-Tiga buku dakwah mengajak masyarakat lebih prihatin terhadap pesakit, membudayakan doa dan menghayati makna sebenar mencintai Tanah Suci.
KUALA LUMPUR _ “Jangan tunggu sakit untuk mengingati Allah, jangan tunggu susah untuk mengangkat tangan berdoa dan jangan tunggu sampai ke Makkah untuk belajar mencintai Allah.”
Itulah pesanan Pendakwah Bebas bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohammad Hasnil Abu Bakar, 53, yang lebih dikenali sebagai ustaz Hasnil, melihat kehidupan sebagai perjalanan untuk terus memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Ustaz Mohammad Hasnil Abu Bakar
Berbekalkan pengalaman dalam bidang dakwah, pendidikan agama dan bimbingan ibadah haji serta umrah, beliau memilih penulisan sebagai satu lagi medium untuk berkongsi ilmu dan menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.
Antara karya yang diketengahkan ialah Apa Khabar Pesakit?, Himpunan Doa Mustajab dan Sayangi Makkah, Kiblat Kita. Ketiga-tiga buku tersebut membawa pembaca mendekati tiga aspek kehidupan yang sering dilalui manusia, iaitu menghadapi kesakitan, meletakkan harapan melalui doa dan menghayati kecintaan terhadap Tanah Suci.



Antara karya ustaz Hasnil yang telah berada di pasaran
Menurut ustaz Hasnil, idea menghasilkan buku Apa Khabar Pesakit? turut dipengaruhi pengalaman beliau bertugas selama dua tahun iaitu pada 2006 dan 2007, ketika musim haji di Hospital Aziziyyah, Makkah.
Sepanjang tempoh itu, beliau berpeluang mengikuti perjalanan pesakit sejak dimasukkan ke hospital sehingga dibenarkan pulang dan bagi kes tertentu, sehingga pesakit meninggal dunia.
Pengalaman menyaksikan keadaan pesakit dari dekat membuka matanya tentang keperluan mereka terhadap perhatian, sokongan dan kehadiran insan yang mengambil berat.
“Orang sakit selalunya berasa sunyi dan memerlukan perhatian. Kadangkala kita terlalu memikirkan keadaan fizikal mereka sehingga terlupa bahawa mereka juga memerlukan sokongan emosi dan kekuatan rohani,” ujarya.
Beliau berharap buku tersebut dapat mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang ringan amalan menziarahi pesakit, termasuk meluangkan masa, bertanya khabar dengan ikhlas dan mendoakan kesembuhan.

Ustaz Hasnil bersama keluarga yang sentiasa memberi dorongan
Ustaz Hasnil turut mengingatkan bahawa pesakit dan ahli keluarga boleh terus berusaha mendapatkan rawatan yang diperlukan sambil memperkukuh pergantungan kepada Allah melalui doa, zikir dan tawakal.
Katanya, zikir Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un mengingatkan manusia bahawa kehidupan ini merupakan perjalanan yang akhirnya akan kembali kepada Allah SWT.
Bagaimanapun, tawakal bukan bermaksud menyerahkan segala-galanya tanpa usaha. Sebaliknya, manusia perlu terus berikhtiar, berdoa dan mendapatkan bantuan yang sewajarnya ketika menghadapi ujian.
Menerusi Himpunan Doa Mustajab, ustaz Hasnil mahu masyarakat memahami bahawa doa bukan sekadar permintaan untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati tetapi lambang pengabdian dan pengakuan bahawa manusia sentiasa memerlukan pertolongan Allah.
Menurutnya, doa yang dimakbulkan tidak semestinya diberikan dalam bentuk atau pada waktu yang diharapkan oleh seseorang.
Beliau menjelaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya berputus asa apabila sesuatu permintaan belum menjadi kenyataan sebaliknya terus berusaha, berdoa dan bertawakal.
“Kadangkala kita meminta sesuatu yang kita sangka baik, sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Doa juga mendidik hati supaya reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.
Beliau berharap masyarakat menjadikan doa sebahagian daripada kehidupan seharian, bukan hanya ketika ditimpa musibah atau berhadapan dengan kesulitan.
Bagi ustaz Hasnil, hubungan dengan Allah perlu dipelihara ketika sihat mahupun sakit, ketika senang mahupun susah.
