Friday, March 6, 2026

CERPEN MERDEKA -BAHTERA NUSANTARA

Share

Selat Melaka, tahun 1513.

Kelibat kilat berkejaran di celah-celah awan. Sementara angin monsun melolong lalu membelah dada samudera seluas-luasnya. Ombak menunjukkan taringnya yang amat tajam.

Saat badai sedang menghempaskan segala isi perut laut, adanya bahtera dan jong Melayu milik Laksamana Umar, seorang laksamana yang mahsyur selain daripada Hang Tuah. Cumanya tidak ramai yang tahu akan namanya.

Namanya bukan sekadar nama. Dinamai Umar bersempena Khalifah Umar al-Khattab, seorang khalifah Islam yang tegas tetapi adil.

Di lautan sekitar Nusantara, Laksamana Umar membawa roh itu bersamanya. Suara perintahnya tidak pernah tinggi tanpa sebab. Tetapi apabila sekali dia bersuara, laut sendiri mengangkat ombak menyambut kata-katanya. Anak-anak kapal, dari Pattani ke Jambi, dari Makassar ke Aceh, semua mengenal tekadnya yang tidak mudah goyah.

Tubuhnya sasa, tetapi bukan tubuh yang menjadi ketua. Matanya, tajam seperti taji garuda menembusi gelombang dan kabut mencari tanda-tanda di bintang dan ombak. Suaranya beralun tenang, tetapi kata-katanya berbekas seperti ukiran di dinding batu karang.

Ketika itu, bahteranya sedang berlayar megah walaupun alam sedang bertempik. Layarnya kembang seperti sayap naga yang bangkit dari lena yang panjang.

Dua tahun telah pun berlalu sejak kapal-kapal yang berpanjikan sifat takbur itu mula datang mencari untung di bumi Melaka. Pada mulanya mereka datang sebagai tetamu dengan lidah manis saudagar, tetapi tangan tersembunyi di balik jubah mereka.

Dan pada masa dua tahun lalu semenjak tahun 1511 itulah, mereka cuba menyerang. Kota Melaka. Pusat perdagangan yang mahsyur serta dikenali sebagai permaisuri Selat di bumi Nusantara. Benteng kota yang berdinding batu merah, pelabuhan yang tidak pernah sunyi, disokong oleh kerajaan-kerajaan sekutunya di seberang Nusantara.

Dari Pattani, Palembang, Inderagiri, Riau-Lingga, hinggalah ke Jambi. Armada-armada kecil sama perahu-perahu yang dikenali sebagai negeri taklukan bertukar menjadi perisai dan tombak.

Mereka tidak berkumpul di satu balairung yang sama. Tidak juga menumpahkan dakwat ke atas perjanjian di atas kertas seperti bangsa asing. Tetapi mereka bersatu di bawah bintang yang serupa. Bahasa Melayu menjadi lidah yang menghubungkan mereka. Adat dan kesatuan bumi Nusantara menjadi nadi mereka.

Ketika Portugis datang membawa besi dan api untuk menyerang sekali lagi tembok kota Melaka. Kerajaan Melaka bangkit bersama anak-anak Nusantara.

Jong-jong besar dari Demak dan Makassar, perahu perang dari Pattani dan Aceh berlayar menongkah arus ke medan yang sama. Mereka tidak sekadar bertahan mereka menolak balik musuh ke laut terbuka, menunjukkan bahawa Selat ini bukan sekadar jalan dagang, tetapi nadi bangsa.

Meskipun pada tahun 1511 mereka gagal menawan kota itu. Namun Portugis kembali membawa dendam yang belum terpadam. Mereka fikir laut ini senyap, tetapi mereka lupa, ombak tidak pernah tidur.

Dinding bahtera milik Laksamana Umar setinggi benteng kota. Diperbuat daripada kayu cengal dan penaga. Serta bertaut tanpa paku sekaligus menjadi saksi kepada kehebatan tangan-tangan orang Melayu yang mewarisi ilmu perkapalan turun-temurun. Empat lapis tebalnya. Sampaikan peluru meriam pun memantul seperti hujan di atas batu pualam.

Laksamana Umar berdiri tanpa sebarang rasa gentar di geledak bahteranya. Memakai kain tenun hitam bersulamkan benang dari Canton. Keris panjang tersemat di pinggang, tengkolok biru laut terikat kemas di kepala. Matanya menyorot jauh, di mana armada Portugis muncul perlahan di balik bayang kelam di balik kabus tebal.

Di haluan kapal mereka yang bernama Anunciada. Sebuah kapal perang paling besar milik Portugis. Diketuai oleh Fernando Peres de Andrade, seorang ketua soldadu yang berasal dari bumi Lisbon mengantikan Afonso de Albuquerque.

