-Raih pendapatan melalui kerja dari rumah -Simple Shida
Ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik yang berlarutan kini memberi kesan langsung kepada kos sara hidup termasuk kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.
Situasi ini secara tidak langsung mengubah gaya hidup masyarakat apabila semakin ramai memilih untuk mengurangkan pergerakan dan bekerja dari rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, langkah pihak kerajaan yang membenarkan sebahagian kakitangan awam bekerja dari rumah turut mempercepatkan peralihan kepada norma kerja fleksibel.
Perubahan ini membuka ruang kepada masyarakat untuk meneroka sumber pendapatan alternatif yang boleh diusahakan dari rumah.
Salah satu bidang yang semakin mendapat perhatian ialah penulisan e-buku (e-book) yang bukan sahaja mudah dihasilkan malah berpotensi menjana pendapatan secara digital tanpa memerlukan kos operasi yang tinggi.
Seiring dengan perkembangan ini, Nurul Ashidah Johari 44, atau lebih dikenali sebagai Simple-Shida tampil sebagai antara figura wanita yang aktif memperkasa masyarakat dalam bidang penulisan e-buku.
Merupakan Pengasas Intouch Training & Consultancy serta berjawatan Executive Master Advisor di Master Shiro Global Academy (MSGA), beliau telah berjaya melahirkan lebih 1,000 alumni menerusi Bengkel Tulis E-buku.
Kelas yang dikendalikan secara dalam talian dan bersemuka itu telah berjaya menarik minat penyertaan lebih dari 20 buah negara.

Nurul Ashidah menunjukkan salah satu karyanya yang telah diterbitkan dalam kedai buku digital miliknya .
Menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia ini, minat terhadap penulisan telah bermula sejak zaman pengajian apabila beliau aktif menulis blog berkaitan kehidupan, kekeluargaan dan isu semasa.
“Pada awalnya, saya hanya menulis sebagai hobi namun apabila mendapat maklum balas positif daripada pembaca, saya mula melihat potensi besar dalam dunia penulisan digital,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran E-Buku yang menghimpunkan karya penulis tempatan yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan MSGA Sdn. Bhd, Mejar Hasrul Taufek bin Roslan TUDM (Bersara). Turut Hadir Ketua Pegawai Eksekutif MSGA, Mohd Shahpizan Mustapha (Tjey).

Nurul Ashidah bersama Pengerusi Kumpulan MSGA Sdn Bhd, Mejar Hasrul Taufek Roslan TUDM (Bersara) di tengah dan Ketua Pegawai Eksekutif MSGA, Mohd Shahpizan Mustapha.
.
Nurul Ashidah ( empat dari kiri) merakam kenangan bersama sebagian penulis e- buku di Majlis Pelancaran E-Buku di platform MSGA Sdn Bhd dan
Perhimpunan Icon Ladies MSGA 4.0 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebanyak lima e-buku telah dilancarkan, termasuk 30 Menu 30 Hikmah oleh Hajah Rosni Adom, Lestari Sespa (Siri Serarap) ditulis oleh Saliza binti Abdul Rahim, Remaja Cool oleh Ruhiza Ab Rahim, From the Village to Buckingham Palace oleh Dame Matron Dr. Ramziah Ahmad serta 6 Hari Kembara Campervan Selandia Baru oleh Nazhatulshima Nolan.
Sebelum itu telah berlangsung majlis Icon Ladies yang menjemput penceramah di kalangan pakar motivasi serta pemilik platform bookstore MSGA. Antaranya Zubaidah Zainal Abidin dari Singapura, Jamizan Jalaluddin, Dr. Noor Hayati Yasmin, Dame Matron Dr. Hajah Ramziah Ahmad dan Coach Desi Yuliana dari Indonesia.
Nurul Ashidah menyambung, perjalanannya dalam bidang e-buku bermula selepas menyertai bengkel anjuran Master Shiro Global Academy di mana beliau dibimbing oleh mentornya, Hasrul Taufek Roslan.
Melalui pendedahan teknik dan kaedah penulisan yang sistematik, Nurul Ashidah berjaya menghasilkan e-buku pertamanya bertajuk 7 Langkah Tulis E-book Mudah & Cepat dalam tempoh yang singkat.
Kejayaan tersebut menjadi titik tolak kepada penghasilan lebih 20 buah e-buku, antaranya Ukhwah Luar Biasa, 33 Idea Melimpah Tulis E-book, Suri Master E-book dan 44 Rahsia Tulis E-book Cepat Siap, yang dipasarkan melalui platform digital miliknya.
Dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar, beliau melihat e-buku sebagai salah satu solusi praktikal untuk menjana pendapatan dari rumah.
“E-buku tidak memerlukan modal besar. Bersandarkan ilmu dan strategi yang betul, sesiapa sahaja boleh mula menulis dan menjana pendapatan,” ujarnya.
Tambahnya, e-buku mempunyai kelebihan sebagai bahan bacaan digital yang boleh diakses melalui telefon pintar, komputer riba dan tablet serta menawarkan kandungan yang ringkas mudah difahami dan interaktif.
Sebagai Certified Trainer E-book, beliau aktif mengendalikan bengkel dengan objektif membuka minda masyarakat bahawa penulisan bukan sesuatu yang rumit dan mustahil.
“Ramai yang merasakan menulis itu sukar. Hakikatnya semua orang ada cerita dan ilmu untuk dikongsi. Yang penting adalah minat, kesungguhan dan tindakan,” ujarnya.
Apa yang menarik peserta bengkel kendaliannya terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk doktor pakar, pensyarah, guru, usahawan, jurulatih, pempengaruh serta ahli korporat.
Penyertaan turut diterima dari negara luar seperti Jerman, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Singapura, Brunei, Jordan dan Turkmenistan. Ini membuktikan bahawa penulisan e-buku mempunyai daya tarikan global.
Berkat kesungguhannya dalam industri buku digital, beliau telah berjaya menerbitkan lebih 50 e-buku dan muncul sebagai MSGA Champion, Top Income Sales E-book mulai tahun 2021, 2022, 2023 dan 2024.
Beliau turut mempunyai alumni penulis dalam talian lebih daripada 880 orang dan lebih 4,900 peserta secara bersemuka sehingga Januari 2026.
Saya sangat menggalakkan lebih ramai rakyat negara ini akan memanfaatkan peluang dalam bidang penulisan digital, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Sikap membudayakan ilmu digital diharap dapat dinormalisasikan dalam kalangan masyakarat kini. Lebih-lebih lagi situasi dunia yang tidak menentu, kita perlu bijak mencipta peluang. Penulisan e-buku adalah salah satu cara untuk berkongsi ilmu dan menjana pendapatan secara lestari dari rumah,” katanya.
.
=
Bersama keluarga yang menjadi pendorong untuk terus aktif dalam bidang penulisan e- buku.
*Kesungguhan pasti membuahkan hasil, tunggukan admin juga sedang dalam proses meneribitkan e-buku dalam kedai buku sendiri, amin – Admin.