Sementara itu, buku Sayangi Makkah, Kiblat Kita pula mengajak pembaca memahami keistimewaan Makkah bukan sekadar sebagai destinasi ibadah tetapi sebagai kota yang mempunyai kedudukan penting dalam sejarah tauhid dan perjuangan para nabi.
Ustaz Hasnil berpandangan, pengalaman pertama melihat Kaabah sering membawa pelbagai emosi, termasuk rasa syukur, keinsafan dan kenangan terhadap perjalanan hidup seseorang.
Ada yang menabung bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah haji atau umrah, manakala ada yang tiba di Tanah Suci selepas melalui pelbagai ujian kehidupan.
Bagaimana pun menurutnya, ukuran sebenar kecintaan kepada Allah bukan sekadar air mata kesayuan ketika melihat Kaabah tetapi perubahan sikap dan amalan selepas pulang ke tanah air.
“Menangis itu satu nikmat jika lahir daripada keinsafan tetapi yang lebih penting ialah apabila air mata itu membawa kepada taubat, solat yang lebih terjaga, akhlak yang lebih baik dan hubungan yang lebih erat dengan Allah,” ujarnya.
Beliau berharap pengalaman berada di Makkah menjadi titik perubahan yang mendorong seseorang memperbaiki diri dan bukan sekadar kenangan indah yang disimpan selepas pulang.
Bagi ustaz Hasnil, penulisan mempunyai kelebihan tersendiri kerana ilmu yang dihimpunkan dalam buku boleh dibaca berulang kali dan dimanfaatkan oleh masyarakat tanpa batasan tempat atau masa.
Beliau yang memiliki Diploma Syariah dari KUSZA, Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, serta Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya itu turut berkhidmat sebagai pembimbing jemaah haji dan umrah serta ahli pemegang amanah Yayasan Nur Ramlah.
Menurutnya, tidak semua persoalan masyarakat dapat dijawab melalui ceramah atau pertemuan bersemuka. Justeru, buku menjadi medium untuk menyampaikan ilmu, pengalaman dan peringatan yang boleh dirujuk pada bila-bila masa.
“Ceramah mungkin berakhir apabila mikrofon ditutup tetapi buku berpeluang meneruskan dakwahnya apabila penulis sudah meninggalkan dunia.
“Saya tidak melihat penulisan semata-mata sebagai usaha menghasilkan buku. Ia satu amanah untuk berkongsi ilmu yang boleh membantu manusia mengenali Allah, memahami agama dan memperbaiki kehidupan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penulisan berkaitan agama perlu menjaga amanah ilmu, termasuk memastikan fakta, dalil al-Quran, hadis dan pandangan ulama dirujuk dengan cermat.
Ustaz Hasnil berharap ketiga-tiga karyanya bukan sekadar menjadi bahan bacaan malah dapat dimanfaatkan oleh individu, pertubuhan kebajikan dan pemimpin masyarakat ketika menziarahi pesakit.
Beliau mencadangkan buku seperti Apa Khabar Pesakit? dan Himpunan Doa Mustajab dijadikan bahan bacaan tambahan yang boleh dihadiahkan kepada pesakit atau keluarga mereka selain bantuan dan buah tangan yang biasa diberikan.
“Harapan saya, jika seseorang menjadi lebih sabar ketika sakit, lebih tekun berdoa, lebih prihatin terhadap orang lain dan lebih menjaga hubungannya dengan Allah selepas membaca buku-buku ini, maka itulah manfaat yang sangat saya harapkan.
“Kita bukan sekadar mahu meninggalkan nama sebagai penulis tetapi mahu meninggalkan manfaat yang terus mengingatkan manusia kepada Allah SWT,” katanya yang memiliki kedai buku digital – www.mabrurbookstore.com.
Bagi ustaz Hasnil, kehidupan terlalu singkat untuk dihabiskan tanpa berusaha mengenali Allah dengan lebih mendalam. Kesihatan perlu dimanfaatkan untuk beribadah, kesulitan dihadapi dengan doa dan setiap peluang ke Tanah Suci seharusnya membawa pulang perubahan yang baik.
Itulah harapan beliau melalui dakwah dan penulisan, agar ilmu yang dikongsikan menjadi manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan bekalan kebaikan di akhirat.