Dia dan armadanya sedang berlayar membelah laut milik Melaka. Mantelnya berkibar dihempas angin, namun wajahnya pucat lesi. Matanya membulat memandang raksasa laut Melayu yang mendominasi pandangan.

“Bagaimana hendak kita menumpaskan naga laut ini?” Andrade bertanya kepada anak kapalnya, suaranya serak dipukul takut. “Dindingnya menjulang setinggi benteng kota! Aku rasa meriam kita tak mampu meretakkannya!”

Tiada jawapan daripada mulut anak kapalnya. Hanya gemuruh angin dan debur ombak yang menyahut pertanyaan itu, seolah-olah laut sendiri mengingatkan mereka akan siapa tuannya.

Laksamana Umar mengangkat tangannya perlahan lalu mengusap gagang keris di pinggang. Wajahnya terukir satu senyuman nipis lalu dia berbicara dengan suara yang hinggakan menembus badai.

“Tuan hamba datang membawa lidah saudagar, tetapi tangan tuan bersembunyi di belakang manira menggenggam belati. Manira ini bukanlah seorang budak dagang yang mudah dipujuk dengan segala jenis tebu yang ditanam di bibir tuan hamba! Ini laut kami, dan kami tidak akan biarkan sesiapa yang tamak mengusai arus yang mengalir sejak zaman nenek moyang kami. Tuan hamba datang dengan kapal berlapis besi, tetapi kami membawa semangat yang terukir dalam adat yang diwarisi daripada darah pelaut yang tidak pernah tunduk kepada gelora.”

Andrade terdiam. Suaranya mati di kerongkong. Di belakangnya, anak-anak kapal Portugis resah. Mata mereka tidak lepas memandang bahtera sama jong Melayu seperti gunung yang timbul di perut segara.

Namun begitu, sifat bangsa yang berlayar membawa keangkuhan itu tidak mudah mengalah. Di haluan Anunciada, kapten mudanya, Gaspar Coelho, seorang yang darahnya masih panas, melangkah ke hadapan, suaranya lantang menembusi angin.

“Apakah kita akan berundur, tuan hamba?” katanya dengan wajah yang menghitam dek ego sama marah. “Adakah kita datang sejauh ini hanya hanya untuk takut kepada kayu tua yang terapung? Apakah kapal berpanji kita penguasa dunia harus tunduk pada jong yang diikat adat?”

Andrade memandang orang kanannya, Coelho. Matanya terbakar dengan perasaan ego walau tubuhnya digenggam takut. Dia menghunus pedangnya, menunjuk ke arah jong Laksamana Umar.

“Kita bangsa yang hebat!” laungnya, suaranya menggelegar meski jiwanya gamam. “Kita pernah merobohkan tembok di Goa. Membakar pelabuhan di Afrika. Apa ertinya armada mereka di tengah segara? Ayuh kita beri pengajaran kepada mereka! Mari robohkan menara kayu ini dan buktikan siapa yang layak menguasai lautan!”

Anak-anak kapal bersorak. Gendang perang dipalu, meriam mula disiapkan.

Di atas jong Melayu, Laksamana Umar hanya memerhati dengan senyum yang samar, seperti ombak yang tenang di permukaan namun menyimpan badai di dasarnya. Laksamana Umar melangkah ke hadapan sambil berdiri di haluan jongnya. Tangannya meraup angin dan suaranya naik perlahan dengan tegas.

“Tuan hamba jangan datang membawa dendam di hati. Jangan sesekali tuan hamba berniat untuk menebus perasaan takut dengan taring yang palsu. Apakah tuan hamba fikir kayu cengal ini sekadar papan pengapung? Tidak, ini lambang bangsa yang berdiri teguh di tengah arus sejak matahari naik di ufuk Timur.”

Laksamana Umar menghela nafas panjang. Pandangan matanya menikam tepat ke jantung Andrade. Nadanya seperti desiran angin yang membelai tapi membawa bisa di hujungnya.

“Tuan hamba menghunus pedang, tetapi tidak mengerti bahasa ombak di bumi Nusantara ini. Tuan hamba menyiapkan meriam, tetapi lupa bahawa laut ini bukan sekadar hamparan air. Ia nadi yang berdenyut dengan sumpah dan maruah kami. Datanglah dengan besi sama api sekali pun. Ingatlah, arus tidak memilih siapa yang ditenggelamkan.”

Andrade membalas dengan sorakan. Meriam Anunciada menyalak ke udara. Peluru besi itu berdesir, menuju ke lambung jong.

Namun, seperti batu menimpa bukit, peluru itu memantul dari dinding jong, terhempas kembali ke laut dengan bunyi yang tenggelam di celah ombak.

