankan kepentingan pergerakan secara berkala dan kesedaran terhadap aspek ergonomik bagi membantu mencegah kecederaan jangka panjang.

Sementara itu, Pengurus Besar DARE, Dexter Lee menyifatkan program berkenaan sebagai sangat relevan dan memberi manfaat besar kepada warga kerja organisasi itu.
“Pendekatan yang diketengahkan ACTIF sangat praktikal, mudah difahami dan boleh terus diamalkan. Ia membuktikan bahawa usaha meningkatkan mobiliti tidak memerlukan perubahan besar dalam jadual harian sebaliknya hanya memerlukan komitmen terhadap amalan kecil yang mampan,” katanya.
Menurut ACTIF, usaha memperluaskan kesedaran mengenai senaman berfokuskan mobiliti di tempat kerja selari dengan agenda kesihatan nasional yang semakin memberi penekanan kepada pencegahan serta amalan gaya hidup sihat sebagai langkah menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan beban penyakit kronik.
Persatuan itu turut menegaskan keperluan tindakan secara kolektif melibatkan majikan, komuniti serta pembuat dasar bagi meningkatkan tahap kesihatan awam dan membudayakan persekitaran kerja yang lebih aktif.
ACTIF merupakan badan profesional yang komited meningkatkan standard industri kecergasan negara melalui pendekatan latihan berasaskan bukti, pendidikan awam, program jangkauan komuniti serta kerjasama strategik bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah sistem penjagaan kesihatan yang lebih berteraskan pencegahan.