Wednesday, March 4, 2026

CERPEN MERDEKA – BUNGA KANTAN AYAH DAN 68 TAHUN MERDEKA

Share

Malam itu, hujan renyai-renyai menimpa atap rumah kayu peninggalan arwah ayah. Bunyi titisannya berirama, sesekali diselangi guruh jauh di kaki langit. Dari beranda, Uwais Taufiq berdiri termenung. Angin malam membawa bau tanah basah dari kebun bunga kantan, serai dan kunyit di hujung kampung. Itulah kebun peninggalan ayahnya dan di situlah hatinya terpaut sejak pulang dari universiti.

Uwais baru berusia 27 tahun namun langkahnya yakin. Dia mahu mengusahakan kebun itu sebagai sumber rezeki halal. Bukan sekadar kerana tanah itu warisan keluarga tetapi kerana di situlah terkandung doa, keringat dan pengorbanan seorang lelaki yang pernah menjadi tiang keluarga.

Namun, keinginannya tidak mudah.

Di ruang tamu, Uthman Taufiq, abang sulung mereka yang dua tahun usia di atasnya  berdiri tegak. Wajahnya merah menahan amarah. Di tangannya tergenggam erat sekeping geran tanah.

“Uwais,” suaranya bergetar, tinggi, penuh tekanan, “aku tak boleh tunggu lagi. Aku dah capai keputusan. Esok tanah ni aku jual!”

Suara Uthman bergema, menembusi deru hujan yang semakin lebat. Tingkap berkarat berkeriuk-keriuk dipukul angin. Lampu kalimantang letrik sekejap menyala, sekejap gelap, seperti mahu padam bila-bila masa.

Uwais menelan liur, cuba menenangkan dirinya. “Abang, tolong jangan. Ini bukan sekadar tanah. Ini warisan ayah, tempat kita membesar. Aku nak jaga ibu, nak biayai persekolahan Umairah dan Uzair, nak bangunkan kebun ni. Jangan buat keputusan terburu-buru.”

Namun Uthman menendang kaki kerusi hingga hampir terbalik. “Kau ni degil gila, Wais! Kau tak nampak peluang keemasan ke? Wang jualan tanah boleh selesaikan semua masalah kita. Aku ni berhutang rumah dan kereta, kerja pun tak menentu.

“Kau? Kau pun tahu tak akan mampu nak bangunkan hasil kebun ni seorang diri!”

Uwais mengetap bibir yang terasa pedih. Hatinya lebih pedih melihat abangnya sanggup bermati-matian mahu menjual kebun seekar milik arwah ayah mereka. Di situlah sejak mereka kecil, ayah mengusahakan pelbagai tanaman kontan.

Dia teringat kembali suara ayahnya suatu ketika dulu.
“Kebun kita kecil sahaja, Uwais. Tidak sesuai ditanam kelapa atau sawit. Sebab itu ayah tanam sayur-sayuran, cepat tuai, cepat jadi rezeki. Lagi cepat dituai, lagi cepat kita dapat duitnya. Kau ambil bidang pertanian itu bukan sia-sia, Wais. Bila habis belajar nanti, manfaatkan setiap inci tanah ini. Satu ekar sudah lebih daripada cukup kalau kita bijak mengurus.”

Kenangan itu bagai api menyala dalam dada Uwais. Tetapi sebelum dia sempat bersuara, herdikan Uthman merobek lamunannya.

“Kau sengaja nak melawan aku kan? Kau sendiri tahu apa sahajalah kau boleh tanam di tanah seluas itu. Bunga kantan, serai, kunyit, apa sangat hasilnya? Berapa sen je kau dapat, Wais!”

Hujan di luar bertukar menjadi lebat. Guruh berdentum bagai mengiringi perbalahan mereka. Surat di tangan Uthman hampir sahaja mahu diserahkan kepada orang tengah yang menunggu di pekan. Suasana rumah terasa bagai medan tempur.

Tiba-tiba, suara serak seorang wanita tua memecah keheningan tegang itu.

“Cukup, Uwais, Uthman. Janganlah bergaduh kerana tanah ini.”

Kedua-duanya berpaling. Dari bilik, muncul ibu mereka, Mak Salmah. Nafasnya pendek-pendek tetapi suaranya jelas.

“Arwah ayah kamu pernah berpesan pada mak sebelum dia pergi. Katanya, jagalah kebun bunga kantan ini baik-baik. Biar kita hidup sederhana, asal ikatan kekeluargaan erat. Kaya sekelip mata tak bermakna kalau tanah tergadai dan akhirnya kita langsung tidak berharta.”

