Malaysia mencadangkan penubuhan Pusat Sains Diplomasi ASEAN, hab serantau pertama yang memberi tumpuan kepada peranan sains dalam dasar awam dan kerjasama negara-negara ASEAN.
Cadangan ini diilhamkan oleh Universiti UCSI dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dengan sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pengarah Pengasas Institut Diplomasi Sains dan Kelestarian (UCSI-IISDS) merangkap Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abd Hamid berkata, pusat itu akan menggembleng usaha ASEAN memperjuangkan isu diplomasi sains dengan Malaysia sebagai peneraju.

Cadangan tersebut dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Diplomasi Sains untuk Kemakmuran Serantau ASEAN yang berlangsung selama dua hari di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya pada 6 dan 7 Ogos yang lalu.
Persidangan ini menghimpunkan penggubal dasar, saintis, diplomat, ahli akademik dan pemimpin industri dari seluruh ASEAN dan luar negara untuk membincangkan potensi serta cabaran diplomasi sains sebagai mekanisme memupuk kepentingan bersama dan kerjasama serantau.
Anjuran bersama MIGHT dan IISDS UCSI University, persidangan ini bertujuan membentuk kesepakatan serantau dalam memanfaatkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi tujuan diplomasi, pembangunan mampan dan integrasi ekonomi. Antara agenda utama termasuk perubahan iklim, transformasi digital, keselamatan kesihatan dan pembangunan bandar lestari.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam ucapan perasmian menegaskan, komitmen Malaysia terhadap diplomasi sains sebagai tonggak kerjasama serantau. Beliau turut menekankan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dan peranan proaktif Malaysia dalam merangka Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026–2035.
“Diplomasi sains bukan sekadar pertukaran ilmu saintifik, ia adalah tentang membina kepercayaan, memperkukuh perkongsian dan menyatukan kekuatan kolektif untuk menyelesaikan cabaran merentasi sempadan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pascasiswazah, Universiti UCSI, Profesor Dr. Phang Siew Moi , Pengerusi Bersama (industri), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim.
Sorotan lain persidangan ialah cadangan membangunkan pelan hala tuju strategik diplomasi sains ASEAN yang meliputi rangka kerja institusi, keutamaan bersama dan mobiliti bakat bagi menyokong matlamat jangka panjang rantau ini.
Dr Zakri berkata, pusat kecemerlangan yang dicadangkan ini akan menjadi hab kritikal menangani isu seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, pencemaran dan pelbagai cabaran saintifik lain di peringkat nasional dan serantau.
“Kertas cadangan telah disediakan dan perbincangan awal dengan Sekretariat ASEAN sedang berjalan, termasuk sesi town hall bersama negara anggota. Cadangan ini mendapat sokongan padu, termasuk semasa sesi di Jakarta dua bulan lalu,” jelasnya.