Coelho terdiam, mulutnya ternganga. Dan anak-anak kapal Portugis yang lain memandang sesama sendiri dengan riak ketakutan kembali menapak ke dada mereka.

Laksamana Umar ketawa kecil. Suaranya yang parau berbaur dengan deru angin.

“Manira sudah katakan, dinding jong ini tiada lut kepada peluru meriam. Ia dibina dengan tangan yang mengerti adat, dengan doa yang melekat pada setiap serat kayunya. Empat lapis dinding ini bukan sekadar kayu, tetapi benteng maruah yang diwariskan dari satu pelaut kepada pelaut yang lain.”

Dia mengangkat tangan dan anak-anak kapalnya bersedia. Tombak diangkat, layar dikembang. Langit semakin gelap, badai mula mengumpul kekuatannya, seolah-olah lautan sendiri memihak kepada Laksamana Umar.

Laksamana Umar mengangkat tangan dan anak-anak kapalnya bersedia, tombak diangkat tinggi, layar dikembang penuh melawan angin. Langit semakin gelap, awan hitam bergulung-gulung seperti badai berkumpul di atas kepala, bersedia menjadi saksi pertempuran.

Namun lautan ini bukan sekadar air dan garam. Ia hidup dan ia mengenal anak-anaknya.

Andrade memekik perintah. Meriam Portugis berdentum bertalu-talu. Peluru besi berdesir di udara menghala ke arah armada bimbingan Laksamana Umar. Tetapi dinding empat lapis itu tetap berdiri memantulkan peluru kembali ke laut, seolah-olah ombak sendiri menolak serangan itu.

Tiba-tiba, di celah-celah gelombang munculnya suara nyanyian bergema. Halus dan memukau. Suara itu melantun-lantun di antara tiang dan layar. Menyelinap masuk ke telinga setiap soldadu Portugis. Mereka semua hairan mengerutkan dahi. Sebahagian daripada mereka mula resah. Mata mereka mencari-cari dari mana datangnya alunan itu.

Di celah ombak, duyung-duyung putih muncul. Mata mereka bercahaya seperti mutiara. Rambut mereka mengalir seperti arus. Tangan mereka menari di atas air mencipta pusaran yang mula berputar perlahan, menarik kapal-kapal kecil Portugis ke dalam pelukan laut.

Andrade menjerit, “Apa sihir ini? Apa tipu muslihat kalian?”

Laksamana Umar membalas, “Ini bukanlah suatu sihir. Namun ketahuilah tuan hamba sekalian, inilah magis yang ada pada bangsa pelaut Nusantara.”

Suara Andrade terus tenggelam dalam gegar pusaran air yang semakin membesar. Dua buah kapal di sisi Anunciada mula berpusing ligat. Anak-anak kapal mereka menjerit, layar terkoyak, tali terputus sebelum kapal-kapal itu karam ditelan pusaran yang tiada ampun.

Laksamana Umar memandang tajam ke arah armada musuh. Laksamana Umar mengalir berkata dengan nada yang lantang, “Tuan hamba lupa, manira dan saudara-saudara sekalian bukan pelaut biasa. Kami warga Nusantara. Kamilah anak kepada arus dan angin di lautan ini. Kami juga menongkah ombak sejak bintang pertama berkelip di langit. Laut ini bukan sekadar jalan dagang, ia gelanggang kami. Laut sepanjang bumi Nusantara inipentas maruah kami!”

Anak-anak kapal jong Melayu bersorak namun sorakan itu terhenti apabila tiupan angin membawa sesuatu yang lain. Anak-anak panah meluncur dari udara, halimunan pada mata musuh tetapi tepat menembusi layar-layar Portugis. Mengoyakkan layar satu demi satu.

Coelho menjerit, “Dari mana datang panah itu?!”

Namun, hanya bayangan kabus tebal yang menjawabnya dan anak-anak panah ghaib itu terus berdentum bagai petir di udara. Sekaligus merobohkan tiang layar dan merosakkan dek kapal musuh.

Laksamana Umar menunduk hormat ke laut. Tanda menghormati daya ghaib yang membantu, lalu berbicara perlahan, seolah-olah kepada ombak itu sendiri:

“Laut ini tahu siapa tuannya dan tuan hamba, Andrade, datang membawa dendam. Tetapi lupa membaca bahasa angin, lupa mengerti sumpah arus dan pantun ombak.”

Pusaran air di sekitar bertambah ganas. Kapal-kapal Portugis yang kecil mula bergelut untuk kekal di permukaan. Layar koyak, tali putus, jeritan tenggelam dalam deruan ombak.