 

Uthman terdiam. Suara hujan kian deras, seolah membenarkan setiap patah kata ibunya.

Uwais melangkah mendekat, suaranya lembut tapi penuh tenaga. “Abang, ingatkah abang masa kecil dulu? Dari hasil jualan bunga kantan, ayah bayar yuran sekolah kita. Dari duit jualan serai dan kunyit, ayah belikan buku-buku untuk kita. Sampai kita berdua berjaya masuk ke menara gading. Tanpa kebun tu, belum tentu kita sampai sejauh ini.”

Uthman mula goyah. Wajahnya berubah, namun egonya masih cuba bertahan.

“Abang, ” Uwais menyambung, “aku pulang ke kampung bukan sebab aku gagal di bandar. Aku mahu tunjuk pada anak-anak kampung, sebesar mana pun ilmu kita, setinggi mana pun kita belajar, kalau ada peluang di tanah sendiri, pulanglah. Curahkan ilmu, usaha dan tenaga untuk bangunkan kampung. Jangan biar kebun-kebun mati, jangan biar orang luar yang ambil hak kita.”

Mak Salmah mengesat mata dengan hujung lengan baju kurung lusuhnya. Umairah dan Uzair yang mengintai dari balik dinding turut menitiskan air mata. Keduanya keluar dari bilik, menerpa dan memeluk Mak Salmah.

Kata-kata Uwais bagai petir menyambar benteng ego Uthman. Hatinya tiba-tiba dilimpahi rindu pada sosok ayah mereka. Dan suara Uwais tidak ubah seperti suara ayah mereka, teratur tenang namun ada keyakinan di dalamnya.

Perlahan-lahan, Uthman mencampak geran ke atas meja kemudian  merenyuk surat perjanjian jual beli dengan tangan kasar. Air matanya bergenang. “Aku,  aku tak tahu kenapa aku jadi begini. Aku fikirkan jalan singkat. Aku lupa semua pengorbanan ayah. Maafkan aku, Wais. Maafkan aku, mak.”

Uthman sudah terjelepuk di bawah meja. Tubuhnya terasa lemah, lesu dan tidak bermaya. Entah kenapa seminggu ini dia termakan pujuk rayu agen tanah di pekan.

Uwais menghela nafas lega, meraih bahu abangnya lalu memeluk erat. Malam yang hampir merobek kasih sayang keluarga itu akhirnya menjadi saksi penyatuan kembali.

Mak Salmah mengurut dadanya yang tadi bergetar hebat. Dia sebenarnya bimbang jika dua anak muda di hadapannya terlajak suara lebih keras. Kemudian masing-masing bertegang urat tidak mahu beralah. Meskipun hatinya menyokong Uwais, namun dia tidak mahu anak sulungnya terasa hati.

Melihat keduanya sudah berdamai, Umairah memimpin ibunya kembali ke bilik. Hujan juga semakin reda.

Keesokan harinya, 31 Ogos, langit Putrajaya cerah membiru. Jalur Gemilang berkibar megah di setiap penjuru. Uwais membawa Uthman, Umairah dan Uzair ke sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-68. Dari jauh, mereka menyaksikan lautan manusia yang bersatu hati, melaungkan “Merdeka!” dengan penuh semangat.

Uthman terdiam. Jiwa patriotiknya membara. Dia mula mengerti, tanah air ini bukan sekadar tanah tetapi lambang kebebasan dan harapan. Sama seperti kebun mereka di kampung, bukan sekadar sumber pendapatan tetapi warisan yang harus dipelihara.

Ketika lagu kebangsaan bergema, Uwais menoleh pada abangnya. “Abang, lihatlah. Inilah tanah kita, tanah air kita. Warisan bukan sekadar harta benda tapi tanggungjawab menjaga kasih sayang dan masa depan bersama.”

Air mata bergenang di mata Uthman. Dia mengangguk lalu menggenggam erat tangan adiknya. “Kau benar, Wais. Kita akan jaga kebun itu bersama. Biar sederhana, asalkan maruah keluarga dan warisan ayah tetap terpelihara.”

Di sisi mereka, Umairah dan Uzair melambai bendera kecil dengan wajah bersinar. Bagi mereka, Hari Kemerdekaan ke-68 bukan sekadar perayaan negara tetapi simbol kebebasan keluarga mereka daripada belenggu perselisihan.

Dan di kampung nanti, bunga kantan yang mekar, serai yang wangi serta kunyit yang subur akan terus subur, menjadi saksi bahawa kasih sayang, kesederhanaan dan perjuangan adalah warisan sebenar yang tidak ternilai.

Kiriman: Loana Rihada- Bangi, Selangor.

 

Berita Lain..

Berita Tempatan