KUALA LUMPUR, 4 Mei – Sandoz, peneraju global dalam penghasilan ubat generik dan biosimilar, melantik Christine Chong sebagai Peneraju baharu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei berkuat kuasa 15 April lalu.
Christine berkata, beliau berbesar hati menyertai Sandoz dan teruja untuk bekerjasama dengan pasukan syarikat di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam meneruskan misi memperluaskan akses pesakit kepada rawatan berkualiti.
“Pelantikan ini satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sandoz. Saya yakin bersama pasukan yang berpengalaman dan berdedikasi, kami akan terus berinovasi, berkembang serta memberi impak bermakna kepada landskap penjagaan kesihatan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christine Chong, Peneraju Sandoz baharu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei.
Sementara itu, Presiden Kluster Asia Sandoz, Boon Huey Ee berkata, pengalaman luas yang dimiliki Christine dalam pelbagai pasaran antarabangsa diyakini mampu memperkukuh lagi peranan syarikat dalam meningkatkan akses pesakit kepada rawatan.
“Christine membawa pengalaman mendalam serta komitmen tinggi terhadap akses penjagaan kesihatan. Di bawah kepimpinan beliau, kami yakin Sandoz akan terus memperluaskan impaknya dan memenuhi komitmen kepada pesakit di seluruh rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, tahun 2026 turut menjadi detik penting buat Sandoz apabila syarikat itu meraikan 140 tahun warisan global, 80 tahun kepimpinan dalam pengeluaran antibiotik serta 20 tahun sebagai perintis biosimilar di peringkat antarabangsa.
Sandoz juga meraikan 55 tahun kehadirannya di Malaysia dan 40 tahun beroperasi di Singapura, mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan di rantau Asia.
Sandoz yang beribu pejabat di Basel, Switzerland, kini mempunyai lebih 20,000 tenaga kerja daripada 100 negara dan menyediakan kira-kira 1,300 jenis ubat kepada lebih satu bilion pesakit di seluruh dunia.
Pada 2025, syarikat itu merekodkan jualan bersih sebanyak USD11.1 bilion.