Andrade mengertak gigi, genggamannya di pedang mengetat, namun matanya liar, ketakutan menapak di wajahnya yang sudah kehilangan warna.

Anak-anak kapal di sekelilingnya diam membatu namun teriakan dari kapal-kapal saudara di sisi Anunciada semakin jelas, jeritan yang lahir dari mulut-mulut yang hampir putus asa.

Dari geladak Coelho melangkah mendekat, darah mudanya masih panas, rahsia ombak dan panah ghaib yang melayang itu belum mampu membungkam egonya.

“Tuan, kita harus tempur!” bisiknya kasar dengan mata liar memandang ke pusaran yang semakin menggila, “Kita bangsa yang mahsyur! Kita penguasa dunia!”

Andrade berpaling perlahan. Mata tuanya bertemu mata Coelho. Dan untuk pertama kali, sisa sombongnya goyah dihempas kenyataan yang mengaum di depannya. Tangannya yang menggeletar masih menggenggam gagang pedang tapi kata-katanya keluar dalam hembusan nafas yang panjang.

“Apakah kita harus pulang ke Lisbon, Coelho?” suaranya tersekat-sekat di celah dentuman ombak. “Apakah kita mahu kembali ke raja kita dengan tangan kosong, membawa berita bahawa di Nusantara ini, ada manusia yang tidak tunduk kepada empayar yang hebat seperti kita? Bahawa kerajaan Melaka dan sekutu-sekutunya, bukan sekadar pedagang tetapi penjaga arus dan penjaga adat yang tak boleh ditumbangkan?”

Dia menggeleng perlahan dan melangkah ke haluan kapal. Anak matanya memandang jong Laksamana Umar yang masih tegak berdiri seperti gunung yang tidak terusik walau gempa.

“Lihatlah, Coelho. Kita warga putih yang konon katanya penguasa dunia. Tapi di sini, di gelanggang mereka, kita hanyalah perahu kecil yang diombang-ambingkan arus.”

Belum sempat Coelho membalas, teriakan kedengaran daripada kapal-kapal lain kembali menggelegar. Satu demi satu armada perang Portugis ditelan samudera. Suara jeritan mereka ditelan gelombang seolah-olah laut sendiri menuntut hutang darah yang pernah ditumpahkan.

Andrade memejamkan mata. Telinganya dikepung oleh raungan anak kapal yang semakin mengecil. Pusaran air itu bukan sekadar ombak, tetapi sumpah lama yang dibangkitkan.

            Tiba-tiba…

            Segalanya senyap.

Tangannya terangkat perlahan daripada kertas. Mata menatap tulisan di hadapannya. Pena tergantung di udara, dakwatnya hampir kering. Rupa-rupanya segala cerita tentang kehebatan Laksamana Umar itu hanyalah cerita rekaan remaja yang bernama Awang.

“Eh, Awang! Bila nak makan? Ibu sudah panggil banyak kali ni!”

Awang terhenyak. Kepalanya berpaling dari kertas. Ruang bilik kecilnya disimbah cahaya matahari petang. Kipas berdengung perlahan, dinding kayu rumah papan berdiri bisu. Menunggu remaja 14 tahun itu kembali ke dunia nyata.

“Sekejap lagi, emak! Awang tengah habiskan sikit saja lagi!” jawabnya, suara separuh tinggi, separuh terperangkap dalam dunia yang baru dia bina sendiri.

Awang memandang semula ke helaian kertas. Tulisannya bersambung-sambung, gambaran pertempuran epik di lautan Nusantara. Jong Melayu menentang armada Portugis, pusaran air dan panah ghaib, semuanya mengalir dari fikirannya, seolah-olah roh pelaut lama membisikkan cerita ke telinganya.

Awang tersenyum kecil.

“Kalau Melaka tidak pernah tumbang pada tahun 1511. Dan jikalau Nusantara bersatu bagaimana agaknya aku sekarang? Mungkin armada kita tetap menongkah arus. Serta menulis sejarah di gelombang yang tak pernah padam,” suara batinnya terdetik sendiri.

Awang melakar semula tulisan kepada dada kertas lalu menghela nafas perlahan sebelum menyempurnakan perenggan yang terakhir. Tangannya lincah bergerak untuk menamatkan cerekanya.

“Dan di tengah Selat Melaka, berdiri teguh bahtera-bahtera Nusantara. Layar putih mengembang, tiang-tiangnya menjulang ke langit. Menjadi saksi bahawa bangsa ini, bangsa pelaut, yang tidak pernah karam. Ini bukan sekadar cerita inilah hikayat dan riwayat nan mahsyur sebuah Bahtera Nusantara.”

KARYA: MUDIN HAIQAL

 

 

Berita Lain..

Berita Tempatan